suria

Kaki hiking ini pernah berdepan tedung, terkandas kerana ‘kepala air’... tapi segala ketakutan hilang selepas terbentang pemandangan indah

Paan terkandas kira-kira sejam akibat kejadian kepala air yang berlaku secara tiba-tiba di air terjun Sungai Kecil di Bukit Perangin, Kedah pada Disember lalu.

KECINTAAN jejaka ini terhadap alam sekitar dapat dibuktikan menerusi koleksi video penuh sinematik yang dikongsi menerusi TikTok miliknya.

Menggelarkan diri sebagai 'Jejaka Nature' di platform perkongsian video itu, Muhammad Farhan Mohammad, 23, mula meneroka keindahan alam sekitar tahun 2016.

Sejak itu, dia yang mesra disapa Paan banyak menjejaki lokasi indah dengan panorama luar biasa di sekitar Kedah yang juga negeri kelahirannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengalaman ngeri ribut kuat di Tanjung Sedili, 8 sekeluarga berpelukan ‘ingat mati’ gara-gara rumah banyak pokok kelapa!

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa masuk sawah sejak kecil, anak muda ini tiba-tiba jadi perhatian selepas kongsi view indah lagi mendamaikan di belakang rumahnya

"Saya mula minat terhadap alam ketika hiking di Gunung Kerian pada tahun 2016. Ketika itu saya tak ada kawan-kawan yang mempunyai minat sama. Jadi saya pergi hiking sendirian saja. Ia merupakan kali pertama saya hiking.

"Ketika tiba di lokasi itu, saya menyapa beberapa individu tak dikenali dan mendaki bersama mereka. Selepas pendakian pertama, saya mula menjejaki lokasi lain pula. Antaranya saya hiking di Bukit Mok Cun di Kodiang dan beberapa bukit serta gunung lain.

"Impian saya kalau boleh nak daki Gunung Kinabalu suatu hari nanti. Sekarang tengah kumpul stamina, saya sekadar berlatih dengan gunung-gunung yang ada di sekitar Kedah dulu," ujarnya berseloroh.

Terbaharu, video Paan menjejaki air terjun Sungai Kecil di Bukit Perangin, Kedah turut tular di aplikasi TikTok sehingga meraih hampir 200,000 tontonan.

paan2

Paan turut dikenali sebagai Jejaka Nature di TikTok.

Di sebalik video itu, tersimpan kisah menakutkan apabila Paan dan beberapa individu lain terkandas kira-kira sejam akibat kejadian kepala air yang berlaku secara tiba-tiba.

"Sebenarnya saya pergi ke sana pada Disember tahun lepas. Saya ikut satu geng hiking yang saya kenal melalui Instagram. Kebetulan mereka ada trip di utara, jadi saya sertai mereka.

Kena sentiasa hati-hati kalau nak hiking atau masuk hutan. Kena jaga mulut kita.

PAAN

"Kami berjalan 10 kilometer untuk sampai ke air terjun Sungai Besar. Tapi hilang rasa lenguh sebab tempat itu sangat cantik. Memang berbaloi pergi sana.

"Cuma masa nak balik, kami ada pengalaman yang tak boleh dilupakan. Kami berhadapan fenomena kepala air. Ketika itu hujan renyai-renyai, kemudian datang kepala air.

"Memang menakutkan. Kami terkandas hampir sejam. Itu kali pertama saya tengok kepala air. Saya tak serik, cuma ia membuatkan saya lebih berhati-hati lain kali," ujarnya yang menetap di Alor Setar.

paan22

Paan banyak mendaki gunung dan bukit di sekitar negeri Kedah.

Sementara itu, Paan mengakui nama 'Jejaka Nature' membawa tuah buatnya apabila video yang dikongsi tiba-tiba tular dan meraih tontonan ramai.

Paan juga tak menyangka video dikongsi di TikTok miliknya akan mendapat perhatian ramai sehingga dia turut dihujani pelbagai komen dan mesej.

"Sebelum ini saya fikir nak letak nama Jejaka Alam, tapi kedengaran pelik. Jadi saya pilih nama Jejaka Nature. Selepas itu terus video saya dapat sambutan.

"Saya juga terkejut sebab tak pernah dapat banyak view macam ni. Sangat tak jangka. Dulu macam sendu, sekarang ramai awek ajak pergi hiking dan travel sekali.

paan4

Paan merupakan pelajar bidang Kejuruteraan Eletronik.

"Ada juga yang tanya lokasi dan sebagainya. Saya terima segala komen, anggap orang nak berkawan. Tak boleh nak serius-serius sangat," ujar penutut bidang Kejuruteraan Elektronik dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.

Dedah Paan lagi, dia bersyukur tidak pernah berdepan gangguan setiap kali masuk ke hutan.

Namun imbasnya, dia pernah terserempak dengan ular tedung ketika mendaki sebuah bukit di Jitra dan menganggap ia sebagai satu pengalaman yang menggerunkan.

"Kena sentiasa hati-hati kalau nak hiking atau masuk hutan. Kena jaga mulut kita. Setakat ini belum ada pengalaman mistik.

"Cuma saya pernah jumpa ular tedung. Memang fobia sikit. Tambahan pula waktu itu saya mendaki sendirian," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain