suria

Buka peti ais, macam-macam ada! Gadis terharu dapat kakak ipar prihatin, gigih masak pes lauk walau tunggu masa nak bersalin

Era terkejut apabila melihat kakak iparnya telah siap memasak pelbagai pes masakan sebelum bersalin.

"TERBAIKLAH kakak awak," begitulah salah satu komen netizen pada sebuah video yang menunjukkan aneka pes masakan di dalam sebuah peti sejuk.

Rakaman tersebut memaparkan seorang gadis yang kagum melihat peti ais di rumahnya yang penuh dengan pes lauk pauk kampung yang dimasak oleh kakak iparnya sebelum dimasukkan dalam bekas, dilabel dan disusun rapi.

Video tersebut meraih hampir 120,000 tontonan dan ramai di aplikasi TikTok setakat ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekali pandang macam kena halau! 4 sahabat ‘bahagia’ bentang karpet berkelah depan rumah, pakcik baru balik masjid sporting melayan

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sedang berpantang reda suami disahkan ada masalah paru-paru, tak sempat keluar wad positif Covid-19 pula... tiada memori ketika anak newborn!

Berkongsi cerita dengan mStar, Erafettysha Mukhtar, 20, berkata, pes lauk tersebut dimasak oleh kakak iparnya Siti Rohaida Rashid, 33, sebagai persediaan sebelum dia pergi ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

Jelasnya lagi, kakak iparnya itu dijangka melahirkan anak keempat pada pertengahan September ini.

"Kakak ipar saya buat banyak stok pes lauk untuk kami sekeluarga supaya senang boleh terus masak nanti, sebab dia dah nak bersalin.

"Dekat rumah ni pula memang ada saya, abang dengan anak-anak dia, kadang-kadang tu selalu terlewat masak sebab nak selesaikan bungkusan barang yang perlu dipos setiap hari.

IMG_8640

Antara pes masakan yang dimasak oleh Siti Rohaida.

"Bila dia buat macam tu sebelum 'serah diri' ke wad bersalin, kerja saya jadi mudahlah," katanya yang mempunyai bisnes pakaian secara online sejak Jun lalu.

Mesra disapa Era, dia kagum apabila wanita itu dalam keadaan sudah sarat dan 'tunggu masa' masih mampu memasak begitu banyak pes seorang diri dalam masa dua jam.

Tambahnya lagi, perkara yang sama dilakukannya sewaktu bulan Ramadan kerana ia memudahkan dan mempercepatkan proses memasak ketika bersahur.

"Semua lauk tu resepi kakak dan dia masak sendiri dari pukul 5 petang sehingga jam 7 malam. Kakak memang masak cepat, saya tak tahu dia buat pes tu sebab saya ada di atas dan tak dengar apa-apa bunyi pun.

"Lepas tu saya turun bawah tengok dia dah siap beli bekas dan buat label. Macam-macam jenis lauk... ada sambal ayam, masak kicap, paprik, kurma dan masak lemak.

"Terkejut dan terharu sebab dia masih fikirkan keadaan saya dan ahli keluarga lain walaupun dah nak bersalin.

IMG_8555

Era (dua, kanan) kini menetap bersama keluarga abangnya di Skudai, Johor Bahru.

"Kakak pula jenis yang tak pandai nak ajar memasak sebab dia jenis yang campak-campak je. Jadi bila dia memasak, saya akan tengok dan tulis semula resepinya.

"Saya paling suka dia masak nasi ayam dengan nasi tomato, memang sedap dan rasa macam dia pandai masak semua makanan," katanya, yang berasal dari Kuala Nerang, Kedah.

Menurut Era, dia menetap bersama keluarga abangnya, Ulul Azmi Mukhtar, 31, sejak Ogos tahun lalu selepas pemergian kedua ibu bapanya.

Era tidak berasa kekok untuk tinggal bersama mereka dan sudah terbiasa dengan kakak iparnya yang melayannya sama seperti ahli keluarga sendiri.

"Sejak mak dan ayah saya meninggal, abang ambil keputusan untuk ajak saya tinggal bersama keluarganya di Skudai. Sebab saya ni anak bongsu, jadi semua tanggungajawab beralih pada abang selepas mak dan ayah tiada

"Saya terus tinggal bersama mereka sejak Ogos tahun lepas, lagipun memang dah terbiasa dengan kakak ipar. Mak meninggal waktu saya berusia sembilan tahun sebab barah payudara. Kemudian umur saya 19 tahun pula, ayah meninggal disebabkan serangan jantung.

"Saya tak banyak kenangan dengan mak sebab masa tu kecil lagi. Tapi ingatlah semua yang terjadi dekat mak sebab saya yang jaga dia waktu sakit di hospital.

Tak semua orang ada tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa mereka.

ERAFETTYSHA MUKHTAR

"Saya seorang yang ikut naik van jenazah kebumikan mak, begitu juga dengan ayah. Sebab waktu pengebumian tu saya seorang je anak yang ada di kampung sementara adik-beradik lain tak sempat balik kerana menetap di Johor.

"Selepas pemergian mak, saya jadi rapat dengan ayah. Dia suka belikan baju untuk saya, siap hadiahkan sebuah motor untuk ke sekolah.

"Ayah memang seorang bapa yang sangat baik tetapi disebabkan dia selalu sakit, saya tak ada tempat untuk mengadu," ujarnya.

Tambahnya lagi, bukan semua individu mempunyai tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa.

Dia berasa amat bersyukur kerana masih mempunyai adik-beradik yang mengambil alih tugas sebagai ibu bapa.

"Tak semua orang ada tempat bergantung selepas kehilangan ibu bapa mereka. Ada yang terpaksa hidup sebatang kara tanpa ada sesiapa menghulurkan bantuan.

IMG_8556

Era mahu membalas jasa abang dan kakak iparnya dengan duit yang diperoleh daripada hasil jualan pakaian secara online.

"Saya sangat bersyukur kerana masih ada abang dan kakak ipar yang baik, layanan mereka semua sama rata.

"Walaupun tak sempat balas segala jasa mak dan ayah, saya harap biarlah duit yang saya cari sekarang digunakan untuk balas jasa kakak dengan abang pula," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain