suria

Wanita tegur kanak-kanak ‘terlebih berani’ main basikal tepi kubur jam 2.30 pagi, tak sangka anak buah sendiri

Nur Farhana tidak menyangka kanak-kanak perempuan yang dilihatnya bermain basikal seorang diri ketika awal pagi rupa-rupanya anak saudara sendiri.

TERLAJAK berani!

Itulah perkataan sesuai bagi menggambarkan gelagat seorang kanak-kanak perempuan yang selamba bermain basikal berhampiran kawasan tanah perkuburan pada awal pagi!

Gelagat kanak-kanak tersebut dirakam dan dikongsikan di aplikasi TikTok oleh ibu saudaranya yang sehingga kini meraih lebih daripada 45,000 jumlah tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Cabut dan main batu nisan, jumpa nenek bongkok antara pengalaman ‘berjiran’ dengan kubur usia hampir 200 tahun - “Apa nak takut, semua orang dalam tu dah mati”

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami yang kacau kawasan dia” - Rumah 9 bilik ada ‘penghuni asing’, gangguan bermula selepas pembeli abai pesanan owner lama

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Farhana Dewarjuti Nasution berkata insiden tersebut dirakam beberapa hari lalu ketika dia secara kebetulan melalui jalan di hadapan rumah ibu bapanya di Kampung Sungai Hala, Machang, Kelantan untuk mengambil pesanan makanan.

"Rumah ibu bapa saya memang terletak di tepi tanah perkuburan. Buka je pintu memang jelas nampak kubur. Itu tanah perkuburan lama dan sejak saya kecil lagi memang dah ada.

"Sekarang dah berumah tangga, saya tinggal di rumah sendiri namun tak jauh pun dari rumah mak ayah. Masa hari tu, saya nak ambil makanan yang dipesan dan memang kena lalu depan rumah mak ayah.

"Kedai di kampung kami memang buka hingga awal pagi. Lebih kurang pukul 2.30 pagi masa lalu dengan kereta, saya nampak seorang kanak-kanak leka main basikal depan rumah mak ayah. Rupa-rupanya anak buah saya.

"Saya terus tegur dia kenapa duduk luar pada awal pagi. Dia kata nak main basikal. Terus saya suruh dia masuk dalam rumah," cerita wanita berusia 29 tahun ini.

Menurut Nur Farhana, anak saudaranya, Qaisara yang berumur lima tahun sememangnya tinggal bersama ibu dan bapanya bersama dua adik beradiknya yang lain.

kubur siang 1

Tanah perkuburan ini terletak bertentangan dengan rumah ibu bapa Nur Farhana.

"Ibu Qaisara sedang bekerja di Kuala Lumpur, jadi mak dan ayah serta adik-adik saya yang jaga. Tak pasti macam mana dia boleh keluar, sama ada pandai buka kunci sendiri atau pintu tak berkunci.

"Qaisara memang tak takut, mungkin sebab keliling rumah mak ayah saya ni semua rumah saudara mara kami juga... biras-biras. Kadang-kadang kami bersembang sampai lewat pagi sebab tinggal dekat.

"Tapi masa video dirakam, memang tiada orang yang teman atau bersamanya. Mungkin Qaisara sendiri tak tahu ketika itu dah pukul 2.30 pagi," kata ibu kepada tiga orang anak ini.

Saya terus tegur dia kenapa duduk luar waktu awal pagi. Dia kata nak main basikal. Terus saya suruh dia masuk dalam rumah.

NUR FARHANA DEWARJUTI NASUTION

Pastinya ramai menganggap keluarganya sering berdepan gangguan tinggal berdekatan dengan kubur, namun menurut Nur Farhana, mereka sekeluarga tidak pernah diuji dengan situasi berkenaan.

"Cuma seorang anak saudara lelaki saya yang berusia tiga tahun, dia seolah-olah boleh nampak 'sesuatu'. Dia akan cakap nampak hantu macam pocong dan berwajah hodoh.

"Dan dia berani duduk atau bermain seorang diri di luar rumah. Kalau kami sedang bersembang dan dia cakap macam tu, automatik meremang juga bulu roma dan kami akan masuk dalam rumah," katanya yang menjalankan bisnes secara dalam talian (online).

komen 1

Antara komen netizen pada perkongsian video Nur Farhana.

Menurut Nur Farhana, perkongsian tersebut dibuat secara suka-suka namun dalam masa yang sama mahu mengingatkan ibu bapa atau penjaga untuk lebih peka dengan anak masing-masing.

"Mujurlah jalan depan rumah mak ayah saya bukan jalan utama. Kadang-kadang mungkin terlepas pandang. Walaupun anak-anak dah biasa dengan kawasan rumah tapi seeloknya kena peka," ujarnya lagi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain