suria

Jurumekap menangis, buat video 6 hari seminggu tapi masih tak meletup di TikTok! Hajat hati nak mekap Uqasha Senrose, Emma Maembong

Abby tetap meneruskan minatnya biarpun video yang dihasilkan tidak mendapat sambutan ramai.

SETIAP insan melalui perjalanan yang berbeza-beza sebelum menuju ke puncak kejayaan.

Malah, banyak liku yang terpaksa ditempuhi demi mencapai impian yang tersemat di hati.

Di aplikasi TikTok misalnya, tular video luahan hati seorang jurumekap (MUA) berusia 30 tahun yang sedih apabila hasil karyanya tidak mendapat perhatian ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Di sebalik hasil solekan cantik, jurumekap ini dedah hanya sekolah sampai Form 4 - “Belajar sendiri, tak pernah kursus sebab tak cukup duit”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ini seronok melukis di wajah sendiri, lukisan tengkorak nampak ngeri tapi ada cantiknya - “Mekap muka orang lain lebih susah”

Menurut Nur Syuhada Mohd Yatim atau senang disapa Abby, dia konsisten menghasilkan video solekan, namun menerima jumlah tontonan yang tidak memuaskan.

"Saya akan mekap bermula hari Isnin sehingga Sabtu, hanya Ahad saya cuti. Orang nampak video singkat, tapi penat sebenarnya duduk bersandar di kerusi, penat otak dan tangan dan mekap diri sendiri.

"Selain itu, saya juga kena cari aksesori. Pelbagai usaha dilakukan untuk menonjolkan kreativiti, tapi jumlah tontonan drop, video tak masuk FYP (For You Page) di TikTok.

"Kenapa orang tak nampak? Bukanlah saya nak jadi popular. Cuma saya pasti lagi bersemangat kalau ramai yang beri sokongan. Kadang-kadang sedih, sampai menangis waktu malam," ujarnya kepada mStar.

Menurut Abby yang menetap di Seberang Jaya, Pulau Pinang, dia akan tetap meneruskan minatnya itu biarpun sehingga kini video yang dihasilkan tidak mendapat sambutan ramai.

Malah katanya, dia sentiasa berterima kasih kepada sebilangan individu yang setia memberi sokongan biarpun dia tidak popular seperti jurumekap lain.

abby3

Abby sekeluarga menetap di Pulau Pinang.

Bercerita lanjut mengenai minatnya itu, Abby mengakui ia sudah lama, namun baru dilakukan secara serius dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

"Dulu masa habis sekolah, saya pernah kerja di kedai mekap. Kemudian tergerak hati nak belajar lebih mendalam. Saya juga ada masuk sebuah akademi mekap, semua pelajar berbangsa Cina dan hanya saya seorang gadis Melayu.

"Tapi saya tak sempat belajar habis kerana kekangan bahasa. Kemudian saya bekerja di kedai telefon selama lapan tahun sebelum berhenti kerja tahun lepas.

Kenapa orang tak nampak? Bukanlah saya nak jadi popular. Cuma saya pasti lagi bersemangat kalau ramai yang beri sokongan.

ABBY

"Sejak itu saya mula fokus betul-betul untuk mekap dan TikTok. Sejak 2019, saya banyak sertai kelas mekap dan turut menawarkan perkhidmatan mekap.

"Pada masa sama, saya cuba keluar dari zon selesa. Saya cuba-cuba hasilkan mekap art pada wajah sendiri," ujarnya yang juga ibu kepada seorang cahaya mata.

Kata Abby, sokongan suami, keluarga dan keluarga mentua menyebabkan dia terus bersemangat mengejar minat biarpun bakatnya belum mendapat perhatian ramai dan turut mendapat kecaman segelintir individu.

Malah kata Abby, dia teringin untuk menyolek wajah selebriti seperti Uqasha Senrose dan Emma Maembong jika diberi peluang suatu hari nanti.

abby2

Antara hasil solekan yang dibuat pada wajahnya sendiri.

"Ada juga rasa teringin nak mekap wajah selebriti. Ramai sebenarnya, tak terbilang. Tapi kalau ada rezeki, saya nak mekap wajah Uqasha dan Emma.

"Sejak buat TikTok, ada juga yang kecam. Mereka kata selalu mekap, tak bosan ke? Tak rosak muka ke? Saya kata tak apa. Asalkan saya tak kacau orang.

"Mungkin sekarang orang tak nampak saya, tapi pada masa akan datang ramai akan book untuk mekap dengan saya. Saya kena bersemangat dan buktikan kepada orang yang kecam.

"Yang penting kena teruskan belajar dan asah kemahiran," ujarnya mengakhiri bicara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain