"IBU sempat minta maaf... dia kata dia cuba lawan dan lakukan yang terbaik. Ibu juga sempat berpesan supaya kami tiga beradik jangan berpisah." Itulah pesanan terakhir ibu tersayang yang masih terngiang-ngiang di telinga anaknya sebelum wanita itu ditidurkan pada 3 September lalu. Menurut gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Ara, ibunya, Rafidah Hanis, 38, yang bertarung nyawa kerana dijangkiti Covid-19, akhirnya menghembuskan nafas terakhir di hospital pada 14 September, iaitu selepas 12 hari ditidurkan. ARTIKEL BERKAITAN: Isteri ‘pergi’ selepas 32 hari ditidurkan! Suami sempat minta doktor sambung talian tunjuk wajah bayi pramatang - “Tak semua di tempat saya boleh lakukannya” ARTIKEL BERKAITAN: Ibu demam hanya nak rehat di rumah, bapa yakin bukan virus Covid-19... 6 beradik reda jadi yatim piatu dalam masa 10 hari - “Umi pergi sebelum naik ambulans” Mengimbas kembali detik sebelum pemergian insan kesayangannya itu, Ara berkata pada mulanya ibunya mengalami demam selepas beberapa hari menerima suntikan pertama vaksin Covid-19. "Beberapa hari selepas ibu disuntik, dia mula demam. Kami semua fikir demam tu sebab kesan sampingan suntikan sebab kebanyakan orang akan alami simptom itu. "Hinggalah apabila demamnya tak kebah, ibu buat ujian sendiri menggunakan kit ujian yang dijual sekarang. Hasil ujian tersebut menunjukkan ibu positif Covid-19. Perkongsian Ara menerusi ciapan di Twitter menyentuh hati netizen. "Ayah hantar ibu ke hospital pada 31 Ogos dan terus ditahan di hospital. Sebelum dimasukkan ke wad, ibu cakap 'ibu minta maaf kalau tak balik rumah lagi. Ibu tak janji boleh balik dengan selamat tapi ibu janji sayang korang sampai syurga'. "Masa tu kami adik beradik dah macam risau juga... lebih-lebih lagi sebab ibu ada penyakit Lupus atau Systemic Lupus Erythematosus (SLE)," ujar Ara sambil menambah dia, bapa serta dua orang kakaknya disahkan negatif Covid-19. Gadis berusia 15 tahun yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, ibunya pernah koma selama 21 hari kerana penyakit SLE yang dideritainya sekian lama. "Masa tu sekitar 2012. Selama 21 hari ibu dekat ICU, kami tak pernah putus berdoa. Alhamdulillah, keajaiban berlaku atas kuasa Allah... ibu sedar semula. Ibu memang seorang yang kuat. Tangkap layar perbualan di Whatsapp beberapa hari sebelum ibunya ditidurkan. "Sebab itu bila ibu ditidurkan baru-baru ini, kami masih harap keajaiban yang sama berlaku. Kami tak putus-putus berdoa dan buat bacaan Yasin. "Dua hari selepas ibu ditidurkan pada 3 September tu, ibu buka mata dan seperti beri respons... sedikit sebanyak buat kami lega dan seakan beri petanda ibu akan pulih," ujarnya yang menetap di Kuala Selangor. Bagaimanapun menurut Ara, keadaan ibunya kembali merosot apabila kadar oksigen dalam darahnya turun mendadak. Kami dah kemas-kemas rumah tunggu kepulangan ibu... tapi Allah lebih menyayangi ibu kerana ibu seorang wanita yang sangat baik. ARA "Pada 14 September, ibu tenat dan kami sempat berhubung menerusi panggilan video pukul 10 pagi. Kami beritahu ibu, 'kalau ibu pilih syurga, ibu pergilah... kami reda. Kami tahu ibu penat... ibu tunggulah kami di syurga'. "Pada hari pertama kami reda dengan apa jua kemungkinan, ibu akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.36 tengah hari. "Kami dah kemas-kemas rumah tunggu kepulangan ibu... tapi Allah lebih menyayangi ibu kerana ibu seorang wanita yang sangat baik," katanya sambil menambah, jenazah ibunya dikebumikan di kampung halamannya di Ijok, Selangor. Tidak menyangka perkongsian kisah pemergian arwah ibunya meraih sehingga 16,400 retweet, Ara berkata dia sangat terharu kerana ramai yang menitipkan doa buat insan kesayangannya itu. Sebahagian daripada ratusan komen netizen yang mendoakan arwah ibu Ara. "Terlalu ramai orang yang doakan ibu hingga sekarang... ibu memang seorang yang lemah lembut dan sangat suka bersedekah. Selama hidap SLE, tak pernah dia mengeluh. "Rindu sangat dengan ibu sebab kami bertiga terlalu rapat dengannya kerana semuanya perempuan. Rindu nak makan masakannya dan semuanya tentang ibu. "Bagi mereka yang masih ada ibu, hargailah selagi masih ada masa dan peluang. Rindu kepada orang yang jauh boleh telefon, tapi rindu kepada orang yang dah terpisah alam ni memang sakit. "Apa pun kami reda kerana kami yakin ibu berada di tempat yang terbaik di sana. Tak sangka tweet ni blow up. Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang doakan ibu," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI