suria

Nak dekat dengan ibu, mahu selalu ‘jumpa’ arwah ayah! Anak tolak tawaran kerja di KL, curi masa singgah kubur selepas COD takoyaki

Azhar berkongsi video dia menziarahi pusara Allahyarham bapanya menerusi aplikasi TikTok.

SEJAK pandemik Covid-19 melanda, ramai lepasan universiti mengalami kesukaran dalam mencari pekerjaan.

Menurut Muhammad Khairul Azhar Ab Rahman, 22, dia turut terkesan sehingga terpaksa mencari alternatif lain demi mencari sumber pendapatan.

Berkongsi cerita kepada mStar, penuntut bidang Pengurusan Pelancongan yang mesra disapa Azhar itu sempat bekerja selama tiga bulan sahaja, namun kontraknya tidak disambung gara-gara pandemik.

ARTIKEL BERKAITAN: Selamba baring dalam liang lahad! Pemuda ini tak takut gali kubur, tinggalkan dulu kerja hakiki jika ada kematian - “Kalau tak masuk sekarang, nanti masuk sini juga”

ARTIKEL BERKAITAN: Rider tersadai di kubur Cina, siapa pelanggan misteri tempah 2 set makan malam? - “Saya cuba hubungi dan mesej...”

Enggan bersedih dengan hal itu, dia sebaliknya tampil dengan idea kreatif untuk membuka gerai dan menjalankan perniagaan takoyaki di Masjid Tanah, Melaka sejak pertengahan tahun lalu.

"Saya habis belajar tahun lepas. Saya sempat bekerja dalam bidang pelancongan selama tiga bulan.

"Selepas itu kontrak saya tidak disambung memandangkan sektor pelancongan lumpuh ketika pandemik.

"Kebetulan masa cuti semester dulu saya pernah bekerja di kedai takoyaki. Berbekalkan pengalaman lalu, saya buka gerai sendiri.

azha45

Gambar kenangan bersama Allahyarham bapanya.

"Saya buka gerai di tepi jalan saja. Saya juga dibantu seorang anak saudara," ujarnya ketika dihubungi.

Menurut Azhar, bidang itu bukanlah satu kerja yang mudah, malah dia juga hampir berputus asa ketika fasa awal berniaga.

Saya lalu depan kubur selepas COD takoyaki. Rasa macam terdetik untuk singgah.

AZHAR

Selain itu katanya, dia turut berdepan pelbagai cabaran termasuklah keadaan cuaca yang tak menentu sepanjang berniaga di lokasi itu.

"Ketika awal berniaga, sambutan agak perlahan. Orang pun baru nak kenal dengan gerai kami. Tapi Alhamdulillah, sekarang makin stabil.

"Pada bulan pertama berniaga, saya hampir putus asa. Rasa sangat susah. Tapi bila fikirkan keluarga serta sokongan dan doa emak, saya teruskan saja.

"Paling susah tentunya cabaran cuaca. Panas memang satu hal kerana kami memasak. Bab itu tak perlu cerita. Kemudian ada ribut dan hujan lebat. Pernah khemah berniaga nyaris terbang atas jalan.

azhar2

Gerai takoyaki yang diusahakan oleh Azhar.

"Kelengkapan berniaga turut diterbangkan angin. Meja pun pernah terbalik," ujar anak bongsu daripada lima beradik itu.

Dalam pada itu, Azhar turut berkongsi kisah di sebalik video dia berkunjung ke pusara Allahyarham bapanya, Ab Rahman Enjah yang dikongsi menerusi aplikasi TikTok.

Kata Azhar, dia singgah ke tanah perkuburan itu ketika dalam perjalanan pulang selepas melakukan penghantaran takoyaki kepada pelanggannya, baru-baru ini.

"Ayah meninggal akibat sakit kronik pada 3 Januari 2019. Biasanya setiap Jumaat saya akan ziarah kubur.

"Tapi pada hari tersebut, saya lalu depan kubur selepas COD takoyaki. Rasa macam terdetik untuk singgah, jadi saya ziarah sekejap.

azhar3

Mendapat tawaran kerja di ibu negara, tetapi Azhar memilih untuk terus berniaga di Melaka.

"Saya sekadar kongsi video untuk beri mesej kepada semua agar hargai mak ayah selagi mereka masih ada," ujarnya lagi.

Kata Azhar, dia baru-baru ini ada mendapat tawaran kerja di Kuala Lumpur, namun memilih untuk terus berniaga dan berada dekat dengan ibunya, Rohani Abu Bakar yang kini berusia 65 tahun.

"Rancangan saya memang nak teruskan bisnes ini. Saya ada dapat tawaran kerja di Kuala Lumpur. Tapi saya tak sampai hati nak tinggalkan emak.

"Saya mengalah, mungkin rezeki saya untuk jaga emak, dapat berniaga dekat dengan emak," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain