SEBUT sahaja ular, pasti ramai yang geli geleman kerana terbayang kulit reptilia itu yang bersisik, licin dan lembik. Bayangkan pula sekiranya haiwan tersebut 'tumpang' sekatil ketika anda sedang melelapkan mata. Sudah pasti ia mencetuskan situasi panik dan kelam kabut lebih-lebih lagi bagi mereka yang alergi atau takut dengan haiwan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa nampak ular ‘target’ anak sedang mandi air terjun tapi tak sempat bertindak, tiba-tiba dah kena patuk 2 kali - “Dua klinik tak terima kes ni” ARTIKEL BERKAITAN: Dah 3 kali tedung masuk rumah, mujur lelaki ini tak pegang ular keempat di belakang wallpaper... nampak comel rupa-rupanya ada bahaya menanti Begitulah situasi yang dialami oleh wanita ini sebaik sahaja menyedari kelibat seekor ular sawa yang tersesat masuk ke dalam rumah dan 'menumpang' katilnya. "Tengah tidur 'dia' boleh merayap dekat kaki," tulisnya pada video yang dimuat naik di aplikasi TikTok yang memaparkan seekor ular sawa sebesar lengan kanak-kanak sedang merayap di atas katil. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Ummu Emma berkata, ketika kejadian pada pukul 3 pagi beberapa hari lalu itu, dia sudah melelapkan mata manakala adiknya yang berusia 16 tahun sedang bermain telefon bimbit. "Kami memang tutup lampu bilik jadi suasana agak gelap. Tiba-tiba ada bunyi seperti benda terjatuh dekat meja solek. Saya yang tidur ni terdengar juga tapi mamai-mamai. Tak pergi jenguk atau buka lampu pun. "Ular tu naik atas katil dekat hujung kaki. Kata adik, dia rasa macam sesuatu bergerak tapi buat tak tahu je. Tapi dia tak sedap hati dan suluh guna lampu telefon bimbit. "Terus dia menjerit dan melompat dari katil. Saya tersedar dan duduk tapi tak turun katil sebab mamai... saya tanya kenapa, dia kata ada ular. "Automatik mata saya jadi segar dan terus melompat dari katil. Adik kata ular tu menjalar atas kaki kami berdua. Tak boleh saya bayangkan!" kata wanita berusia 23 tahun ini. Ummu (dua, kanan) menetap bersama keluarganya di Kampung Parit Saniman, Pontian. Senang disapa sebagai Ummu, wanita ini berkata mereka berdua segera memanggil ibu dan bapa untuk menghalau ular berkenaan. "Sebelum ayah tangkap, saya sempat rakam videonya sedang menjalar atas katil. Ayah cekup kepalanya dan cepat-cepat keluar... ayah buang ular tu dekat kebun kelapa sawit yang terletak berhampiran rumah kami. "Sebenarnya ayah tak berani juga... lebih-lebih lagi ini kali pertama kejadian ular masuk rumah. Tapi dia beranikan diri untuk tangkap dan dia pun tak sangka mampu buat macam tu," ujar anak keempat daripada lapan adik beradik ini. Ummu yang menetap bersama keluarga di Kampung Parit Saniman, Pontian, Johor mengakui kejadian tersebut membuatkannya sedikit trauma setiap kali mahu melelapkan mata kerana terbayang kelibat reptilia berkenaan. Ayah cekup kepalanya dan cepat-cepat keluar... ayah buang ular tu dekat kebun kelapa sawit yang terletak berhampiran rumah kami. UMMU EMMA "Pagi kejadian, saya tak boleh tidur sampai pukul 6 pagi. Tak tahu macam mana ia muncul, tapi rasanya dari atas siling bilik kami sebab ada lubang. Lagi pula rumah kami ni dekat dengan kebun sawit... mungkin ia berasal dari sana. "Bunyi yang kami dengar pagi tu adalah bunyi ular tu terjatuh dari siling. Selepas kejadian tu juga, saya dan adik berpindah ke bilik lain buat sementara. Kami tak berani nak tidur di bilik sendiri. "Ayah nak betulkan dan renovate sikit bilik tu. Bila dah siap nanti barulah pindah semula," ujarnya yang bekerja di sebuah kilang di Pontian. Netizen turut meluahkan rasa 'seriau' selepas melihat perkongsian video Ummu. Menurut Ummu, dia memuat naik video berkenaan kerana mahu berkongsi pengalaman 'seram' yang dialaminya dan dalam masa yang sama mahu mengingatkan orang lain agar berjaga-jaga dan sentiasa peka dikhuatiri terdapat 'makhluk asing' yang menumpang di dalam rumah. "Tak sangka pula raih jumlah tontonan yang tinggi. Tapi ada yang kongsi pengalaman lebih dahsyat daripada saya... bukan setakat ular sawa tapi ular tedung yang ceroboh bilik. "Ada pula yang lahirkan rasa takut dan risau nak tidur selepas tengok video yang saya kongsi. Apa pun, moga kita saling beringat dan lebih berhati-hati selepas ini," katanya lagi. Sehingga kini video yang dimuat naik oleh Ummu meraih melebihi 222,000 jumlah tontonan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!