suria

“Ingat tak letih ke jadi anak sulung?” - Si cilik membebel sambil main handphone ibu... kenapa ramai ucap terima kasih, siap nak lantik jadi presiden persatuan!

Video Sofia meluahkan perasaannya sebagai anak sulung yang dimuat naik oleh ibunya di TikTok mencuit hati netizen.

INDIVIDU yang dilahirkan sebagai anak sulung sememangnya menjadi harapan ibu bapa untuk membantu melakukan pelbagai perkara termasuk menjaga adik-adik.

Baru-baru ini video yang memaparkan gelagat seorang kanak-kanak perempuan membebel dan 'meluahkan' isi hatinya sebagai anak sulung yang terpaksa berkorban demi adik-adik, benar-benar menghiburkan netizen.

"Ingat tak letih ke jadi anak sulung? Adik buat hal, kita kena marah," demikian antara 'bebelan' kanak-kanak tersebut dalam loghat Terengganu pekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu terkedu tengok pengorbanan anak sulung sanggup basah kuyup, berlari dukung adik dari sekolah - “Dia dah patah balik nak ambil payung”

ARTIKEL BERKAITAN: Umur 7 tahun tapi cukup matang, ibu kongsi cerita si sulung kerap mengalah dengan adik-adik... ramai cair lihat wajahnya

Sehingga kini video berkenaan meraih melebihi 201,000 jumlah tontonan dengan dibanjiri ratusan komen lucu netizen.

"Terima kasih adik wakilkan kami semua.

"Adik ni boleh jadi presiden persatuan anak-anak sulung," demikian antara komen yang dilontarkan netizen.

Menurut Hasnoor Hashim, anak sulungnya yang berusia enam tahun itu sememangnya petah bercakap seawal usia tiga tahun lebih-lebih lagi sering menghabiskan masa dengan nenek, datuk dan ibu-ibu saudaranya.

"Ceritanya, saya pun tak tahu dia rekod video tu. Mula-mula saya saja main filter wajah dekat telefon bimbit dan dia pun nak cuba juga. Jadi saya bagi la dia main.

"Saya sendiri tak perasan dia cakap apa dekat tempat duduk belakang kereta... ingatkan dia cakap seorang diri. Bila tanya dia balik, terus dia bagi handphone semula kepada saya.

sulung baru 1

Sofia bersama salah seorang adiknya.

"Saya save saja dan bila tengok balik video tu, nak tergelak pun ada. Mulut dia memang macam tu," ujarnya bercerita mengenai anak perempuannya yang bernama Puteri Elmy Sofia Muhammad Emirza.

Bercerita lebih lanjut, Hasnoor atau senang disapa sebagai Elly berkata, sungguhpun puterinya itu merupakan anak sulung namun dia mempunyai sifat yang sangat manja berbanding dua adik-adiknya.

sulung baru 2

Menurut Elly, dia dan suaminya mengambil pendekatan seimbang dalam mendidik anak-anak.

"Mungkin daripada video tu orang akan 'judge' dan menganggap ibunya garang. Bagi saya, anak-anak perempuan sekarang sewajarnya dididik dengan tegas.

"Sofia sangat manja dengan papanya, saya pula lebih tegas sedikit. Tak boleh dua-dua tegas, atau dua-dua manjakan anak... kena seimbang. Tapi Sofia ni manja. Bila kena marah, dia yang menangis dulu.

"Dia memang ada ciri-ciri anak sulung dan kakak yang bertanggungjawab. Saya ingat lagi semasa berpantang selepas bersalin anak bongsu setahun yang lalu, Sofia yang banyak tolong dan memang ringan tulang.

Dia memang ada ciri-ciri anak sulung dan kakak yang bertanggungjawab.

HASNOOR HASHIM

"Dia rajin tolong papanya siapkan makanan berpantang, tolong bab botol susu adik kecilnya, tolong buangkan lampin pakai buang. Memang boleh diharap dan dia memang suka lakukannya tanpa disuruh pun.

"Selain itu dia memang senang mengalah dengan adik-adik," cerita ibu kepada tiga cahaya mata yang menetap di Kemasek, Terengganu ini.

komen sulung

Antara komen-komen netizen yang terhibur dengan gelagat Sofia.

Elly yang merupakan seorang jurusolek berkata, dia sama sekali tidak menyangka keletah anak sulungnya mencuit hati ramai.

"Dia tahu videonya viral... siap tanya lagi dia dah jadi artis ke. Ada juga yang komen minta kami buatkan satu akaun TikTok khas untuknya. Tapi saya dan suami keberatan kerana dia masih kecil lagi. Biarlah dia share dulu dengan akaun saya," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain