suria

Berkat niat nak balas jasa orang tua... gadis Kelantan kini bergelar doktor walau sering berdepan risiko dijangkiti Covid-19 - "Ibu ayah percayakan saya"

Najiha tidak dapat menahan sebak apabila keputusan peperiksaannya dipaparkan.

RAKAMAN video seorang gadis berkongsi detik kejayaan bergelar seorang doktor bersama keluarganya membuat ramai pengguna TikTok sebak.

Menerusi visual berdurasi 12 saat itu memaparkan mereka sekeluarga meraikan saat indah tersebut ketika keputusan peperiksaan diumumkan Universiti Sains Malaysia (USM).

Jumlah tontonan video tersebut hampir mencecah 500,000 tontonan di aplikasi tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis kaku 10 saat, boyfriend tak pandai buat surprise ‘sangat sweet’ ketika melamar guna bonet kereta - “Rasa tak layak untuk semua ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Anak menangis, semput masa ‘live’ jual baju bundle gara-gara kena scam... bapa tahan air mata - “Dia kata nak borong banyak, baru dapat gaji”

Bercakap kepada mStar, Nik Najiha Ayesha Nik Nor Azmi, 24, bersama keluarganya menanti keputusan peperiksaan akhir di kediaman mereka yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.

Walaupun rasa takut dan berdebar sewaktu menanti keputusannya, namun gadis berkenaan reda dengan ketentuanNya.

"Video itu dibuat untuk merakam reaksi saya dan keluarga semasa majlis pengumuman keputusan peperiksaan Profesional 2 iaitu peperiksaan akhir untuk menjadi seorang doktor yang dilangsungkan secara online pada Isnin.

"Sepatutnya majlis bermula pukul 4 petang tapi mesyuarat doktor USM berkaitan keputusan peperiksaan ini berakhir agak lambat dan pengumuman dibuat pada pukul 5.15 petang.

IMG_7022

Najiha (tiga, kiri) merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari USM, Kubang Kerian, Kelantan

"Waktu itu memang rasa berdebar, takut, berharap tapi paling banyak ialah tawakkal kepada Allah bahawa Dia dah tetapkan yang terbaik untuk saya," katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Doktor Perubatan dari USM, Kubang Kerian, Kelantan.

Mesra disapa Najiha, dia berasa amat bersyukur kerana doanya termakbul dan segala usaha yang dilakukan sebelum ini membuahkan hasil.

Tambahnya lagi, berkat doa daripada kedua ibu bapanya Nik Elida Nik Omar, 57, dan Nik Noor Azmi Ghazali, 55, serta guru-guru banyak mendorong meneruskan perjuangan untuk menjadi seorang doktor.

"Bila keputusan dah keluar, masa itu saya amat bersyukur kerana Allah telah makbulkan doa saya dan keluarga, malahan berasa lega kerana penat lelah menuntut ilmu selama ini akhirnya terbalas.

IMG_6765

Najiha berasa takut dan gementar sewaktu menanti keputusan akhir peperiksaannya.

"Mereka bersyukur kepada Allah kerana semua penat lelah saya membuahkan hasil dan berasa bangga atas kejayaan saya, semua ucapkan tahniah.

"Setiap hari saya akan menyoal diri sendiri adakah saya berada dalam bidang yang betul atau tidak. Tetapi berkat doa ibu bapa dan guru, saya meneruskan juga perjuangan ini," katanya.

Menurut Najiha, pelbagai cabaran yang ditempuhi sepanjang bergelar seorang pelajar perubatan dalam keadaan negara dilanda pandemik.

Selain daripada sesi pengajian diadakan secara online, dia juga terdedah dengan risiko mendapat jangkitan Covid-19 ketika berada di wad dan klinik Hospital USM, Kubang Kerian.

"Seperti yang dialami oleh semua pelajar seluruh dunia disebabkan Covid-19 ini, pembelajaran menjadi terhad dan banyak pengubahsuaian yang perlu dilakukan.

photo_2021-09-29_18-00-07

Najiha sangat terhutang budi kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban.

"USM menggunakan sistem jadual untuk mengehadkan bilangan pelajar dalam wad serta klinik dan semasa kes terlalu tinggi, kami terpaksa meneruskan pengajian teori secara online.

"Kami juga terdedah kepada risiko mendapat jangkitan Covid-19 kerana berjumpa dengan pesakit setiap hari tetapi alhamdulillah terlindung dengan pemakaian PPE dan SOP yang betul," katanya

Anak ketiga daripada empat beradik ini sangat terhutang budi kepada kedua ibu bapanya kerana sudah terlalu banyak berkorban demi anak mereka.

Itu juga menjadi salah satu sebab mengapa Najiha belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa mereka yang tidak ternilai.

"Ibu dan ayah sentiasa percayakan saya dan memberikan yang terbaik buat anak-anaknya. Memandangkan rumah kami berdekatan dengan universiti, ayah sayalah yang hantar dan ambil saya setiap hari dari kelas serta hospital.

Sesungguhnya perjalanan saya juga masih jauh lagi, saya berharap kita semua akan kuat menghadapi segala cabaran di masa hadapan.

NIK NAJIHA AYESHA NIK NOOR AZMI

"Ibu pula menyediakan makanan pagi setiap hari sebelum saya ke hospital. Sebab itulah saya belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa mereka yang tidak terkira dan menjadi seorang individu yang berguna di masa hadapan.

"Sekarang ni saya tengah tunggu permohonan untuk housemanship dibuka secara online. Masa terluang ini saya gunakan untuk berehat dan membantu sedikit sebanyak program di universiti," ujarnya kepada mStar.

Najiha akui ramai yang terkesan disebabkan wabak ini dan berharap mereka tabah menghadapi cabaran dan perjuangan pada masa akan datang.

Dia juga mahu setiap individu untuk lakukan yang terbaik untuk mencapai apa yang diimpikan.

"Saya tahu terlalu ramai mereka yang terkesan kerana Covid-19 ini. Saya harap semuanya kuat menghadapi cabaran masing-masing kerana saya percaya setiap orang mempunyai perjuangan berbeza.

IMG_7107

Kini Najiha (tiga, kiri) sedang menanti permohonan untuk housemanship dibuka secara online.

"Sesungguhnya perjalanan saya juga masih jauh lagi, saya berharap kita semua akan kuat menghadapi segala cabaran di masa hadapan.

"Dalam masa yang sama juga saya harap kita semuadapat menjadi versi terbaik daripada diri kita dan mencapai kegembiraan," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain