suria

Padah penyet semut api! Perkelahan selepas lama tak jumpa bertukar tragedi, wanita hampir maut... sesak nafas sampai pengsan

Nora Lee hampir maut digigit semut api ketika berkelah di Pantai Moknik (Monica Bay) Kemaman, Terengganu.

NIAT mereka sekadar ingin meluangkan masa bersama setelah setahun tidak berjumpa, namun siapa sangka perkelahan mereka bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka hampir maut akibat digigit semut.

Bercakap kepada mStar, Hasnoor Hashim atau lebih mesra dipanggil Elly berkata, kejadian berlaku di Pantai Moknik (Monica Bay) Kemaman, Terengganu, pada Ahad lepas (Oktober 3).

ARTIKEL BERKAITAN: Luar biasa cekal! Guna sebelah kaki, tak ubah suai basikal... pemuda ini mampu kayuh sejauh 25km - “Kalau sedih, bukannya boleh tumbuh balik”

ARTIKEL BERKAITAN: Jurutera tak sangka hilang kawan gara-gara nak kuruskan badan, terpaksa kuat semangat sebab ‘gerun’ dengar kata-kata doktor

Jelasnya, mereka hanya sempat meluang masa sekitar 30 minit sebelum rakannya yang digigit semut-semut tersebut, Nora Lee, 22, mula menunjukkan simptom alahan teruk.

"Kami decide nak lepak dalam 30 minit je sebab nak hujan, tapi dalam 20 minit lepas tu kawan saya dah mula kena gigit masa kami duduk bawah pohon rhu dekat tepi pantai.

"Masa kena gigit tu dia naik bekas macam kena gigit nyamuk, dia tunjuk pada saya mula-mula kecik, lepas tu bekas tu makin besar dan merah.

"Lepas 10 minit mata dia mula berair, masa tu dia ingat sebab makan makanan pedas tapi saya beritahu dia yang makanan tu tak pedas pun," ceritanya yang bekerja sebagai jurusolek.



Nora dan Sara (kanan) sudah setahun tidak bertemu.

Keadaan bertambah kritikal apabila Nora mula rasa tekaknya semakin sempit dan dia mengalami kesukaran untuk bernafas.

"Dia beritahu saya tekak dia rasa sempit, leher dia gatal, lepas tu saya tengok muka dia dah start naik bintik-bintik gatal padahal selama ni muka dia licin.

"Bintik-bintik tu sampai membuatkan muka dia jadi bengkak, bintik tu dari dalam kulit, memang nampak dia keluar satu-satu," terangnya.



Muka Nora naik bintik-bintik gatal.

Menurut Elly, sahabatnya itu mula tidak sedarkan diri sewaktu dalam perjalanan ke hospital.

"Allah je tahu, masa tu saya pegang anak dekat depan dan suami saya yang drive, Nora di belakang garu-garu mata dia yang dah merah.

"Setiap masa saya tanya dia okay tak? Dia sempat cakap 'kak nasib baik tak kena pada anak-anak' sebelum dia pengsan.

"Masa dia pengsan saya tak berhenti tengok dia, check nafas dia memang boleh nampak nafas dia tersekat-sekat," katanya.



Nora tidak sedarkan diri.

Selain Elly dan Nora, perkelahan tersebut turut di sertai suami Elly, sepupu suaminya, adik Elly dan tiga anak Elly.

Menurut Elly, dia bersyukur mereka sempat bawa Nora segera ke hospital sebelum berlaku perkara yang lebih buruk.

"Sebenarnya Nora sempat tolong kami kemas-kemas masa tu memang nak balik, ingatkan nak hantar dia balik sebab ingat tak serius.

"Tapi dia cakap tak tahan dah, jadi kami buat keputusan untuk bawa dia ke bahagian kecemasan, Hospital Besar Kemaman.

"Kalau saya hantar dia balik mungkin saya akan menyesal seumur hidup sebab doktor cakap kalau lambat hantar dia ke hospital dia boleh meninggal," jelasnya.



(Gambar File) Semut api atau Fire Ant yang dikatakan mengigit Nora. (Kredit Alex Wild)

Nora dimasukkan ke hospital selama dua hari dan menurut doktor semut api atau Fire Ant yang mengigitnya sememangnya sangat berbahaya.

"Sampai dekat kecemasan doktor kejut dia tak sedar, dia rebah, bila doktor buka baju dia penuh dengan bintik-bintik merah.

"Doktor beritahu yang dia alah teruk sangat dan kalau lambat dibawa ke hospital boleh ragut nyawa," katanya yang dia masih trauma susulan kejadian tersebut.

Jelasnya, mereka semua tidak sedar bahawa semut terbabit berbahaya.

"Memang kita nampak semut tu merayap atas tikar, ada dalam 10 ekor lepas tu Nora penyek dengan jarinya, itu yang kena gigit," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain