suria

Sayu... rider gembira dihadiahkan kasut terpakai, tak mahu pakai pergi kerja tapi nak simpan untuk jalan-jalan - “Dah lama perasan kasut kerjanya lusuh”

Video yang dirakam oleh isteri Faithal tular di aplikasi TikTok.

SIKAP pemurah lelaki ini yang menghadiahkan kasut terpakai buat seorang pekerja syarikat penghantaran J&T menerima pujian ramai.

Malah, rakaman video melibatkan Mohd Faithal Abu Samah, 38, yang dirakam secara diam-diam oleh isterinya, Erin Nooryanti Abdul Rahim, 37, turut meraih ratusan ribu tontonan di aplikasi TikTok.

Bercerita kepada mStar, bapa kepada tiga cahaya mata yang menetap di Segambut, Kuala Lumpur itu mengakui tersentuh hati melihat kasut lusuh yang dipakai pekerja lelaki berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas sedekah RM100, pemuda ini terkejut keluarga yang dibantu minggu lalu mahu bayar balik duitnya - “Dengan RM200 tu mereka kata boleh survive?”

ARTIKEL BERKAITAN: Azan hampir berkumandang, jejaka ini lewat berbuka kerana lebih fikirkan perut 3 beranak ‘tersidai’ tepi jalan

Menurutnya, dia sudah beberapa kali terserempak dengan pekerja lelaki itu, namun baru berkesempatan menghulurkan sepasang kasut pada Ahad lalu.

"Pada waktu itu, saya sekeluarga baru nak keluar. Isteri berada dalam kereta, saya pula sedang kunci pagar rumah. Kebetulan adik J&T datang hantar barang.

"Dia sebenarnya selalu cover kawasan kami. Dah banyak kali perasan dia pakai kasut sama. Nampak macam lusuh, saya pun rasa simpati. Kita ada banyak kasut, tapi tengok dia pakai yang sama saja.

"Sebelum ini pun saya pernah suarakan hasrat ini kepada isteri. Cuma tak berkesempatan, sebab dia datang hantar barang pun dalam keadaan cepat.

"Jadi kebetulan pada Ahad lalu kami bertemu lagi. Saya terus tanya saiz kaki dia. Kebetulan kaki kami saiz lebih kurang sama. Terus saya bagi kasut," imbasnya.

faithal1

Faithal bersama isteri dan tiga anaknya.

Mesra disapa Faithal, dia yang bekerja sebagai koordinator dalam bidang pengangkutan mengakui tidak sedar perbualan singkat dia dan pekerja penghantaran berkenaan dirakam oleh isterinya.

Malah, dia yang hanya memiliki akan laman sosial Facebook terkejut apabila video berkenaan tular dan meraih ratusan ribu tontonan di aplikasi TikTok milik isterinya.

"Semuanya berlaku secara spontan. Isteri saya ada TikTok dan dia memang suka rakam video. Tapi pada waktu itu, saya pun tak sedar dia rakam video.

Adik tu kata kasut masih cantik, dia nak guna untuk berjalan-jalan.

MOHD FAITHAL ABU SAMAH

"Saya sendiri pun tak ada TiKTok, hanya ada Facebook. Esoknya dia maklumkan video itu viral. Memang terkejut, tapi saya terharu dengan komen positif netizen. Moga video ini dapat jadi ikutan.

"Saya cuma menghargai tugasan pekerja penghantaran itu. Tak salah kalau saya bagi sepasang kasut yang saya ada.

"Condition kasut itu pun masih OK untuk dipakai bekerja. Tapi adik tu kata kasut masih cantik, dia nak guna untuk berjalan-jalan," ujar Faithal lagi.

faitahl3

Tangkap layar video tular itu yang dikongsi oleh isterinya di TikTok.

Di ruangan komen TikTok, ramai netizen turut menzahirkan rasa terharu atas sumbangan tersebut.

Malah, ada yang turut menitipkan pesan agar kita semua sentiasa menghargai penat lelah pekerja penghantaran termasuklah yang bekerja sebagai runner dan rider.

"Tiba-tiba rasa sebak. Baiknya awak suami isteri. Moga sentiasa dalam kasih sayang Allah.

"Mudahnya nak dapat pahala. Dan muda nak bagi orang rasa bahagia walaupun sederhana.

"Terharu ada yang ambil berat pada adik-adik hantar barang dan rider-rider kita. Murah rezeki," tulis beberapa netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain