suria

Nak ke lokasi rare, dah sampai terus patah balik... tiba di rumah kena marah dengan mak ayah pula! - “Tak semua tempat viral cantik tu selamat”

Aziera (gambar kecil) berasa takut selepas terdengar bunyi menyeramkan sewaktu dalam perjalanan keluar dari hutan.

"FOBIA terus ya geng."

Itulah kata-kata seorang gadis setelah perasaan teruja untuk mandi di sungai bertukar menjadi seram gara-gara satu suara di dalam hutan.

Video yang dimuat naik oleh gadis berkenaan setakat ini meraih sebanyak 51,000 tontonan di aplikasi TikTok.

ARTIKEL MENARIK: Nak panggil pakcik atau abang? Pemuda ini ‘sentap sikit’ bapanya disangka anak gara-gara nampak lebih muda, fit

ARTIKEL MENARIK: Kereta berpusing 4 kali selepas hilang kawalan, pemandunya masih ‘semangat’ nak OOTD, photoshoot di lebuhraya - “Macam lawa pula highway ni”

Bercakap kepada mStar, Nur Aziera Atasya Zolkhifly, 20, berkata, kejadian berlaku jam 11:30 pagi sewaktu dia dan rakannya Nur Diyana Kamal Rudin, 20, dalam perjalanan pulang dari sebuah sungai di Kledang Saiong, Perak.

Sebelum itu, mereka berdua mendaki Bukit Kledang dan selepas itu merancang untuk meluangkan masa di sungai setelah lama berada di bawah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).

"Saya dengan Diyana baru lepas hiking dekat Bukit Kledang. Arah nak balik tu kami rancang nak singgah ke sungai di Kledang Saiong untuk rendam kaki je sebab dah lama tak pergi.

dsf

Aziera merakam detik perjalanannya menuju ke kawasan sungai tersebut bersama Diyana.

"Tapi sungai tu tutup pula, itu yang saya pergi ke satu lagi lokasi di dalam video tersebut. Rasa excited sangat sebab pernah nampak senior saya kongsi dekat Instagram Story dia, macam best tempatnya.

"Sebab itu juga saya terus buat video untuk merakam sepanjang perjalanan nak ke sana, tapi tak sangka lain pula yang terjadi," katanya yang menetap bersama keluarga di Ipoh, Perak.

Lebih mesra disapa Aziera, katanya, mereka berdua tetap meneruskan perjalanan seperti biasa walaupun terdetik perasaan seram ketika lalu di beberapa kawasan menuju ke sungai tersebut.

Bagaimanapun mereka akhirnya sampai ke sungai yang tersembunyi dan tidak diketahui ramai itu setelah 15 minit berjalan di dalam hutan.

"Masa dalam perjalanan saya tak ada rasa apa sangat, cuma ada beberapa bahagian je yang rasa macam seram sejuk sikit. Sebab kawasan hutan kan suasananya sunyi.

"Tapi waktu itu kawan saya macam okay je nak teruskan perjalanan sebab masing-masing macam dah excited nak sampai ke sungai cantik tu.

hbj

Laluan kecil (anak panah kiri) yang mereka berdua gunakan untuk menuju ke kawasan sungai.

"Tempat itu memang agak tersorok dan betul-betul nampak ada privasi. Cuma ada la sedikit sampah sarap, mungkin sebab tak ada orang yang menjaga," katanya yang merupakan pelajar Diploma Pengursan dan Teknologi Pejabat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang.

Walaupun sudah tiba di situ, Aziera dan Diyana hanya menghabiskan kurang dari lima minit sahaja di lokasi tersebut kerana terdapat sekumpulan kanak-kanak sedang bermandi-manda dan tiada tempat yang lebih selesa untuk mereka berdua.

Namun dalam perjalanan pulang ke kereta, Aziera tiba-tiba terdengar bunyi yang kuat namun tidak pasti sama ada ia suara binatang buas atau makhluk halus.

"Saya mula rasa takut sebab rasa macam ada sesuatu yang tak kena, bila nak patah balik bulu roma tiba-tiba naik. Masa tu saya memang terfikir binatang buas yang akan muncul.

"Sebab saya seorang je terdengar bunyi yang kuat macam bernafas dan bunyi seperti mengeram. Kawan saya pun dah mula risau sebab takut kalau kami tersesat.

IMG_0619

Aziera (kanan) mencapai tangan Diyana dan berjalan secepat mungkin untuk ke kereta.

"Saya terus capai tangan Diyana dan terus jalan laju-laju. Tak nak beritahu Diyana dekat situ juga apa yang saya dengar, nanti dia jadi lagi cemas.

"Memang mulut tak berhenti baca ayat Kursi dan ayat pelindung diri sepanjang perjalanan balik. Alhamdulillah selamat keluar dan sampai kereta selepas 20 minit berjalan," katanya yang merupakan anak jati Perak.

Menurut Aziera, dia terus memberitahu kedua ibu bapanya Azizah Zolkhifly, 61, dan Zolkhifly Shaari, 67 tentang apa yang telah berlaku sebaik sampai sahaja di rumah.

Dia mengaku kesilapannya kerana tidak meminta izin mereka untuk ke kawasan tersebut tanpa ditemani sesiapa.

"Memang kena marah la sebab pergi pun berdua dan last minute bagitahu mereka. Ibu ayah dah pesan awal-awal, lepas ni elakkan pergi ke kawasan hutan dan tempat bahaya macam tu.

Tak semua tempat viral cantik yang kita tengok di media sosial tu selamat untuk kita pergi.

NUR AZIERA ATASYA ZOLKHIFLY

"Mereka risau kalau kami tiba-tiba sesat atau kena sorok dengan makhluk lain, sebab takut kita ni kacau tempat tinggal mereka.

"Kalau tiba-tiba ada 'pak belang' memang tak boleh nak lari ke mana dah, sia-sia je tak jumpa famili," tambahnya.

Setelah berdepan kejadian yang cemas itu, anak bongsu daripada enam beradik ini serik untuk masuk ke hutan tanpa pengawasan ibu bapa.

Jelasnya lagi, faktor keselamatan adalah penting walaupun ketika sedang berseronok.

"Kalau nak pergi mana-mana pastikan beritahu ibu bapa dan yang paling penting sekali dapatkan kebenaran daripada mereka.

"Jangan beritahu last minute, sebab sekurang-kurangnya mereka tahu kita dekat mana sekiranya ada apa-apa yang terjadi. Tak semua tempat viral cantik yang kita tengok di media sosial tu selamat untuk kita pergi.

IMG_0808

Diyana (kiri) tidak tahu yang Aziera terdengar bunyi kuat ketika mereka berada di dalam hutan.

"Keselamatan diri itu penting, jangan la terlalu ikutkan nafsu nak berseronok je. Kalau rasa masih nak jumpa famili, jagalah diri.

"Sebab kita tak tahu macam-macam boleh jadi bila dah masuk kawasan hutan yang tanpa penjaga," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain