suria

Seumur hidup tak pernah buat walau sekeping roti jala, sekali ‘open order’ tak menang tangan jadinya... ‘jelita’ jadi pilihan berbanding klasik

Roti jala jelita air tangan Shazliana kini mendapat tempahan ramai pelanggan.

APA sahaja boleh dilakukan, malah tiada apa yang mustahil apabila kita meletakkan tekad dan berusaha untuk mendalami ilmu baharu.

Sepanjang 28 tahun hidupnya, dia tidak pernah membuat walau sekeping roti jala, namun itu bukan alasan untuk Shahrul Shazliana Shahrom, 28, mencuba dan ternyata tindakannya membuahkan hasil apabila roti jala berbentuk bunga yang dihasilkannya kini mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada orang ramai.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua perkahwinan gagal, kini ibunya hampir cecah 60 tahun... wanita ini reda kali ini dapat “Abie” lebih muda – “Kami tetap hormat”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita ‘seksa nak kurus’ akui pernah menyesal buat pembedahan bariatrik, rajin bersenam selepas turun 25kg - “Makanan Malaysia sedap sangat”

Bercakap kepada mStar, Shazliana berkata, dia memilih untuk menghadiri kelas bagi mempelajari cara-cara menghasilkan roti jala jelita berbentuk bunga.

“Idea untuk buat roti jala jelita ini asalnya bukan dari saya, saya cuma belajar untuk cuba mempelbagaikan menu bagi perniagaan saya dan Alhamdullilah ia mendapat sambutan.

“Saya belajar menerusi pengajian jarak jauh cikgu Huda Ayob di Facebook,” katanya yang menetap di Puchong.

Mengakui bahawa roti jala berbentuk bunga yang dihasilkan pada mulanya kurang menarik, Shazliana berkata, dia meluangkan masa selama beberapa jam untuk berlatih bagi memastikan kekemasan roti jala yang dibuat.



Shazliana mengikuti kelas untuk belajar membuat roti jala berbentuk bunga.

“Memang wajib praktis! Nak buat roti jala ni nampak macam mudah tapi susah, pada awal percubaan, hasil saya memang buruk tapi lepas dapat tunjuk ajar daripada rakan dan cikgu, Alhamdullilah.

“Saya ada berlatih beberapa kali, saya ambil masa dalam sejam setiap kali berlatih,” katanya.



Antara hasil percubaan awal Shazliana yang padanya kurang kemas.

Walaupun baru dua bulan belajar membuat roti jala ini, sambutan yang diterima membuatkan Shazliana tidak menang tangan.

“Alhamdullilah walaupun baru dua bulan saya belajar buat roti jala tapi tempahan roti jala boleh dikatakan hari-hari ada dan permintaan memang full order.

“Selalunya mereka akan buat tempahan untuk sambutan hari jadi atau untuk buat surprise sebab lama tak jumpa, juga anniversary,” katanya, sambil menambah tempahannya dibuka di kawasan Lembah Klang.



Antara corak roti jala jelita yang disediakan Shazliana.

Berbanding dengan roti jala klasik yang hanya mengambil masa sekitar 45 minit untuk disiapkan, tempoh yang diambil Shazliana untuk menyiapkan tempahan roti jala jelita pula boleh mencecah sehingga dua jam setengah.

“Saya akan ambil masa dalam satu jam setengah ke dua jam setengah untuk roti jala jelita berbanding kalau nak buat roti jala klasik yang makan masa sekitar 45 minit sahaja.

“Sebab roti jala jelita ni kita perlu fokus dan teliti untuk memastikan hasilnya menarik,” katanya, sambil menambah roti jala dipadankan dengan kuah kari ayam.



Shazliana turut menyediakan roti jala klasik (bawah) dan roti jala pelangi (atas).

Menurut Shazliana, susunan roti jala tersebut boleh dicorakkan mengikut kehendak pelanggan.

Tambahnya, antara corak yang pernah dihasilkan termasuklah corak berbentuk love, bendera Malaysia dan baju anggota penguatkuasa.

“Roti jala ni boleh dipelbagaikan mengikut kehendak customer, tema baju uniform, jenis tower cake, lukisan kartun contoh seperti Didi & Friends atau PUBG, atau dibentukkan bunga mawar berkelopak dan banyak lagi,” katanya, sambil menambah harganya bermula dari RM30 hingga RM120.

Menurut Shazliana selain roti jala perniagaan yang telah diusahakannya sejak setahun lalu turut menjual buttercake, kek custom, brownies, roti.

Dia sedang dalam proses untuk menghasilkan lempeng kelapa untuk disetkan bersama roti jala.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain