suria

Tak nampak bendera putih, pemuda kesal marah pemilik anjing selepas insiden dikejar ketika berbasikal - “Saya minta maaf seikhlasnya”

Rauzan terjatuh selepas 'diserang' empat ekor anjing ketika berbasikal ke Gunung Alab.

BUKAN seekor tetapi pemuda ini 'diserang' empat ekor anjing ketika menunggang basikal!

Akibat daripada 'serangan' tidak dijangka itu, pemuda berkenaan terjatuh daripada basikalnya, mujur hanya mengalami luka ringan pada lutut.

"Dugaan ride kalau masuk kampung orang," demikian kapsyen yang ditulis pada perkongsian video yang dimuat naik di aplikasi TikTok.

ARTIKEL BERKAITAN: Flat 15 tingkat kecoh! Keluarga pengerusi surau dikejar anjing, siap berhimpit nak tumpang kereta - “Anjing tu tekan hon guna punggung”

ARTIKEL BERKAITAN: Rileks berdepan 2 anjing, remaja despatch siap kongsi tip... tapi dalam hati siapa tahu! - “Tak pernah kena gigit, minta simpanglah”

Video ketika insiden 'lucu seram' yang dimuat naik di aplikasi berkenaan sehingga kini meraih lebih daripada 806,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, pemuda bernama Rauzan Juhan berkata, insiden tersebut berlaku pada 18 September lalu ketika dia bersama beberapa rakannya berbasikal ke Gunung Alab, Tambunan, Sabah.

"Jarak pergi dalam 25 kilometer (km) saja tapi ketinggian hampir 2,000 meter elevation. Laluan tu memang akan lalu kampung orang, jadi memang tidak hairan pun banyak anjing peliharaan orang kampung.

"Awalnya tidaklah agresif sangat anjing-anjing tu, tapi selang beberapa kilometer sedang mendaki bukit, lalu satu rumah ni yang ada pelihara anjing.

"Awalnya keluar seekor dua saja, tapi mungkin dia panggil geng, datang lagi tiga empat ekor. Itu yang buat panik lagi," kata pemuda berusia 30-an dari Papar ini.

parut anjing

Rauzan mengalami luka kecil pada lututnya akibat insiden berkenaan.

Rauzan berkata sebelum ini dia biasa mengikut petua dan nasihat orang kampung agar jangan takut kepada haiwan berkenaan, namun ketika hari kejadian, taktiknya tidak berkesan.

"Pelik kali ni anjing tu tidak takut saya pula, sebaliknya saya pula jadi takut.

"Dalam situasi mendaki berkayuh, kena susun nafas, keadaan kucar-kacir, imginasi takut kaki kena gigit, itu yang basikal ke kiri dan ke kanan tu.

"Akhirnya salah seekor anjing tu terlanggar tayar depan basikal saya. Itu yang saya terjatuh. Yang lucunya, sebelum ride pagi tu sempat lagi saya Google artikel 'cara-cara berani dengan anjing'.

anjing punca

Dua daripada empat ekor anjing milik seorang penduduk kampung yang 'menyerang' Rauzan.

"Petua artikel tu sama macam nasihat orang kampung. Rupa-rupanya anjing bawa geng pula. Artikel tak ajar pula kalau anjing bawa geng nak buat apa," ceritanya sambil berseloroh.

Menurut Rauzan, pemilik anjing kemudian meluru berlari untuk membantunya malah meminta maaf di atas insiden yang menimpanya.

"Dalam keadaan marah dan emosi masa tu, suara saya keras sedikit sebab saya tak faham apa yang dituturkan. Selepas 10 minit kejadian tu, rakan-rakan lain datang.

"Masa tu muka saya masih ketat dan tiada mood tapi kemudian kami sambung berbasikal. Kami duduk satu tempat, dan ketika itu kawan saya cakap, owner anjing tu minta maaf.

Orang jangkakan cerita ni lucu tapi ada kisah di sebaliknya. Jadi selepas berbasikal, saya balik ke tempat kejadian jumpa owner anjing tu.

RAUZAN JUHAN

"Dia bertutur bahasa Dusun dan beritahu dia tiada duit untuk ganti rugi. Malahan kawan saya yang bercerita dengan owner anjing tu nampak ada bendera putih depan rumahnya.

"Dari situ saya rasa bersalah. Orang jangkakan cerita ni lucu tapi ada kisah di sebaliknya. Jadi selepas berbasikal, saya balik ke tempat kejadian jumpa owner anjing tu minta maaf seikhlas-ikhlasnya," katanya.

Bukan kali pertama jatuh ketika berbasikal malah pernah beberapa kali melalui laluan sama, namun insiden berkenaan sedikit sebanyak membuatkan dirinya serik.

rauzan

Rauzan (belakang, dua dari kanan) bersama rakan-rakan sering beriadah melakukan aktiviti berbasikal.

"Ikutkan dah taubat dah... kira nak tunggu enam tujuh bulan baru pergi situ balik. Tapi beberapa hari lalu ada kawan call minta pergi situ lagi... percuma saja kena marah dengan saya," katanya berjenaka.

Tidak pernah terfikir untuk berkongsi video berkenaan di media sosial, Rauzan berkata dia sama sekali tidak menyangka ia menjadi tular selepas dimuat naik.

"Sebetulnya benci tengok moment video tu tapi ingat nak buat memori, jadi upload sajalah... tahu-tahu viral la pula.

"Geram juga tengok komen-komen orang tapi kasi layan sajalah," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain