suria

Macam drama Korea... lelaki ini tak sangka rakaman dron bersama isteri dikata seperti ‘Hometown Cha-Cha-Cha’ – “Terkejut tiba-tiba kena hon”

Muzaffar dan isteri membuat rakaman di batu pemecah ombak di Pulau Kekabu, Marang.

KECOH apabila lokasi penggambaran drama popular Korea, Hometown Cha-Cha-Cha diserbu peminat drama berkenaan.

Gara-gara populariti drama yang dibintangi oleh Kim Seon-ho dan Shin Min-a, sebuah video yang memaparkan satu lokasi di Malaysia menjadi perhatian.

Rakaman yang menggunakan dron memaparkan satu pasangan di batu pemecah ombak itu dikatakan seperti perkampungan tepi laut, Gongjin dalam babak drama Korea berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah dalam drama 'Hometown Cha-Cha-Cha' kena serbu peminat, penghuni mula rasa terganggu

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Mirip pelakon Squid Game... wanita ini layankan 'permintaan' satu ofis, sampai menggeletar dapat respons Kim Joo-ryoung - "Bukan tak minat drama Korea cuma..."

Pemuda yang membuat rakaman tersebut, Mohd Muzaffar Muhammad mengakui terkejut apabila ia disamakan dengan lokasi penggambaran drama Korea, Hometown Cha-Cha-Cha.

Namun katanya, video tersebut sebenarnya dirakamkan di kawasan batu pemecah ombak di Pulau Kekabu di Marang, Terengganu pada Mac lalu, dan baru dikongsi di laman sosial.

"Saya dan isteri yang baring atas batu dalam video. Masa tu isteri baru hamil dan sekarang dah mengandung tujuh bulan.

"Pada awalnya nak rakam orang awam mandi-manda dekat kawasan pantai tapi tak ramai sebab masa tu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan tak boleh rentas negeri. Jadi, saya rakam diri sendiri bersama isteri sekadar suka-suka," katanya kepada mStar.

macam drama korea 3

Rakaman dibuat menggunakan dron.

Muzaffar yang berusia 28 tahun berkata, rakaman menggunakan dron itu sepatutnya turut merakamkan kawasan pantai sebaik ia berada pada ketinggian tertentu.

"Saya kawal dron tu dari bawah. Kemudian terkejut tiba-tiba kena hon dari motosikal yang ditunggang orang awam yang melalui kawasan tu.

"Kami cepat-cepat bangun untuk beri laluan pada motosikal tu lalu. Terus tak jadi buat rakaman ke arah pantai," katanya sambil menambah batu pemecah ombak itu sepanjang kira-kira 100 meter.

macam drama korea 1

Kawasan batu pemecah ombak yang disamakan dengan babak drama Korea, Hometown Cha-Cha-Cha.

Pertama kali berkunjung ke kawasan itu, Muzaffar yang berasal dari Hulu Terengganu sebelum ini merupakan jurugambar sambilan, dan menjadikan rakaman video sebagai minat dan hobi.

Menurutnya, dia kini mengusahakan bisnes keluarga melibatkan penternakan kambing dan kuda, serta menguruskan aktiviti pelancongan dan luar (outdoor).

Kalau video tu orang puji cantik, memang tak dinafikan Terengganu ada banyak pemandangan yang unik dan tersendiri

MOHD MUZAFFAR MUHAMMAD

"Memang minat rakam video, dan pada masa sama nak naikkan pelancongan di Terengganu menerusi video-video yang saya rakam.

"Banyak tempat menarik untuk dikunjungi seperti Batu Rakit, Pulau Kapas, Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Tasik Kenyir," ujarnya sambil menambah kawasan pemecah ombak tersebut turut menjadi tumpuan aktiviti memancing ikan.

macam drama korea 2

Muzaffar (kanan) dan isteri mendirikan rumah tangga pada Januari 2021.

Mengenai rakamannya dikaitkan dengan drama Hometown Cha-Cha-Cha, Muzaffar yang mendirikan rumah tangga pada Januari lalu berasa amat terkejut apabila ramai menonton dan menyukai video tersebut.

"Tak sangka video tu dapat banyak sambutan. Kalau video tu orang puji cantik, memang tak dinafikan Terengganu ada banyak pemandangan yang unik dan tersendiri.

"Jujurnya, saya belum tengok drama tu. Biasanya isteri yang tengok drama Korea dan Hometown Cha-Cha-Cha tu masih belum habis ditayangkan di Netflix.

"Sebelum ini drama Korea yang disukai isteri adalah Guardian: The Lonely and Great God sampai ulang 10 kali tengok sebab dia minat dengan pelakon drama tu, Lee Dong-Wook," katanya.

Setakat ini, video yang dikongsikan di akaun TikTok adlinaazmy itu meraih lebih 400,000 tontonan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain