KETIKA ini penggunaan kamera papan pemuka (dashcam) sememangnya penting untuk setiap kenderaan lebih-lebih lagi sebagai bukti apabila berlakunya sesuatu insiden ketika sedang memandu. Menerusi satu perkongsian di TikTok, seorang lelaki memuat naik video detik-detik cemas apabila keretanya hampir terbabas gara-gara tangga dari sebuah kenderaan di hadapannya terjatuh secara tiba-tiba di atas jalan raya. Siapa sahaja yang berdepan dengan insiden sedemikian sudah pastinya marah apatah lagi ia membabitkan kecuaian pihak lain. ARTIKEL BERKAITAN: Tak sedap hati petanda kereta nak jatuh gaung sedalam 6 meter, wanita sempat mengucap kerana sangka ajal dah tiba... ajaibnya langsung tak cedera ARTIKEL BERKAITAN: Lori jatuh gaung, perjalanan atuk berakhir di Pahang! Hajat nak tengok cucu paling ditunggu di Kedah tak kesampaian - “Suami sempat video call” Namun menerusi rakaman berkenaan, kelihatan lelaki itu tenang malah bertolak ansur ketika bersemuka dengan pemandu kenderaan di hadapannya selepas kejadian tersebut, sekali gus mengundang pujian ramai. Sehingga kini video tersebut meraih lebih 916,000 jumlah tontonan selain dibanjiri ratusan komen netizen. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Berkongsi cerita dengan mStar, Muhammad Zulqarnain Hakim berkata ketika kejadian pada Jumaat lalu, dia bersama isteri dan seorang anaknya dalam perjalanan untuk menjenguk kedua orang tuanya di Kluang, Johor. "Kami tiga beranak dari Segamat. Sebenarnya saya dah follow kereta tersebut lama. Masa itu memang nampak ada tangga yang diletakkan di bahagian bumbung keretanya. "Saya sememangnya seorang yang agak skeptikal tambah-tambah lagi apabila soal keselamatan. Masa tu dah terdetik dalam hati 'janganlah ada benda yang terjatuh'. "Sebetulnya saya mahu memotong kenderaan di depan dan sudah berada di lorong kanan pada kelajuan biasa. Belum sempat saya pintas, apa yang saya takutkan benar-benar terjadi depan mata! Imej dari dashcam menunjukkan Muhammad Zulqarnain sedang berbincang dengan pemandu kereta berkenaan selepas insiden berlaku. "Tangga dari atas bumbung kereta itu terjatuh atas jalan pada laluan saya. Saya terpaksa masuk lorong kiri untuk elak sebab kereta belakang saya laju dan dikhuatiri melanggar kami pula," ceritanya. Menurutnya yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, kejadian yang berlaku sekelip mata itu membuatkan mereka tiga beranak terkejut. "Jujurnya bila tangga itu jatuh dan terkena bahagian depan kereta saya, memanglah ada rasa nak marah juga. Lagi pula baru je pakai tak sampai empat bulan. "Masa saya turun daripada kereta, pemandu itu juga berhentikan keretanya di bahu jalan cepat-cepat datang dan mohon maaf. Akibat terkena tangga tersebut, satu klip di bahagian bumper depan milik kereta Muhammad Zulqarnain patah selain terdapat beberapa kesan calar. "Tengok gayanya dia seperti seorang pekerja kontrak. Saya terfikir mungkin uncle ni kerja teruk untuk pendapatannya... kita pula kerja dalam penghawa dingin. Perkara itu buat kita lebih bertimbang rasa. "Dia ada tawarkan hantar kereta ke bengkel rakannya dan akan selesaikan apabila kerjanya siap pada sebelah petang. Tapi saya tak mahu panjangkan cerita. Bila periksa kereta, Alhamdulillah tak ada yang rosak teruk," ujar lelaki berusia 29 tahun ini. Menurut Muhammad Zulqarnain, akibat terkena tangga itu, satu klip di bahagian bumper depannya patah selain terdapat beberapa kesan calar. Saya terfikir mungkin uncle ni kerja teruk untuk pendapatannya... kita pula kerja dalam penghawa dingin. Perkara itu buat kita lebih bertimbang rasa. MUHAMMAD ZULQARNAIN HAKIM PENSYARAH Namun apa yang lebih membuatkannya bersyukur adalah ketiga-tiga mereka tidak mengalami sebarang kecederaan. "Alhamdulillah, mujurlah tiada antara kami yang tercedera melainkan hanya terkejut," katanya lagi. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Muhammad Zulqarnain berkata dia memuat naik video tersebut untuk berkongsi pengalaman dalam masa yang sama memberi peringatan buat pengguna jalan raya yang lain. Muhammad Zulqarnain bersyukur mereka tiga beranak tidak mengalami sebarang kecederaan. "Alhamdulillah... saya terharu dengan komen positif ramai. Namun ada juga yang berpandangan kenapa tak lapor polis agar tindakan tegas boleh diambil sebagai pengajaran. "Saya rasa ketika itu tak padan nak lapor polis. Tak apalah, saya harap apa yang saya lakukan ini 'dibayar' dengan ganjaran lain satu hari nanti. Tapi saya sudah ingatkan uncle tu tentang bahaya atas tindakannya itu. "Cuma orang nampak saya tak nak salam uncle tu... bukan sombong, tapi sekarang ni musim Covid-19. Tak sesuai rasanya. "Apa pun, insiden ini memberi mesej bahawa pentingnya dashcam ketika ini. Dengan adanya dashcam, insyaAllah ia jadi bukti dan boleh defend jika sesuatu berlaku," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI