HATI seorang adik sangat tersentuh tatkala melihat kesungguhan abangnya yang sanggup mengambil cuti tanpa gaji dan meninggalkan keluarganya jauh beratus batu di negara lain semata-mata mahu pulang ke Malaysia menjaga ibu tercinta. Video yang memperlihatkan ketekunan Alias Embong, 38, menjaga ibunya yang berkerusi roda itu, mendapat pujian daripada warga maya. Bercakap kepada mStar, adiknya, Nurkhadijah Embong, 34, yang berkongsi video tersebut di laman TikToknya berkata, abangnya itu sememangnya manja dengan ibu mereka sejak kecil lagi. ARTIKEL BERKAITAN: Bermula dengan teman ke klinik, anak bongsu rela korbankan kerja demi jaga bapa tiba-tiba kena strok - “Sedih tengok abah, penduduk taman pun terkesan” ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda korbankan kerjaya di KL, sanggup balik kampung ‘kerja’ bertahun tanpa cuti jaga bapa ada penyakit 3 serangkai, bermacam sakit lainAnak bongsu daripada 10 adik beradik ini berkata abangnya yang bekerja di Singapura itu sudah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kemaman, Terengganu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun urusannya untuk pulang dipermudahkan setelah ibu mereka terkena serangan strok. “Abang anak kelapan dia memang dari kecil rapat dengan mak, kalau anak lelaki dia yang paling manja. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) “Dia dah lama kerja dekat Singapura sebagai welder, kahwin pun dengan orang sana dan memang menetap di sana. “Sejak Covid-19 ni dia tak dapat balik tapi bila mak kena strok dia usahakan juga, Alhamdullilah dapat balik tapi dia terpaksa ambil cuti tanpa gaji kemudian tinggalkan anak-anak dan isteri untuk jaga mak, hampir sebulan lebih dekat sini,” katanya, sambil menambah abangnya itu mempunyai tiga orang anak. Alias sememangnya manja dengan ibunya. Nurkhadijah yang juga sudah berumah tangga berkata, sejak pulang pada awal September lalu, abangnya mengambil alih tugas menjaga ibunya yang diserang strok pada Jun. “Mak kena strok lepas cucuk vaksin, pagi cucuk dalam petang tu mak dah rasa kebas-kebas tangan. “Malam tu tak boleh tidur, kaki pun kebas. Sampai sekarang tak boleh berjalan lagi, dua bulan mak tak tidur malam, doktor cakap sebab strok jadi doktor bagi ubat tahan sakit tapi 'tak jalan'. “Sebelum abang balik kami adik beradik bergilir jaga mak, sama-sama tak tidur tapi sejak dia balik semua dia uruskan, masak, mandi, basuh kencing berak mak,” katanya yang juga menetap di Kemaman. Menurut Nurkhadijah setiap hari, sesudah subuh, abangnya akan mula masuk ke dapur untuk menyediakan makanan mengikut selera ibunya. Alias akan masak makanan yang diinginkan ibunya. Katanya, abangnya itu sememangnya mahir memasak makanan kampung seperti gulai itik dan masak lemak pucuk paku. “Abang akan tanya mak nak makan apa kemudian abang akan usahakan buat, dah siap abang suapkan mak makan. “Makan ubat tukar pampers lap-lap badan kemudian tengah hari abang masak lagi, usahakan memasak lauk kegemaran mak, mandikan kemudian petang dia akan urut mak. “Memang 24 jam dekat dengan mak, malam pun abang tidur dengan mak,” katanya. Menurut Nurkhadijah dia berasa amat tersentuh melihat layanan abangnya terhadap ibu mereka, malah mengakui bahawa mereka adik beradik tidak mampu untuk memberi layanan sangat baik seperti yang dilakukannya. “Abang pernah cakap nak jaga mak kena jaga bersungguh-sungguh sebab kita tak tahu bila Allah akan ambil mak, dan dia pula jarang dapat balik sebab tu bila dia balik dia jaga mak sungguh-sungguh. “Saya rasa tersentuh sangat tengok dan kita pun harap anak-anak akan layan kita macam tu. “Adik beradik semua memang dah tahu abang memang begitu dengan mak, kadang kami adik beradik tak mampu nak buat macam abang buat,” jelasnya. Alias tidak dapat menahan kesedihan apabila terpaksa berpisah dengan ibunya serta ahli keluarganya yang lain. Nurkhadijah turut berkongsi video abangnya itu menitiskan air mata apabila dia terpaksa pulang semula ke Singapura pada 17 Oktober lalu. “Hari ni abang balik memang menangis berpelukan dua beranak,” ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI TONTON VIDEO PILIHAN!