suria

Untung anak Top MUA... Sehari je plan, ayah garang berubah saat tengok mak cantik disolek sempena anniversary ke-53 - “Semua terkejut, posing gambar ayah buat sendiri”

Anies membuat kejutan istimewa untuk ibu bapanya sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-53.

LAIN orang, lain caranya.

Mungkin kebanyakan orang lebih gemar menyambut hari ulang tahun perkahwinan dengan menikmati 'candle light dinner', bercuti, menghadiahkan jambangan bunga atau barang kemas dan sebagainya.

Namun bagi wanita ini, dia meraikan hari ulang tahun perkahwinan kedua-dua ibu bapanya dengan cara yang cukup istimewa, iaitu mencipta kembali (re-create) momen 'pengantin baru' meskipun usia perkahwinan pasangan tersebut sudah memasuki tahun ke-53.

ARTIKEL BERKAITAN: “Boleh tak solek pengantin berusia?” - Dapat job klien usia 60an, jurusolek buat magik beri ‘look’ 30an... sempat korek rahsia kulit tak kedut

ARTIKEL BERKAITAN: Dua perkahwinan gagal, kini ibunya hampir cecah 60 tahun... wanita ini reda kali ini dapat “Abie” lebih muda – “Kami tetap hormat”

Bukan setakat bersolek, malah kedua-dua pasangan veteran itu turut mengenakan busana songket rona kuning keemasan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Anies Aida Muda berkata segala-galanya dilakukan secara spontan dalam masa sehari.

"Sebenarnya saya menetap di Skudai dan dah lama tak pulang ke kampung di Kota Tinggi kerana kekangan rentas daerah.

"Alkisahnya hampir tujuh atau lapan tahun lalu, ibu saya pernah suarakan rasa teringin nak pakai baju sanding. Ketika itu saya masih ada butik bridal. Tapi sebab sibuk, tak sempat nak laksanakan.

"Ibu teringin sebab masa dia kahwin dengan ayah dulu, tiada gambar atau pakaian yang 'proper'. Nak dijadikan cerita, baru-baru ini saya balik Kota Tinggi, kebetulan pula tarikh anniversary mereka.

pengantin 2

Anies merealisasikan impian ibunya yang mahu mengenakan persalinan raja sehari.

"Terus kepala saya teringat apa yang ibu pernah suarakan dulu. Dari situ timbul idea spontan nak raikan mereka seperti pengantin baru," ujar wanita berusia 34 tahun ini.

Mempunyai pengalaman sebagai jurusolek selama 14 tahun, tidak menjadi masalah buat wanita yang senang disapa sebagai Anies ini untuk menata rias wajah si ibu.

"Saya plan spontan je tapi tak cakap pun dengan ibu dan ayah. Saya ajak ibu solek, dia pun tadah je muka. Sebenarnya dalam masa yang sama saya hubungi rakan untuk sewa baju pengantin dari butiknya.

anni 1

Anies tidak pernah ketinggalan untuk meraikan hari ulang tahun perkahwinannya bersama suami dan anak-anak.

"Selepas siap mekap, baru saya beritahu, ada baju pengantin sekali untuk dipakai. Mak okay, tapi saya takut nak suruh ayah pakai.

"Ayah saya seorang yang garang... risau dia tak nak pakai sebab dia orangnya 'simple'. Baju raya pun dia tak pakai, inikan pula baju pengantin.

"Tapi bila tengok ibu bersolek, pakai baju cantik, tiba-tiba dia setuju. Paling saya tak sangka! Ingat nak pergi studio, tapi ayah tak mahu. Alih-alih bergambar di halaman rumah dan guna kamera telefon bimbit saja.

"Yang paling terkejut, kebanyakan posing tu ayah yang buat sendiri... kami ajar sikit-sikit je. Bila hantar dalam grup Whatsapp famili, semua terkejut!" cerita Anies yang juga naib juara pertandingan Malaysia Top MUA 2020.

Tapi bila tengok ibu bersolek, pakai baju cantik, tiba-tiba dia setuju. Paling saya tak sangka!

ANIES AIDA MUDA

Bercerita lebih lanjut, Anies berkata dia dan suaminya sendiri tidak pernah gagal untuk meraikan hari ulang tahun perkahwinan mereka semata-mata mahu mencipta memori dan kenangan untuk ditatap kemudian hari.

"Dulu masa kahwin, tak ada resepsi... hanya nikah saja sebab ayah suka majlis ringkas. Semua majlis adik beradik saya pun sama, hanya nikah. Kalau resepsi, hanya di sebelah pasangan masing-masing.

anni 2

Anies mahu mengabadikan memori istimewa setiap kali tibanya hari ulang tahun perkahwinan bersama suami.

"Jadi sebab itu kalau boleh, saya nak raikan dengan cukup istimewa setiap kali anniversary. Kami tak semestinya pakai baju pengantin setiap tahun, tapi cukup dengan pakaian sedondon dan buat photoshoot," ujar ibu kepada enam cahaya mata ini.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Anies berkata dia terharu apabila membaca komen-komen netizen terutamanya yang sudah kehilangan ibu bapa masing-masing.

"Saya rasa terharu, sebab ada yang kata ia bagi inspirasi untuk cipta semula momen untuk ibu bapa masing-masing.

pic raya

Keluarga besar Anies ketika sambutan Aidiladha tahun lalu.

"Tapi ada juga komen sedih. Ada yang teringin nak buat tapi mak dah tak ada, ayah dah tak ada... tak sempat. Alhamdulillah saya bersyukur kerana masih diberi kesempatan.

"Ciptalah momen selagi mereka ada sebab gambar tu boleh tengok sampai bila-bila... momen tu penting. Lain anak lain caranya gembirakan mak ayah. Ada yang mampu beli kereta, barang kemas. Pendek kata, bahagia itu kita yang cipta sendiri," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain