suria

Cikgu bengang penghuni tak bertamadun! Mi segera, ludah, kondom ‘mendarat’ atas kereta... tak boleh terima pemikiran ‘normal la duduk flat’

Nina 'panas hati' apabila keretanya menjadi mangsa sikap tidak bertanggungjawab penghuni di flat yang didiaminya.

SIAPA yang tidak panas hati apabila mendapati sisa-sisa makanan dicampak pihak 'tidak bertamadun' sehingga mengotorkan kereta yang diparkir?

Itulah situasi yang dialami oleh Hazlinayani Abd Manan apabila bahagian bumbung dan hadapan keretanya penuh dengan sisa mi segera yang dicampak oleh penghuni flat dari atas.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang senang disapa sebagai Nina ini berkata, kejadian disedari pada waktu pagi ketika dia mahu keluar bekerja, beberapa hari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Masing-masing tak ada hidung ke?” - Pelanggan malas turun, rider terpaksa redah sampah di flat demi tanggungjawab... ada samakan macam kandang!

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak buang plastik luar tingkap kereta, yang dewasa biarkan saja... pemandu ini beri pengajaran - “Jangan jadi sampah masyarakat”

"Saya sedar kejadian itu sekitar pukul 7.30 pagi sewaktu nak keluar bekerja. Dari jauh saya tengok apasal lain macam je kereta saya. Sampai dekat, nampak sisa mi segera bersepah atas bonet depan dan bumbung.

"Pagi-pagi lagi dah buat mood saya swing. Sudahlah sehari sebelumnya saya cuci kereta siap polish (kilatkan). Dua jam pula tu tunggu kereta siap tapi alih-alih kena sisa makanan... itu yang tambah membara.

"Hampir 15 minit juga saya kutip sisa mi segera tu sebab ada yang masuk celah-celah bonet. Masih boleh bau lagi kuah kari mi segera tu sebab ada tompokan kuah. Satu hari saya sakit hati," katanya yang juga seorang guru tadika di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Bercerita lebih lanjut, Nina berkata kotak parkir keretanya bukan terletak di bahagian bawah dapur penghuni flat, sebaliknya di bahagian koridor.

"Kalau bahagian dapur, memang kemungkinan besar untuk orang campak makanan tu ada... tapi ni bawah koridor. Agaknya tak habis makan, terus campak.

maggi 2

Nina terpaksa menghabiskan masa kira-kira 15 minit untuk mengutip sisa mi segera yang bersepah di atas keretanya.

"Selama dua tahun menetap di flat ini, inilah kali pertama kereta saya terkena yang agak teruk. Sebelum ini banyak kali ada kesan ludah tapi saya masih boleh 'pejam mata'.

"Saya ada suarakan kepada pihak pengurusan walaupun jiran-jiran kata ada je beberapa kes sama berlaku sebelum ini tapi tak pernah ada tindakan.

"Ada kes di mana motor rosak tapi tiada tindakan sebab tiada kamera litar tertutup (CCTV). Hanya boleh mengadu atau suarakan dalam group WhatsApp penduduk je la. Sakit juga hati sebab kita bayar parking.

"Ada juga jiran beritahu, dia lagi teruk sebab keretanya kena kondom... siap lendir lagi. Tak bertamadun betul," kata wanita berusia 23 tahun ini yang menetap di sebuah flat di Wangsa Permai, Kuala Lumpur.

Selama dua tahun menetap di flat ini, inilah kali pertama kereta saya terkena yang agak teruk. Sebelum ini banyak kali ada kesan ludah tapi saya masih boleh 'pejam mata'.

HAZLINAYANI ABD MANAN

Nina berkata selepas kejadian tersebut, dia menjadi serik malah sanggup meletakkan keretanya di bahagian luar walaupun terpaksa berjalan kaki sedikit jauh.

Sekadar memuat naik pengalaman sendiri menerusi aplikasi TikTok, Nina berkata antara lain tujuannya adalah mahu menyampaikan mesej supaya orang ramai khususnya penghuni flat atau pangsapuri mempunyai sikap bertanggungjawab serta adab berjiran.

"Tak sangka jadi viral. Ramai yang kongsi pengalaman sama malah ada yang lebih teruk terpaksa tanggung kerugian kerana cermin pecah atau ada bahagian kereta yang kemek.

"Ada juga yang komen, kes saya ni kira masih 'boleh diterima' jika nak dibandingkan dengan yang lain dan tak perlu marah. Tapi sebagai owner, mestilah sakit hati.

maggi 3

Antara komen netizen pada perkongsian Nina.

"Ada juga yang komen, normal la duduk flat. Maknanya, benda ni normal ke kalau duduk flat? Sampai bila kita nak hadap benda macam ni selagi kita ada pemikiran 'third class?'

"Jadilah penghuni yang bijak. Kita duduk di kawasan terbuka. Janganlah buang sisa atau barang sesuka hati. Adab kena ada... kita ni hidup berjiran. Kenalah ubah sikap dan persepsi, tanam sifat sivik dalam diri," ujarnya lagi.

Sehingga kini video yang dimuat naik oleh wanita ini meraih melebihi 309,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain