suria

Dah 9 kali try and error, kali ke-10 baru berjaya hasilkan kek jelly 3D... wanita ini tak toleh lagi, kini tiap-tiap hari order masuk!

Shida belajar sendiri cara-cara untuk membuat kek jelly 3D ini.

MINATNYA yang mendalam terhadap seni menghasilkan kek jelly 3D mendorongnya untuk belajar dan terus belajar walaupun setelah sembilan kali gagal.

Berkat kesabaran dan usahanya tanpa mengenal erti berputus asa wanita ini akhirnya boleh berbangga apabila dirinya kini mampu menjana pendapatan melalui hasil penjualan kek jelly 3D ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dilema pusat perlindungan! Pemilik ‘takut dosa’ enggan mandulkan kucing, ugut nak buang di pasar jika tak mahu ambil bela

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas guru akui ‘struggle’ selepas berhenti kerja! Jual kek batik dikata bodoh... pernah bawa periuk, bungkus sate dalam kereta demi teruskan hidup

Bercakap kepada mStar, Rashidah Zainal,34 berkata dia mula memperkenalkan kek tersebut ke senarai produk yang dijualnya sejak dua tahun lepas.

Suri rumah sepenuh masa itu berkata, selain minat mendalam, dia juga berhasrat untuk menjual kek tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan keluarga mereka.



Shida mula menjual kek jelly 3D sejak dua tahun lepas.

Mesra dipanggil Shida, ibu dua anak ini berkata, dia mula belajar teknik untuk menghasilkan kek jelly 3D melalui YouTube.

"Nak pergi kelas tak mampu jadi akak buka Youtube je belajar dari situ, dalam lebih kurang sebulan juga.

"Ada dalam 10 biji kek akak try and error resepi sendiri, Alhamdullilah yang ke-10 berjaya sampai sekarang," katanya.



Shida pada mulanya belajar teknik menghasilkan kek jelly ini melalui video tutorial di Youtube.

Menurut Shida, sebelum mencapai kejayaan tersebut, dia bagaimanapun terpaksa melakukan try and error memandangkan dia tidak tahu resepi yang khusus bagi menghasilkan kek tersebut.

"First time buat memang tak jadi, base dia tak jernih sebab tak tahu nak guna jelly brand apa, akak guna agar-agar biasa jadi dia keras.

"Yang kedua try Konyaku, tak jernih sangat, ke tiga tak tau tips dia, jadi buat-buat tak lekat antara base jernih dengan yang last, ke empat lembik sikit, tapi akak memang tak give up.

"Akak tanya dua orang jelly maker ni Aishah Panut dengan Maryam Ismail, Alhamdullilah memang tak kedekut ilmu, akak tanya dia guna brand apa, jadi kali ke lima buat guna brand yang betul, cuma tak jernih jadi akak tanya lagi tips," katanya yang menetap di Muar,Johor.



Antara kek jelly 3D yang dihasilkan Shida.

Menurut Shida, usahanya mula menampakkan hasil pada percubaannya yang ke enam.

"Alhamdullilah okaylah, sukatan betul dah, jadi yang ke-10 memang terus buat untuk jual sampai sekarang," katanya.

Menurut Shida, dia mengambil masa sekitar lima jam untuk menyiapkan satu-satu kek.



Shida mengambil masa lima jam untuk menghasilkan satu kek jelly 3D.

Video pembuatan kek tersebut yang dikongsikan Shida di laman TikToknya turut menarik perhatian warga maya sehingga mendapat lebih setengah juta tontonan.

"Alhamdullilah sekarang tiap-tiap hari ada order, sejak viral di TikTok dapat juga dalam RM1,000 lebih macam tu, sebulan.

"Jual makanan ni tak tentu, kadang ada satu hari dapat 5 sekali order, kadang sebiji je.

"Tapi sekarang akak memang fokus kek jelly je, tak larat kejar banyak-banyak," katanya, menambah sebelum ini dia juga menjual pizza, tauhu begedil, sandwich dan kek gula hangus.

Menurut Shida, harga kek jelly tersebut bergantung kepada saiz iaitu sekitar RM65 bagi saiz 6 inci hingga RM140 bagi saiz 9 inci.

Shida juga membuka kelas bagi mereka yang ingin belajar teknik membuat kek jelly 3D termasuk secara dalam talian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain