suria

“Akak jawab mata adik dekat syurga, Allah simpan” - Ibu tunggal sanggup buat apa saja demi anak hidap kanser... tabah walau cuti dah habis, gaji kena potong

Normalina terpaksa cuti tanpa gaji untuk menjaga Aza yang disahkan barah mata.

MENGGALAS tanggungjawab sebagai seorang ibu tunggal bukanlah tugas yang mudah apatah lagi jika ada anak yang menghidap penyakit kritikal serta memerlukan penjagaan khusus.

Namun Normalina Mokhtar, 39, sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan anaknya, Nurul Azalieya Mohd Fazli yang disahkan mengidap barah mata atau retinoblastoma mendapat penjagaan terbaik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berhati perut, bukan minta jadi begitu! Bermula dengan titik kecil, anak istimewa digelar ‘dajjal, mata satu’... benar kata si ibu, kanser memang jahat!

ARTIKEL BERKAITAN: Dah 9 kali try and error, kali ke-10 baru berjaya hasilkan kek jelly 3D... wanita ini tak toleh lagi, kini tiap-tiap hari order masuk!

Bertugas sebagai seorang Pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Jempol, Negeri Sembilan, Normalina kini terpaksa mengambil cuti tanpa gaji demi menjaga anak bongsunya yang berusia tiga tahun itu.

Berkongsi kisahnya dengan mStar Normalina berkata, anaknya disahkan menghidap barah pada mata sebelah kanan ketika dia berusia satu tahun 11 bulan.

"Perasaan saya sebagai seorang ibu masa tu mestilah sangat sedih.

"Rasa macam dunia ni gelap, stres... hanya Allah yang tahu," katanya yang mempunyai dua orang lagi anak yang berusia 12 dan lapan tahun.



Aza disahkan menghidap barah mata ketika usianya satu tahun 11 bulan.

Katanya, dia mula sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan mata anaknya itu apabila dia terlihat warna pelik dalam mata hitamnya setiap kali terkena lampu.

"Barah mata untuk budak ni susah nak tahu dari awal sebab budak-budak tak pandai beritahu yang dia sakit, tau-tau dah teruk sampai kena buang mata.

"Anak akak ni akak mula perasan mata dia mula-mula juling lepas tu ada warna pelik dalam mata hitam bila terkena cahaya lampu," katanya.



Cahaya di mata hitam Aza yang hanya kelihatan apabila terkena cahaya lampu.

Menurut Normalina, Azalieya yang mesra dipanggil Aza kini perlu menjalani rawatan kimoterapi di Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur selepas dia menjalani pembedahan membuang mata kanannya pada 1 Oktober lalu.

"Sebagai ibu tunggal, akak terpaksa mengalas dua tanggungjawab iaitu sebagai frontliner dan sebagai seorang ibu.

"Akak duduk di Negeri Sembilan jadi agak jauh terpaksa berulang tiga minggu sekali ke HTA sebab dekat sana sahaja yang ada kepakaran untuk kanak-kanak seperti Aza memandangkan dia masih kecil.

"Akak akan memandu sendiri ke HTA, akak terpaksa ambil cuti yang lama untuk jaga anak sampai bila habis cuti, gaji kena potong," katanya sambil menambah anaknya juga perlu melakukan pemeriksaan di klinik mata setiap tiga bulan, juga di HTA.



Normalina terpaksa mengambil cuti untuk menjaga Aza.

Menurut Normalina, dia kini terpaksa mengambil cuti separuh gaji bagi menjaga Aza yang perlu menjalani sembilan sesi kimoterapi yang dijangka mengambil masa selama enam bulan.

"Sekarang akak ambil cuti separuh gaji sebab anak baru lepas kimoterapi 2 November hari tu, dia tidur malam akan terjaga, meragam jadi akak kena ada di sisi Aza.

"Dia kadang menangis sebab ada ulser dalam mulut, makan minum tak nak sebab sakit.

"Dia baru sekali je buat kimoterapi ada lagi lapan nak tempuh, Allah, rasa tak sanggup tengok anak dalam kesakitan," katanya.



Aza pernah bertanyakan tentang mata kanannya yang sudah tiada.

Menurut Normalina, anaknya itu pernah bertanyakan mengenai keberadaan mata kanannya yang terpaksa dikeluarkan akibat barah yang sudah pun merebak.

"Doktor kata tak boleh selamatkan mata dia sebab barahnya agresif, cepat sangat merebak, memang macam-macam kaedah dah buat tapi tak berjaya jadi kena keluarkan mata Aza untuk selamatkan nyawa dia.

"Bila dia tanya pasal mata dia mana, akak jawab mata adik Aza dekat syurga, Allah simpan," jawabnya.



Aza selepas menjalani pembedahan membuang mata kanannya.

Aza kini terpaksa menggunakan mata palsu.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Normalina dan adik Aza bolehlah menghubungi Normalina di talian 017-697 9862.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain