suria

“Saya dengar suara makcik bersorak, dia kata abang sado boleh” - Apa kesudahan video jejaka berotot bergayut di palang permainan fun fair?

Walaupun mempunyai lengan berotot, Shakir mengakui sukar untuk bertahan lama dalam permainan tersebut.

VIDEO menunjukkan seorang lelaki menyertai satu permainan yang menguji kekuatan lengan menjadi tanda tanya mengenai pengakhirannya.

Lelaki itu menggunakan tangannya yang berotot untuk berpaut pada palang besi sambil diperhatikan oleh orang awam, namun sayangnya rakaman tersebut ‘tergantung’ tidak diketahui sama ada dia berjaya atau tidak dalam permainan itu.

"Dengar cerita abang tu tak turun sampai sekarang," komen seorang netizen menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok yang meraih lebih 130,000 tontonan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah nak buka esok, pelajar panik sekejap uniform dah tak muat... maklumlah badan dah 'berkepak' - "Rasa macam nak terkoyak"

ARTIKEL BERKAITAN: Balik kampung nak jaga ayah sakit, jurulatih kecergasan isi masa berkebun akui ia bukan kerja mudah... mencangkul, tebang pokok dah macam gim kedua!

Berkongsi cerita sebenar, lelaki berkenaan, Muhammad Shakirudin Adenan memberitahu, ia merupakan rakaman ketika dia berkunjung ke sebuah pesta ria (fun fair) di Tebrau dekat Johor Bahru, Johor pada April lalu.

Pemuda berusia 25 tahun itu berkata, permainan itu memerlukan peserta untuk bergayut pada palang besi selama lebih dua minit bagi melayakkan seseorang untuk menerima hadiah.

"Saya tahu ramai tanya macam mana ending. Sebenarnya tak ada sambungan pun video tu sebab saya cuma dapat bertahan bergayut selama satu minit dan 20 saat.

"Memang mencabar sebab palang besi tu berpusing perlahan-lahan selepas satu minit. Jadi, saya tak dapat kawal genggaman dan terlepas," katanya kepada mStar.

gayut palang 3

Shakir ketika berkunjung ke 'fun fair'.

Shakirudin atau lebih mesra disapa Shakir berkata, permainan tersebut sebenarnya bukan perkara baharu baginya kerana ia menyamai sukan bar yang dilakukannya sejak 2017.

"Sukan bar atau calisthenics sememangnya menguji kekuatan lengan dengan berpaut pada palang besi. Sebelum ni setakat dua minit bergayut tak ada masalah.

"Saya pernah bergayut palang besi yang statik sehingga lima minit. Permainan kat fun fair tu pertama kali saya cuba, bertahan tak sampai dua minit," ujarnya yang berasal dari Johor Bahru.

gayut palang 2

Shakir menduduki tempat keempat dalam pertandingan badan cantik Mr JDT 2021 kategori atas 170 sentimeter.

Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia sebenarnya baru selesai menyertai pertandingan badan cantik sebelum berkunjung ke pesta ria tersebut, di sebelah malam.

"Petang tu saya menyertai pertandingan badan cantik di Johor Bahru. Lepas pertandingan, badan saya masih on point nampak berketul-ketul.

Saya pernah bergayut palang besi yang statik sehingga lima minit. Permainan kat fun fair tu pertama kali saya cuba, bertahan tak sampai dua minit

MUHAMMAD SHAKIRUDIN ADENAN

"Badan saya pula gelap kesan disapu minyak untuk menaikkan effect ketika pertandingan. Mungkin itu yang membuatkan ramai nak tengok saya bergayut pada palang tu," katanya.

Dalam pertandingan badan cantik Mr JDT 2021, Shakir menyertai kategori atas 170 sentimeter (ketinggian) dan berjaya merangkul tempat keempat daripada 35 peserta.

gayut palang 6

Shakir merupakan jurulatih kecergasan.

Sementara itu, Shakir yang merupakan jurulatih kecergasan berkata, dia tidak menghadap orang awam ketika bergayut kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya dalam permainan.

"Saya malu-malu, nanti hilang fokus. Dalam ramai-ramai tu, saya dengar sorakan seorang makcik, dia kata 'abang sado boleh, abang sado boleh'.

"Sebelum nak bergayut tu memang saya nampak seorang makcik standby tengok bersama pengunjung lain. Tapi tak pasti makcik yang sama atau tidak yang bersorak tu.

"Kalau anak dara yang bersorak, mungkin saya lebih bersemangat untuk bergayut pada palang besi lebih lama. Ingat baru lepas masuk pertandingan badan cantik, boleh bertahan lama tapi sebenarnya tidak... permainan tu memang mencabar," ujarnya secara berseloroh.

gayut palang 4

Shakir impi untuk merangkul gelaran bagi kategori bakat baharu.

Shakir yang kini membuat persiapan bersenam dan menjaga pemakanan untuk menyertai pertandingan badan cantik awal tahun depan berkata, meskipun tercabar, dia tetap tidak berputus asa untuk mencuba lagi permainan tersebut.

"Fun fair tu kembali dibuka dan saya nak cuba lagi. Saya memang tak putus asa. Sama juga dengan pertandingan badan cantik, kali ini saya nak target untuk merangkul gelaran bagi kategori bakat baru... prinsip saya, jangan putus asa dan cuba lagi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain