suria

Hujan tengah lebat, mak kerah 2 anak bantu selamatkan pokok keladi... alasannya takut lemas! Rumah dah macam mini nurseri, mujur tak pandai online banking

Ibu Nadia memindahkan pokok-pokok keladi ke tempat yang lebih tinggi kerana bimbang ditenggelami air.

"SELAIN tupperware, pokok keladi juga menjadi kesayangan emak-emak!"

Demikian antara komen lucu yang dilontarkan netizen terhadap satu video yang dikongsikan oleh seorang wanita mengenai hobi ibunya di aplikasi TikTok.

Dalam video berkenaan, kelihatan deretan pokok keladi milik ibu wanita tersebut 'diselamatkan' dan diletakkan di tempat tinggi kerana bimbang dinaiki air.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak kaya nak belikan tanaman kayangan, anak bawa ibu cabut pokok keladi dalam semak demi tambah koleksi - “Belum pernah jadi benda tak elok”

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pokok kesayangan bernilai RM50,000 lesap di siang hari, pemilik minta bantuan orang ramai - “Pokok tu tak akan subur di tangan anda”

"Hujan lebat sampai air naik, korang tengok la mak aku selamatkan apa. Mak aku selamatkan pokok keladi takut lemas!" demikian tulis kapsyen pada video yang sehingga kini meraih lebih daripada 214,000 jumlah tontonan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Nadia Fatihah Che Deraman berkata ketika kejadian, kampungnya yang terletak di Pengkalan Chepa, Kelantan dilanda hujan lebat sehingga kawasan halaman rumahnya dinaiki air.

"Kisahnya, kampung saya semalam (Rabu) dilanda hujan selebat-lebatnya. Mak bimbang pasu pokok keladi dia tenggelam... pokok keladi tak boleh kena air sangat, nanti mati.

"Masa tengah hujan lebat itulah dia gigih angkut dan selamatkan pokok keladi letak tempat tinggi sambil dibantu oleh saya dan adik.

"Kami angkut cepat-cepat sebab hujan lebat, tak sempat nak susun pun asal dapat selamatkan dulu pokok bunga kesayangan mak," cerita wanita berusia 28 tahun ini.

keladi 1

Antara koleksi keladi milik ibu Nadia.

Senang disapa sebagai Nadia, wanita ini berkata ibunya, Rahimah Hussin, 57, sememangnya mempunyai hobi menanam pokok bunga dan pokok hiasan.

"Namun minat menanam keladi mula bercambah rasa-rasanya masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masa tu tak pergi mana-mana, kebetulan musim keladi pula. Mak akan bertukar-tukar dengan jiran-jiran dan kawan sekampung.

keladi 2

Ibu Nadia mula mengumpul pokok keladi sejak PKP.

"Sekarang ni bila nurseri bunga dah mula boleh beroperasi, selalu dia cari keladi nak beli. Kadang-kadang saya, kadang-kadang adik yang teman. Dia akan cari spesies keladi yang masih belum dimiliki untuk dijadikan koleksi.

"Mujurlah mak tak pandai online banking. Kalau tidak, mahu habis duit rasanya dia borong dekat grup pokok bunga di laman sosial ataupun di Shopee. Sekarang ni pun laman rumah dah jadi macam mini nurseri. Mak jual juga kalau ada yang nak beli... boleh juga buat duit sambil-sambil.

Kebanyakan yang komen pun cakap mak mereka minat keladi. Ada juga yang share kisah lucu masing-masing.

NADIA FATIHAH CHE DERAMAN

"Selain keladi, ada juga pokok-pokok bunga lain yang mak tanam di laman rumah. Tapi sekarang ni yang dia paling sayang, tentulah keladi. Lebih-lebih lagi harga keladi mahal sekarang," ujarnya yang menetap di Kota Bharu.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Nadia berkata dia tidak menyangka rata-rata netizen turut berkongsi kisah ibu masing-masing yang juga mempunyai hobi menanam pokok keladi.

komen

Antara komen lucu netizen terhadap perkongsian Nadia.

"Saya pun terkejut, ini pertama kali video saya viral. Mungkin sebab ia 'relate' dengan situasi sekarang yang rata-rata tanam keladi.

"Kebanyakan yang komen pun cakap mak mereka minat keladi. Ada juga yang share kisah lucu masing-masing. Bila baca komen-komen ni saya tergelak je. Ingat mak saya seorang yang obses keladi, ramai lagi rupa-rupanya," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain