suria

Ewah! Pengantin lelaki bergelek masuk dewan... isteri diminta siap sedia hanya tersenyum, sebabnya kain songket ketat, sanggul berat

Nini (kanan) terhibur melihat suami bergelek ketika masuk ke dewan pada majlis perkahwinan. foto instagram huzstudio.co

BUKAN paluan kompang seperti kebiasaan, sebaliknya lagu Cek Mek Molek dendangan Raja Gelek Malaysia, Datuk M Daud Kilau berkumandang menyerikan majlis perkahwinan.

Pastinya menjadi tumpuan adalah Raja Sehari dalam busana songket warna hijau berarak masuk ke dewan, disertai beberapa pengiring di karpet merah.

Menerusi lagu popular penyanyi veteran itu, pengantin lelaki tanpa disangka-sangka bergelek dengan gaya bersahaja sekali gus menggamatkan dewan.

ARTIKEL BERKAITAN: Aksi laga pipi buat pengantin perempuan terduduk, jurugambar sporting siap ajar posing nak nampak sweet - "Letak tangan di pinggang pasangan pun terketar-ketar"

ARTIKEL BERKAITAN: Beri laluan, Raja Sehari nak lalu! Peniaga terkejut pengantin lawat pasar malam, suasana terus jadi ala kenduri kahwin - "Saya segan, isteri ajak masuk"

Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan yang hanya mahu dikenali sebagai Nini memberitahu, majlis resepsi perkahwinannya diadakan di sebuah dewan di Guillemard Rd, Singapura, pada 17 Oktober lalu.

Wanita berusia 27 tahun itu berkata, lagu Cek Mek Molek itu merupakan permintaan suaminya yang lebih dikenali sebagai Nur Hakeem ketika berarak masuk ke dewan.

"Kami suka vibes lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma. Pada mulanya kami mahu lagu klasik Salon bertajuk 'Selamat Penganti Baru', tapi suami kemudian memutuskan untuk memilih lagu Cek Mek Molek.

"Pilihan lagu untuk suka-suka kerana sesuatu yang rare untuk berarak berlatarkan lagu Cek Mek Molek. Selalunya orang mesti nak lagu-lagu sweet kan," katanya ketika dihubungi.

pengantin cek mek molek 2

Nini (kanan) dan Nur Hakeem bernikah pada 17 Oktober 2021. foto huzstudio.co

Nini berkata, dia bagaimanapun tidak menyangka suaminya akan bergelek ketika lagu tersebut dimainkan kerana kebiasaannya dia yang sering melakukan sesuatu di luar jangkaan.

"Suami kata jom buat sesuatu yang fun untuk wedding sebagai kenang-kenangan. Memang kami request lagu tu dimainkan ketika berarak tapi tak ada latihan pun.

"Kami tak ada masa untuk berlatih, tapi suami ada cakap 'bersedia untuk bergelek'. Jadi, saya memang terkejut bila suami secara spontan bergelek.

"Tak sangka dia bergelek sampai macam tu, tapi saya menyukainya. Sekali-sekala tengok suami santai macam tu," ujarnya secara berseloroh.

pengantin cek mek molek 3

Pasangan ini mengenali selama 10 tahun sebelum mendirikan rumah tangga. foto instagram snapshootnd

Menetap di Punggol di republik itu, Nini mengakui dirinya sebenarnya seorang pemalu sambil tertanya-tanya bagaimana untuk berjoget dalam persalinan busana songket.

"Hari tu ramai tengok, terus saya jadi malu. Tapi memang susah nak bergelek. Kain songket ikut potongan badan. Sanggul atas kepala memang berat, rasa macam kepala nak tercabut.

Kepada bakal pengantin, please enjoy the process and moment. Walaupun mungkin ada perkara yang berlaku tidak seperti dirancang, buang segala kebimbangan dan ketakutan. Berseronoklah dan cipta memori... sekali seumur hidup

NINI

"Gelek pun kena ada limit, kena sopan sebab majlis kahwin. Sebenarnya ada dua ballroom untuk berarak. Video yang saya upload di TikTok di dewan kedua... ikutkan lagi melampau gelek suami di dewan pertama cuma tak upload di TikTok," tambahnya.

Mengenali suaminya sedekad lalu sebelum mendirikan rumah tangga, Nini yang berkhidmat sebagai guru berpandangan, lagu-lagu yang dimainkan ketika pasangan pengantin berarak adalah penting bagi menghidupkan mood dan suasana di majlis perkahwinan.

pengantin cek mek molek 1

Keceriaan jelas tergambar di wajah pasangan pengantin. foto instagram foto huzstudio.co

"Ada lagu-lagu yang memberi momen yang fun dan romantik. Lagu-lagu yang dimainkan begitu sempurna. Sebenarnya banyak lagu yang kami suka, terutama lagu-lagu lama.

"Memang betul orang cakap, ia merupakan pengalaman sekali seumur hidup. Yang penting, kita dah nikah dan semua berjalan lancar. Alhamdulillah syukur.

"Kepada bakal pengantin, please enjoy the process and moment. Walaupun mungkin ada perkara yang berlaku tidak seperti dirancang, buang segala kebimbangan dan ketakutan. Teruskan saja, berseronoklah dan cipta memori... sekali seumur hidup.

"Hari perkahwinan akan berlaku dengan sangat pantas, tapi penting untuk kita menikmati momen tersebut. Alhamdulillah kami ada team yang terbaik termasuk bridesmaids dan groomsmen serta keluarga kedua-dua pihak yang begitu menyokong," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain