KEHADIRAN ibu dan bapa untuk sama-sama meraikan hari graduasi sememangnya saat yang paling bermakna buat seorang anak. Namun takdir Allah tiada siapa yang mampu menghalangnya apabila si bapa terlebih dahulu pulang ke negeri abadi beberapa bulan sebelum majlis bersejarah itu. Hanya potret wajah arwah sahaja yang menjadi pengganti ketika si anak bergambar bersama keluarga sambil mengenakan jubah lengkap dengan skrol tanda tamatnya pengajian. ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar tak teruja hadir konvo, tapi “Saya hadiahkan mereka Anugerah Naib Canselor” ARTIKEL BERKAITAN: Hampir putus asa, enggan hadir konvo, pemuda sado menangis di pusara bapa Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zety berkata, bapanya, Allahyarham Razak Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 16 Mei 2019 iaitu kira-kira lima bulan sebelum majlis hari graduasinya sempena tamat pelajaran peringkat Ijazah Sarjana Muda. "Inilah kali pertama majlis graduasi saya tanpa ayah. Dari saya sekolah rendah, ayah paling happy kalau nak datang ke apa-apa majlis termasuklah majlis graduasi. Memang tak pernah 'fail' datang. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) "Saya ingat lagi, masa tengah belajar peringkat degree, ayah tanya bila nak habis belajar sebab macam lama sangat. Dia tak sabar nak datang konvokesyen. Rupa-rupanya tak sempat. Hari konvokesyen peringkat diploma yang terakhir ayah datang," ujar lulusan dalam bidang kejuruteraan elektrik dari sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di Kuala Lumpur ini. Mengimbas kembali detik kehilangan insan kesayangan dalam hidupnya itu, wanita berusia 27 tahun ini berkata bapanya sememangnya sudah lama menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis. "Saya ingat lagi April 2019 kami bercuti di Melaka. Ayah tiba-tiba cakap dah penat makan ubat dan dah penat nak pergi dialisis. Kemudian ayah cakap, inilah percutian terakhir dia. Kami pelik dan tanya dia, tapi memang tak sangka jadi kenyataan. Ibu dan bapa Zety hadir meraikan hari graduasinya sewaktu menamatkan diploma (kiri) dan sekolah menengah (kanan). "Dua minggu selepas balik bercuti, mula-mula ibu demam kemudian beberapa hari kemudian ayah ikut demam. Ketika itu bulan puasa. Kami bawa ayah ke hospital sebab keadaannya macam lemah. Ayah memang dimasukkan ke wad setiap tahun kerana keadaan kesihatannya. "Masa tu, doktor cuma cakap ayah demam biasa dan boleh balik. Tapi sebab ayah macam lemah, ayah ditempatkan di bahagian kecemasan. Saya sempat suapkan ayah makan roti bakar sebelum kami pulang waktu sahur. "Esoknya waktu pagi, ibu datang hospital nak jemput ayah bawa ke pusat dialisis. Tak sangka ketika itu ayah dah pun ditidurkan tanpa ada kami di sisi kerana doktor kata, ayah sesak nafas dan terpaksa ditidurkan," ujar anak bongsu daripada empat adik beradik ini. Sambutan hari lahir terakhir ibu bersama arwah ayahnya. Menurut Zety, kira-kira seminggu selepas ditidurkan, ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir pada tanggal 11 Ramadan. "Apa yang kami terkilan, tak sempat nak jumpa ayah sebelum ditidurkan. Waktu suap roti itulah kali terakhir saya jumpa ayah dalam keadaan sedar," ujarnya. Menurut Zety, ibunya adalah insan yang paling terkesan dek pemergian bapanya. Ibu hairan juga kenapa dia dapat hadiah sedangkan saya yang konvo. Tapi sebaik buka pembalut, ibu tak dapat tahan tangis bila nampak wajah arwah ayah. ZETY "Ibu sanggup berhenti kerja semata-mata nak jaga ayah. Dulu ibu meniaga nasi lemak. Tapi bila ayah sakit, ibulah yang banyak habiskan masa dengan ayah, bawa ayah pergi dialisis. "Sampai sekarang kalau pergi kubur mesti ibu menangis. Sampai ibu cakap, dia tak nak kahwin lain. Sebab itu masa konvokesyen, saya berpakat dengan kakak nak beri potret ayah sebagai hadiah. "Ibu hairan juga kenapa dia dapat hadiah sedangkan saya yang konvo. Tapi sebaik buka pembalut, ibu tak dapat tahan tangis bila nampak wajah arwah ayah. Lebih-lebih lagi ibu baru lepas edah. Potret tu ibu sayang sangat... dia letak di meja solek. "Saya saja je 'throwback' video dan gambar yang dirakam ketika konvo saya pada 14 Oktober 2019 dan muat naik di TikTok sebab nak luahkan rasa rindu pada arwah. Selain ibu, semua adik beradik datang juga... hanya ayah tiada. Tak sangka langsung boleh dapat lebih daripada 10,000 views," ujarnya yang berasal dari Kuala Lumpur. Zety yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik sememangnya terkesan dengan pemegian arwah ayahnya. Tambah Zety, dia tidak menyangka perkongsian videonya itu menyentuh hati ramai malah ada yang turut meluahkan kesedihan kerana berada dalam situasi yang sama. "Ada satu komen tu, dia cakap dia pun nak konvo dan ayahnya pun meninggal dunia. Bila tengok video saya, dia teringat pada arwah ayahnya. "Pesanan saya satu saja, selagi ibu ayah ada, rakamlah seberapa banyak gambar dan video. Nanti bila mereka dah tiada, kita boleh tengok semula untuk ubati rindu. "Dulu saya dekat asrama, ayah yang selalu call tanya macam-macam... sekarang ni tak ada sapa dah nak call. Jadi untuk mereka di luar sana, sibuk macam mana pun, luangkanlah masa untuk call ibu ayah... mereka sentiasa nantikan panggilan anak," ujarnya lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI