suria

Semua mirip... Selepas 7 tahun tragedi, wanita ini jumpa ‘kembar’ arwah abang - “Kami selalu tengok game sepak takraw dia di TV”

Norizh akhirnya terjumpa 'kembar' arwah abangnya yang meninggal dunia 7 tahun lalu.

KEHILANGAN seorang abang bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima oleh wanita ini, lebih-lebih lagi hubungan mereka sangat akrab.

Namun kuasa Tuhan tiada siapa yang mampu menghalangnya apabila abang kesayangan maut dalam satu kemalangan jalan raya, kira-kira tujuh tahun lalu.

Bagaimanapun, lima tahun selepas tragedi berkenaan, rindu wanita ini kepada abangnya seakan-akan terubat apabila terlihat wajah seseorang yang mempunyai iras seperti arwah di kaca televisyen.

ARTIKEL BERKAITAN: Setahun bersedih tanggung rindu, ibu kembali ceria jumpa ‘kembar’ arwah anak ketika naik cruise - “Suami beranikan diri tegur pemuda tu”

ARTIKEL BERKAITAN: Rakan kata seiras, tuan punya badan puas tenung tapi tak nampak persamaan... gadis cari bro bertopi keledar - “Aku nak jumpa kembar aku”

Sejak itu, wanita bernama Norizh Zaidi ini mengikuti perkembangan 'kembar' arwah abangnya menerusi kaca televisyen mahupun media sosial.

Gerangan lelaki yang menyerupai iras arwah abangnya adalah bekas tekong sepak takraw kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi.

"Mula-mula adik yang perasan dulu, ketika itu sekitar 2019. Ketika pertama kali terpandang wajah Mohammad Syahir, terus terbayang arwah abang. Dari segi raut wajah, percakapan, senyuman, cara berjalan... memang mirip sangat.

"Arwah pun sebaya Mohammad Syahir iaitu 25 tahun kalau masih hidup. Jadi saya cuba hantar pesanan menerusi DM kepadanya ketika itu namun mungkin dia tak perasan sebab atlet semestinya ramai pengikut.

"Kalau dia ada game sepak takraw, pasti kami tak ketinggalan menontonnya. Kami sekeluarga kalau boleh teringin sangat nak jumpa dia hanya kerana nak ubati kerinduan.

kembar 1

Suntingan yang dilakukan Norizh untuk membandingkan persamaan antara arwah abangnya dengan Mohammad Syahir (kanan)

"Baru-baru ini, saya buat content di TikTok kerana wajah arwah sama betul macam muka dia. Sedikit sebanyak terubatlah rindu kami. Daripada situ, ramai pengikut yang 'tag' dia dan dia perasan. Dia follow saya di TikTok dan Instagram, serta berikan nombor untuk dihubungi. Alhamdulillah, penantian tiga tahun akhirnya berbaloi apabila dia respon," ujar wanita berusia 24 tahun ini.

Menurut Norizh yang menetap di Bandar Seri Alam, Plentong, Johor, selepas mengetahui kisah arwah abangnya, Mohammad Syahir sanggup meluangkan masanya untuk membuat panggilan video bersama keluarganya.

"Dia pun tak sangka muka arwah abang macam dia. Dia baik sangat, malah ketika saya minta izin untuk panggilnya dengan panggilan abang, dia okay saja. Terasa macam panggil abang sendiri. Dia pun panggil saya adik," ujar ibu kepada seorang cahaya mata ini.

kembar 2

Hubungan Norizh dengan arwah abangnya terlalu akrab kerana hanya berbeza setahun.

Bercerita serba sedikit mengenai tragedi yang meragut nyawa abangnya, Muhammad Idiaz Zaidi pada 7 September 2014, Norizh berkata ketika itu arwah dalam perjalanan untuk menjamu selera bersama tiga lagi rakannya.

"Arwah dari Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) menuju ke Kampung Melayu untuk menjamu selera. Kawannya cerita, masa sampai kedai, menu yang dia nak makan tu dah habis. Mereka pun patah balik ke kolej. Ketika dalam perjalanan itulah arwah yang memandu hilang kawalan dan langgar divider.

"Arwah meninggal dunia manakala tiga lagi rakannya terselamat. Kalau imbas kembali, sebenarnya itulah kali pertama arwah bawa kereta ke kolej sebab selalunya ibu ayah yang hantar. Tapi sebab ayah ada hal, arwah bawa kereta pulang ke kolej.

Dia pun tak sangka muka arwah abang macam dia. Dia baik sangat, malah ketika saya minta izin untuk panggilnya dengan panggilan abang, dia okay saja.

NORIZH ZAIDI

"Muka arwah happy sangat sebab dia boleh drive kereta. Sebelum balik ke kolej, ibu pesan suruh hati-hati, abang anak sulung dan anak lelaki ibu seorang saja. Arwah abang pun pesan pada saya, jaga ibu ayah dan adik-adik. Lepas dia meninggal dunia, barulah saya perasan benda ni macam berkait-kait... seolah-olah petanda.

"Saya sendiri masa tragedi tu sedang menduduki percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Memang hilang semangat... terasa macam 'lost'," ujar anak kedua daripada empat adik beradik ini.

kembar 3

Gambar raya terakhir keluarga Norizh bersama arwah abangnya.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih melebihi 995,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok, Norizh bersyukur dan terharu dengan kebaikan hati netizen yang bersungguh-sungguh membantu merealisasikan hasrat keluarganya untuk dipertemukan dengan Mohammad Syahir.

"Saya juga bersyukur kerana Mohammad Syahir memberikan respon. Sudah tentu kerana bantuan netizen. Terima kasih diucapkan... Alhamdulillah usaha kami dah dimakbulkan. InsyaAllah jika ada peluang, kami mahu berjumpa dengannya pula," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain