suria

Mulanya tak suka, tiba-tiba gigih ‘stalk’ IG... dating pun senyap-senyap, rahsia terbongkar saat anak bongsu nak dirisik jodoh depan rumah

Foto kanan Seyra (kanan) dan suami pada majlis perkahwinan di rumah keluarga pengantin lelaki.

SIAPA sangka dulunya sekadar berjiran di depan rumah dan menjadi rakan sepermainan, kini kedua-duanya bergelar suami isteri.

Tanpa perlu berkereta, pasangan pengantin berarak dengan berjalan kaki dari rumah pengantin perempuan ke rumah pengantin lelaki dengan jarak hanya beberapa meter.

Bercerita kepada mStar, pengantin perempuan, Nursyahirah Kamarol berkata, dia bernikah dan seterusnya mengadakan majlis perkahwinan di rumahnya, pada 20 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Cinta berputik di FB, akhirnya jadi jiran belakang rumah... isteri askar ini 'no hal' balik kampung, dulu 1km sekarang 10 tapak je - "Katanya kerja bawa lori ayam"

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 30 tahun berjiran, wanita tak sangka jodoh dengan rakan sepermainan depan rumah - "Mak mentua datang, tanya dah berpunya ke belum"

Wanita berusia 27 tahun itu memberitahu, mereka mula berkenalan sejak suaminya berpindah ke kampungnya di Kampung Pegoh di Alor Gajah, Melaka pada 2006.

"Saya dan suami sebaya, dan saya memang dilahirkan dan dibesarkan di Kampong Pegoh. Suami kemudian berpindah ke kampung ketika darjah enam.

"Kami berkenalan akhir tahun melalui sepupu lelaki, sempat jadi rakan sepermainan. Tahun berikutnya dan seterusnya kami masing-masing sambung belajar di sekolah asrama.. kalau ternampak pun cuma tegur-tegur macam tu je," katanya ketika dihubungi.

jodoh depan rumah 5

Bergelar suami isteri pada 20 November 2021.

Lebih mesra disapa Seyra, dia bagaimanapun hanya menganggap suaminya, Hanif Umar Kasim ketika itu sebagai jiran semata-mata, untuk mengenal rapat jauh sekali.

"Ikutkan saya tak suka dia pun dulu. Orangnya handsome tapi saya nak cari orang luar sebab teringin nak rasa pengalaman balik kampung.

"Kampung ayah belakang rumah kami je, kampung ibu pula di Alor Gajah. Jadi, memang tak pernah rasa keseronokan balik kampung setiap kali bercuti atau Hari Raya," ujarnya.

jodoh depan rumah 2

Seyra (kanan) dan suami pada majlis perkahwinan di rumah keluarganya.

Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, kedua-dua mereka kembali berhubung ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

"Saya berniaga di kedai makan. Masa awal PKP dulu kedai saya tutup dan hanya buka tempahan dan hantar secara COD (pembayaran tunai ketika serahan) dari rumah ke rumah.

Dari nak cari orang kampung jauh, sekarang tak ada masalah nak balik kampung siapa sebab depan rumah je

NURSYAHIRAH KAMAROL

"Sambil tu saya hantar makanan kat jiran-jiran untuk sedekah, termasuk rumah dia. Kadang-kadang terjumpa dia yang muncul depan pintu rumah bila masa nak serah makanan.

"Dari tegur-tegur biasa, terus sampai saya pun gigih stalk akaun instagram dia melalui sepupu dan DM (mesej secara langsung) minta nombor telefon mak dia.

"Pada masa sama, dia kemudian contact saya. Dari situ kami mula rapat," tambahnya.

jodoh depan rumah 3

Pasangan pengantin bersama keluarga pihak perempuan.

Walaupun berjiran dan rumah masing-masing berhadapan antara satu sama lain, perhubungan mereka dirahsiakan daripada pengetahuan kedua-dua keluarga.

"Sanggup keluar berasingan bila nak keluar dating senyap-senyap, itu pun kena pergi ke bandar Melaka sebab ada yang kenal kami di Alor Gajah.

"Sampailah dia nak datang merisik pada Mac lalu, dan saya terpaksa beritahu. Keluarga memang terkejut dan rasa kelakar sebab tak sangka orang yang nak datang merisik tu betul-betul tinggal depan rumah," ujarnya.

jodoh depan rumah 4

Pasangan pengantin bersama keluarga pihak lelaki.

Seyra berkata, dia menyifatkan suaminya yang merupakan juruteknik sebagai lelaki yang baik, penyayang dan kelakar serta begitu mengambil berat.

"Dari tak suka terus jadi suka, memang benar jodoh itu rahsia Allah. Dari merisik bulan Mac, bertunang pada Mei sehingga bernikah November.

"Majlis di rumah saya pada Sabtu (20 November), majlis di rumah suami pula Ahad (21 November). Kami berdua anak bongsu, jadi keluarga masing-masing nak buat majlis.

"Penat sebab majlis back to back. Dari nak cari orang kampung jauh, sekarang tak ada masalah nak balik kampung siapa sebab depan rumah je... inilah rezeki, jodoh PKP," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain