suria

Diduga saat bisnes kencang... Mulanya kaki tangan bengkak, sekarang dah tak boleh jalan... apa berlaku sebenarnya? - “Pasti ada penawar, jangan down lama-lama”

Ayu kini terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menghidap 'rheumatoid arthritis'.

JIKA sebelum ini dia aktif malah lincah ke sana sini menghantar barangan pelanggan, namun semuanya berubah dalam sekelip mata.

Siapa sangka, wanita ini kini terpaksa menggunakan kerusi roda malah memerlukan bantuan orang lain untuk menguruskan diri sendiri.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Nur Asriatul Idayu Abdullah berkata segala-galanya bermula beberapa bulan lalu apabila dia mulai merasai perubahan aneh pada badannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini ‘tewas’ dengan pertanyaan di TikTok, mengaku sering seluk poket seluar bukan sebab style tapi kerana sembunyi ‘tangan lembik’

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sedang berpantang reda suami disahkan ada masalah paru-paru, tak sempat keluar wad positif Covid-19 pula... tiada memori ketika anak newborn!

"Saya dapat rasa beberapa perubahan yang berlaku pada diri. Saya aktif kerana merupakan stokis untuk online bisnes 'nail polish' halal. Jadi selalu ke sana sini di serata Selangor untuk urusan bisnes.

"Mula-mula, saya rasa payah nak bergerak dan memandu kereta. Sendi-sendi tangan dan kaki rasa macam sakit. Dua bulan lepas, perubahan makin ketara... tangan dan kaki bengkak. Kejap bengkak, kejap hilang.

"Saya ada beritahu suami mengenai perubahan-perubahan tersebut. Dan kemudian suami beritahu, saya selalu mengerang dan meracau sewaktu tidur malam.

"Bermula awal November, keadaan saya makin teruk. Saya dah tak boleh banyak bergerak. Nak pergi tempat yang dekat dalam rumah pun sampai jalan dah tak betul. Mulut pun tak boleh buka luas. Kebanyakan masa hanya mampu berbaring," ujar wanita berusia 31 tahun ini.

Senang disapa sebagai Ayu, wanita ini berkata akibat sakit 'misteri' tersebut, dia tidak mampu untuk tidur pada waktu malam malah selera makannya juga hilang menyebabkan berat badannya turun mendadak.

"Sakit tu ia 'tangkap' sendi penting seperti lutut, pinggang, bahu, lengan dan tulang belakang. Sebab tu saya tak boleh bangun, kena orang tolong angkat.

sendi baru 2

Wajah Ayu berubah menjadi pucat selepas menderita sakit sendi.

"Bukan saja sakit sendi-sendi, malah bibir pun jadi gelap, hitam macam pekat lebih daripada pucat. Mata pun cengkung, kulit kusam.

"Sakitnya tu hanya Allah sahaja yang tahu. Disebabkan sakit tersebut, saya dapatkan rawatan di hospital dan pada masa sama ikhtiar juga perubatan Islam.

"Doktor kemudian sahkan saya menghidap 'rheumatoid arthritis'. Dan saya kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ubat seumur hidup untuk tahan sakit," ujarnya yang menetap di Serendah, Selangor.

Ayu yang juga ibu kepada tiga anak berusia enam tahun, lima tahun dan dua tahun berkata, selain mengambil ubat-ubatan moden, dia kini masih dalam proses mendapatkan rawatan kaedah perubatan Islam.

Mula-mula memang 'down' sebab usia 31 tapi dah duduk atas kerusi roda dan tak boleh urus pelbagai perkara macam sebelum ini.

NUR ASRIATUL IDAYU ABDULLAH

"Kita cuba saja ikhtiar kerana Sains dan Islam tetap berkait. Menurut ustaz, sakit sendi saya menjadi teruk kerana turut terkena gangguan makhluk halus.

"Menurutnya, kawasan perumahan saya adalah tempat saya mendapat gangguan. Kami baharu saja pindah hampir setahun lalu, dan saya mula sakit sendi beberapa bulan selepas berpindah.

"Sekarang saya menetap sementara di rumah mak mentua. Dia dan suamilah banyak bantu uruskan saya dan tiga anak yang masih kecil. Mula-mula memang 'down' sebab usia 31 tapi dah duduk atas kerusi roda dan tak boleh urus pelbagai perkara macam sebelum ini.

"Namun bila tengok wajah anak-anak yang masih kecil, ditambah dengan bantuan serta sokongan suami, keluarga dan keluarga mentua serta rakan-rakan bisnes, saya bisik pada diri untuk bangkit," ujarnya.

sendi baru 3

Ubat-ubatan yang perlu diambil setiap hari.

Tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok meraih melebihi 22,000 jumlah tontonan, Ayu berkata dia sekadar mahu berkongsi sebahagian daripada kisah hidupnya dan dalam masa yang sama memberi mesej positif kepada orang lain agar tidak berputus asa dengan ujian yang menimpa.

"Apa yang berlaku adalah perubahan terbesar dalam hidup saya. Sebelum ni aktif bisnes, sekarang terpaksa stop kejap dan terpaksa minta orang handle ejen-ejen.

"Tiga tahun berniaga dan masa bisnes sedang stabil, Allah datangkan ujian. Saya anggap Allah nak jentik hati saya. Saya selalu muhasabah kenapa terpilih diuji pada usia muda.

"Namun saya fikir, ada yang lebih teruk diuji. Jadi saya perlu bangkit dan nak cepat sembuh. Apa jua penyakit, pasti asa penawarnya. Jangan down lama-lama," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain