suria

Dulu posmen, kini pemandu lori kontena... pemuda akui realiti kerjanya susah nak balik rumah, siap pesan “kalau lori masuk simpang tolonglah mengalah!”

Rahmat pernah bekerja sebagai posmen sebelum bergelar pemandu lori pada tahun lalu.

BERBEZA 360 darjah.

Begitulah yang diungkapkan bekas posmen ini apabila bercerita mengenai kerjaya baharunya sebagai pemandu lori kontena.

Menurut Nur Rahmat Zainal, 23, setiap kerjaya ada cabarannya yang tersendiri, namun dia cekal berhadapan suka-duka demi mencari sesuap rezeki.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada apa nak dimalukan! Pelukis pelan berhenti kerja dari syarikat arkitek, kini gembira pandu lori - “Mereka kata muka saya tak sesuai kerja ni”

ARTIKEL BERKAITAN: Letak syarat RM2,000 tapi dapat berganda! Wanita terlepas cakap tak malu, siap tanya bila nak masuk meminang - “Baru keluar gua ka, tak tau berapa gaji driver lori?”

"Sebelum ini saya bekerja sebagai posmen dalam tiga tahun. Kemudian saya mula bawa lori pada tahun 2020. Minat untuk bawa lori dah lama ada. Kebetulan, dalam keluarga saya ramai yang bawa lori. Ayah, abang dan bapa saudara saya merupakan pemandu lori.

"Kebiasaannya saya bawa lori 14 tayar ataupun 16 tayar. Dari segi barang yang dibawa pula, ia bercampur-campur. Plastik, coklat, barang-barang besi pun ada mengikut kilang-kilang tertentu.

"Pekerjaan ini sudah tentu jauh berbeza dengan kerja lama. Dulu bawa motor sebagai posmen, kemudian terus bawa lori kontena. Banyak risiko dalam bidang kerja ini," ujarnya.

Mesra disapa Rahmat, dia yang menetap di Tanjung Karang, Selangor berkata, sifat berani perlu ada dalam diri individu yang mahu bergelar sebagai pemandu lori.

Jelasnya lagi, kehidupan normal juga terpaksa dikorbankan apabila banyak masanya dihabiskan di dalam kenderaan berkenaan.

"Kalau tak berani, jangan bawa lori. Yang penting kena sentiasa berhati-hati dan fokus. Hanya doa ibu yang sentiasa mengiringi perjalanan ini.

rahmat3

Kata Rahmat, bekerja sebagai pemandu lori ada cabarannya yang tersendiri.

"Orang selalu tanya dan ada tanggapan bahawa kerja ini gajinya besar, tapi mereka tak nak tanya ke kami kerja macam mana? Habis pukul berapa? Kalau sibuk kerja, kadang-kadang tidur dua ke tiga jam saja.

"Kerja ni susah nak balik rumah. Biasanya saya mula kerja seawal 8 pagi, dah habis perjalanan tu, belum tentu boleh balik awal. Pernah juga sampai awal pagi baru balik.

"Selain dalam Selangor, saya juga bawa lori sehingga ke Johor, Terengganu, Perak dan banyak lagi.

"Tapi paling penting sekali, jangan pernah malu dengan pekerjaan kita," ujar anak keempat daripada sembilan beradik itu.

Disamping meneruskan rutin kerjanya seperti biasa, Rahmat turut berkongsi realiti yang dihadapinya menerusi bingkisan video di aplikasi TikTok.

Lori ni besar, motor dan kereta pula kecil. Sepatutnya yang kecil lebih nampak yang besar.

RAHMAT

Siapa sangka, video-video yang dikongsi meraih perhatian ramai sehingga dia turut dihujani pelbagai pertanyaan mengenai cabang kerjaya itu.

"Biasanya saya suka kongsi video di Instagram Story dan status WhatsApp. Kemudian saya kongsi pula di TikTok. Tak sangka akan viral macam ni.

"Ada juga yang komen, mereka bergurau kata nak tumpang lori saya. Yang tanya mengenai pekerjaan ini pun ada," ujarnya lagi.

Dalam temubual sama, Rahmat turut menggesa pengguna jalan raya agar sentiasa mengutamakan keselamatan khususnya ketika memandu berdekatan dengan kenderaan berat.

rahmat4

Rahmat turut berkongsi rutin kerjanya menerusi video di TikTok.

"Kepada mat motor, abang-abang kakak yang naik kereta... kalau lalu sebelah lori, berdekatan lori, tolong berhati-hati dan beri laluan.

"Lori ni besar, motor dan kereta pula kecil. Sepatutnya yang kecil lebih nampak yang besar. Tapi ada dalam kalangan mereka yang tak nak mengalah.

"Lori nak masuk simpang, tolonglah mengalah. Jangan menyelit, jangan potong lori, kemudian brek depan lori. Tolong jangan buat. Lori kalau ada isi berat, ia tak boleh terus brek. Dah brek pun masih berjalan," pesannya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain