suria

Meriah! Diangkat, diusung ikut adat... pengantin Banjar tetap gemuruh, gayat walau berat badan dah turun 40kg dalam dua tahun

Yati dan suami diangkat dan diusung pada majlis perkahwinan.

SELAIN mengikut trend, majlis perkahwinan hari ini masih berpegang teguh kepada adat dan budaya masing-masing.

Begitulah juga yang dapat disaksikan menerusi satu pasangan pengantin yang diangkat dan diusung pada hari bahagia mereka bergelar Raja Sehari.

Anggun dalam persalinan warna biru, kedua-dua pengantin diusung di atas bahu ahli keluarga sebelum bersanding di pelamin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki bikin saspens tinggalkan rumah bakal isteri sebelum majlis nikah bermula, gubahan bunga RM20,000 'tertinggal' dalam kereta

ARTIKEL BERKAITAN: Pengantin lelaki tiba di masjid ready nak nikah, tok kadi dilihat memandu pergi ladang... siapa yang silap tarikh?- "Nervous isteri tak sampai-sampai"

Bercakap kepada mStar, pengantin perempuan, Nurul Hidayati Zakaria berkata, dia dan suami bernikah pada 3 Disember lalu dan bersanding pada hari sama di Sungai Manik, Perak.

Berusia 20 tahun, dia menjelaskan bahawa tradisi 'mengusung pengantin' pada majlis perkahwinannya itu merupakan adat bagi orang Perak berketurunan Banjar Alai Masin.

"Banjar ni banyak keturunan, dan salah satunya adalah Banjar Alai Masin. Keturunan mak dan adat itu adalah turun-temurun sehingga saya yang merupakan keturunan ke-10.

"Tanpa mengira lelaki atau perempuan daripada keturunan ini, kedua-dua pengantin tetap akan diangkat dan diusung beberapa langkah," katanya ketika dihubungi.

pengantin diusung 5

Yati (kanan) dan suami bernikah pada 3 Disember 2021.

Walaupun menyedari mengenai adat tersebut, dia yang lebih mesra disapa Yati pada mulanya berhasrat untuk tidak meneruskannya pada hari perkahwinan yang diadakan ketika pandemik.

"Saya dan suami masing-masing berbadan besar, jadi terfikir macam mana kalau kami diangkat dan diusung nanti? Pernah suarakan tak nak buat, tapi mak kata perlu buat ikut adat.

"Masa ketibaan pengantin lelaki di luar rumah, keluarga dan saudara-mara kata angkat saya dan suami. Masa tu cari orang dalam kalangan ahli keluarga untuk angkat kami," ujarnya yang berasal dari Sungai Manik.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, mujur dua bapa saudaranya, masing-masing anggota tentera yang sering melakukan aktiviti lasak dan seorang lagi berpengalaman melakukan tradisi itu setiap kali majlis perkahwinan keluarga tampil mengangkat mereka.

pengantin diusung 2

Yati anggun dalam persalinan busana biru.

Momen itu dirakamkan menerusi video yang dikongsi di aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 1.5 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

"Ada yang komen tegur saya supaya jaga badan kalau dah tahu ada adat angkat dan usung pengantin. Bila orang dah cakap, memang saya terasa.

"Tapi mulut orang tak boleh nak tutup. Alhamdulillah, majlis dah selesai dan selamat semuanya. Saya pun menghormati adat," tambahnya.

pengantin diusung 3

Pasangan pengantin bersama keluarga.

Yati yang bekerja di stesen minyak berkata, dia mula mengenali suaminya selama lebih setahun sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

"Kenal suami baru setahun setengah, tapi saya dah mula mengurangkan berat badan sejak dua tahun lepas dengan jaga makan dan buat senaman ringan.

Dari seberat 120 kilogram (kg), saya menurunkan berat badan sebanyak 40kg kepada 80kg. Bukannya saya tak jaga badan.

NURUL HIDAYATI ZAKARIA

"Dari seberat 120 kilogram (kg), saya menurunkan berat badan sebanyak 40kg kepada 80kg. Bukannya saya tak jaga badan, sekarang berat badan maintain," katanya.

Namun Yati mengakui perasaannya bercampur baur apabila diangkat dan diusung meskipun hanya untuk beberapa langkah.

pengantin diusung 4

Foto kiri sebelum Yati mengurang berat badan, kanan penampilan terkini Yati.

"Lagi nervous dari masa akad nikah sebab ramai tengok. Saya ni gayat, memang takut tinggi.

"Bila duduk atas bahu pakcik, memang takut kalau terjatuh. Tapi perasaan seronok tetap ada.

"Momen yang paling tak dilupakan, dan bukan semua orang buat masa kahwin. Saya akan teruskan adat ni untuk anak-anak, insyaAllah," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain