suria

Ibu jadi sifu sejak tingkatan dua, dah bergelar jurutera masih ‘steady’ jahit baju... bisnes menjahit menjadi, jejaka ini titip pesanan buat anak muda

Fahmi tidak menolak rezeki seandainya dia dapatberkecimpung secara sepenuh masa dalam bidang fesyen dan jahitan suatu hari nanti.

KALAU dah kreatif, buat apa pun mesti lawa.

Begitulah kisahnya mengenai jurutera ini yang aktif menjahit pakaian untuk diri sendiri sejak zaman sekolah lagi.

Kini, hasil kreativiti Fahmi Othman, 28, turut dijual kepada orang ramai, sekaligus menjana pendapatan sampingan buatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerana minat, pemuda kacak tak hirau dipertikai bergelar tukang jahit... siap kongsi detik cemas baju pelanggan berlubang di ambang raya

ARTIKEL BERKAITAN: Selesa jadi ‘tukang jahit biasa’ walau hasil jahitan luar biasa! Lelaki ini kongsi kisah ditentang belajar fesyen, bawa mak ayah naik pentas selepas berjaya

Ujar jejaka dari Ipoh, Perak itu, dia mempelajari kemahiran tersebut dengan ibunya, Kamariah Ahmad, 52, yang berpengalaman lebih 35 tahun sebagai tukang jahit.

"Kalau ingat balik, saya belajar menjahit dengan mak sejak zaman sekolah lagi. Ia bermula ketika saya tingkatan dua yang mana ketika itu, saya nak kecilkan seluar sekolah saya.

"Bila dah besar, saya banyak jahit barang untuk saya pakai sendiri. Antaranya baju kemeja, seluar kerja dan baju tidur. Saya juga jahit langsir dan beg.

"Tambahan pula saya berbadan kecil. Waktu nak beli baju agak susah sikit. Saya pun agak memilih, sebab itu saya lebih selesa jahit sendiri. Setakat ini dah lebih 30 helai kemeja saya jahit," ujarnya kepada mStar.

fahmi3

Fahmi menggayakan kemeja jahitannya sendiri.

Menurut Fahmi yang menetap di Subang Jaya, Selangor, dia sebelum ini turut menerima tempahan jahitan pakaian daripada rakan-rakan terdekat.

Kemudiannya, Fahmi turut menerima tempahan orang luar selepas video-video jahitannya tular di aplikasi TikTok.

Kalau buat benda yang kita minat sebagai kerja, sudah tentu kita akan gembira.

FAHMI

Dalam masa sama, Fahmi kini turut menjalankan perniagaan baju tidur jahitan sendiri yang mana ia turut mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan pembeli.

"Saya mula kongsi video di TikTok pada tahun lepas. Bila saya kongsi, ramai pula yang nak tengok hasil-hasil jahitan yang lain.

"Kemudiannya datang pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Waktu itu saya tak bekerja selama lima ke enam bulan. Jadi saya gunakan masa yang ada untuk menjahit.

"Dengan bakat yang ada, boleh saya cari pendapatan untuk tampung gaji yang dipotong ketika pandemik Covid-19," ujarnya lagi.

fahmi4

Fahmi bekerja sebagai jurutera sejak tahun 2016.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, dia juga tidak menolak rezeki seandainya dapat berkecimpung secara sepenuh masa dalam bidang fesyen dan jahitan suatu hari nanti.

Jelas Fahmi, minat itu sememangnya sudah lama dipendam, namun kurang mendapat persetujuan orang tuanya suatu masa lalu.

"Sejujurnya dalam hidup ini saya ikut saja apa ketentuannya. Bidang kejuruteraan sebenarnya bukan minat utama saya.

"Selepas sekolah dulu, saya terfikir nak ambil bidang fesyen. Tapi mak ayah kurang bersetuju. Mungkin orang dulu-dulu fikir, jadi jurutera atau cikgu baru ada masa depan cerah.

"Tapi kalau dengan menjahit boleh beri saya pendapatan yang lebih tinggi daripada kerja sebagai jurutera, InsyaAllah saya akan buat secara sepenuhnya suatu hari nanti.

fahmi5

Dia turut berkongsi video jahitannya menerusi TikTok.

"Tapi buat masa ini, saya hanya menjahit dari rumah saja," ujar Fahmi yang sudah bekerja sebagai jurutera sejak tahun 2016.

Dalam pada itu, Fahmi turut menitipkan pesanan buat anak muda di luar sana agar mengejar impian masing-masing tanpa perlu menghiraukan pandangan orang.

"Pesanan saya ni untuk diri sendiri juga. Kalau anda minat bidang fesyen atau apa jua bidang lain, usahakan untuk capai minat anda.

"Kita nak kerja berdasarkan apa yang kita minat. Kalau buat sesuatu yang kita minat sebagai kerja, sudah tentu kita akan gembira,

"Tapi kalau kita bekerja dalam bidang yang kita tak suka, ia akan menjadi bebanan. Nak survive pun susah," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain