suria

Dulu seronok jadi pengunjung tegar, dah bergelar penduduk baru tahu realiti hidup di Cameron Highlands - “Saya cuci pinggan sebelum malam”

Alia berkongsi situasi yang perlu dilaluinya sejak mula menetap di Cameron Highlands hampir 3 bulan lalu.

CAMERON Highlands sememangnya merupakan salah satu lokasi peranginan yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

Cuacanya yang sejuk, ladang teh yang terbentang luas, strawberi merah ranum dan sayur yang segar bugar menjadi antara tarikan utama lokasi tanah tinggi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Cameron Highlands terkejut jadi pelanggan tunggal pasar! Strawberi ‘gemuk’ tapi harga murah, sedih kenang reaksi remaja jual kambing perap

ARTIKEL BERKAITAN: Luluh hati lambakan ‘bunga dibuang di Cameron Highlands’! Status bisnes bunga dipersoal, anggap rakyat Malaysia perlukan terapi - “Bukan sekadar hadiah, tapi penenang jiwa”

Boleh dikatakan lokasi ini 'padat' dengan pelancong setiap masa sehingga jalan di sana sesak terutama setiap kali hujung minggu, cuti am atau cuti sekolah.

Wanita ini juga salah seorang pelancong 'tegar' yang tidak pernah gagal mengunjungi Cameron Highlands bersama keluarganya setiap tahun sehingga dia pernah memasang impian untuk menetap di tanah tinggi itu.

Siapa sangka, kata-kata yang pernah diluahkan beberapa tahun lalu akhirnya menjadi kenyataan!

Berkongsi cerita dengan mStar, Nur Alia A'thirah Mohd Dasuki atau senang disapa Alia berkata, dia kini secara rasminya menjadi 'orang tempatan' selepas mengikut suaminya yang kini bertugas sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Hampir tiga bulan dah saya dan suami berpindah dan menetap di Ringlet. Dulu memang suka berjalan-jalan ke Cameron Highlands sebab sejuk. Tapi bila dah duduk sini, baru rasa realiti sebenar.

alia cameron

Alia sudah hampir tiga bulan menetap di Cameron Highland kerana mengikut suaminya bertugas.

"Kita biasa tempat panas. Jadi 'part' paling susah tentunya bila melibatkan air seperti waktu mandi, membuang air, cuci pinggan mangkuk. Waktu malam memang sangat sejuk jadi saya selalu selesaikan kerja cuci pinggan mangkuk sebelum malam.

"Yang lucunya, kalau bangun subuh, nak angkat takbir pun menggeletar tangan. Biasanya mandi tiga kali sehari, kadang-kadang dah kurangkan jadi dua kali.

"Kalau kita dulu duduk dalam aircond rasa sejuk, mesti keluar rumah untuk hangatkan badan. Tapi sini duduk bilik sejuk, duduk ruang tamu sejuk, duduk luar pun sejuk. Stokin dan baju sejuk wajib pakai kalau malam," katanya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

cameron 2

Keluarga dan keluarga mentua Alia menghantarnya dan suami ketika berpindah pada September lalu.

Tambah wanita berusia 23 tahun ini, dek kerana cuaca yang sejuk, masalah ekzema yang pernah ditanggungnya sebelum ini, muncul kembali.

"Saya ada sejarah ekzema. Bila duduk tempat sejuk, kulit mudah kering dan saya kena pakai sabun khas untuk kulit. Tapi dari satu sudut, kulit semakin cerah. Bila balik Kelantan, ada pula yang perasan tona kulit saya," katanya yang bekerja di Ayahman Scone, pengeluar scone terkenal di tanah tinggi itu.

Berkongsi perkara paling disukainya selama menetap di tanah tinggi itu, Alia berkata menikmati sayur-sayuran segar setiap hari adalah salah satu daripadanya.

Tak sangka siap ramai pula yang request saya buat video lagi, minta buat 'tour' rumah dan lokasi-lokasi menarik sekitar Cameron.

NUR ALIA A'THIRAH MOHD DASUKI

"Tak payah pergi mall atau beli stok sayur segar sebab di sini hari-hari boleh beli dari makcik tepi jalan. Sudahlah segar, murah pula tu. Suami pula selalu bawa balik jagung atau strawberi sebab ramai yang bagi. Murah rezeki kami," ujarnya lagi.

Tidak menyangka video 'random' mengenai realiti sebagai penduduk Cameron Highlands meraih sehingga 1.3 juta jumlah tontonan, Alia berkata dia sekadar suka-suka dan idea tersebut terlintas secara spontan.

"Ramai kata bestnya duduk Cameron. Itu yang saya saja nak kongsi apa yang penduduk sini lalui setiap hari. Kalau bab trafik sesak, itu benda biasa di sini. Bagi peniaga, kalau sesak, maknanya rezeki buat mereka.

"Tak sangka siap ramai pula yang request saya buat video lagi, minta buat 'tour' rumah dan lokasi-lokasi menarik sekitar Cameron. InsyaAllah ada masa saya cuba tunaikan.

cameron 1

Alia gembira dapat menikmati pemandangan indah Cameron Highlands setiap hari.

"Cuma saya nak ulas satu komen di TikTok saya, orang tu cakap benda kurang sopan dan kaitkan Cameron Highlands dengan ajal sebab selalu berlaku tanah runtuh.

"Janganlah cakap macam tu seolah-olah hasut orang jangan datang Cameron. Fikirlah dengan peniaga di sini... mata pencarian mereka bergantung dengan kunjungan orang. Masa PKP dulu mereka dah teruk terkesan.

"Bila kerajaan dah beri kelonggaran rentas negeri, barulah ekonomi mereka beransur pulih. Siap ada yang semangat cat kedai untuk sambut pelancong. Kalau ada peluang, datanglah support peniaga di sini," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain