suria

Remaja OKU menitis air mata dapat tempahan pertama 10 batang ais krim, bangun jam 3 pagi terus solat tahajud

Amsyar terharu apabila ada yang sudi menempah dan membeli ais krim yang dijualnya.

DIA dilahirkan tidak sempurna, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk mencari pekerjaan bagi mendapatkan sumber pendapatan yang halal demi membantu ibu dan bapanya.

Justeru apabila dia diberi peluang membantu sepupunya menjual ais krim Malaysia, dia berusaha sehabis baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidap asma teruk masa hamil, ibu reda bayi sulung meninggal sehari selepas dilahirkan akibat sesak nafas - “Mirip wajah saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu seronok jadi pengunjung tegar, dah bergelar penduduk baru tahu realiti hidup di Cameron Highlands - “Saya cuci pinggan sebelum malam”

Kesungguhan dan keikhlasannya itu dapat dilihat apabila dia menitiskan air mata apabila mendapat tempahan pertama.

"Berlari-lari dia mai nak beritahu ada orang order 10 batang ais krim, seronok betul dia sampai sebak," tulis Zaidatul Hanani Tarmizi mengenai sepupunya, Muhammad Fakhrul Amsyar Mohd Ramli, 19.



Tangkap layar video yang dikongsikan Hanani.

Bercakap kepada mStar, ibu Amsyar, Fatin Hamida Said, 51, berkata, anaknya yang dilahirkan tidak cukup bulan itu pada mulanya disahkan mengalami sleep apnea.

"Dia dilahirkan lapan bulan sebab saya ada tekanan darah tinggi, dua bulan dia berada dalam jagaan doktor pakar di Hospital Sungai Petani kemudian dia disahkan mengalami sleep apnea, yang mana dia akan berhenti bernafas ketika tidur.

"Saya kena beli satu alat yang dipasangkan dekat perut ketika tidur untuk kesan jika dia berhenti nafas, saya hanya perlu kejutkan dia bagi terjaga dan dia akan bernafas semula.

"Masa tu saya tak dapat nak gambarkan perasaan bila tengok dia dekat NICU (unit rawatan rapi untuk kanak-kanak) dengan berat badan 1.8 kilogram, mulut ada dua batang paip, Astagfirullah, saya tak lalu makan dan tak dapat tidur," katanya.

Selepas setahun, anaknya itu semakin pulih namun kesan daripada penyakitnya itu membuatkan otaknya sedikit terjejas sehingga memberi kesan kepada pergerakan Amsyar.

"DIa berjalan tidak stabil, dia ada cereberal palsy, masa umur enam tahun saya dan suami dapatkan rawatan untuknya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, kakinya terpaksa disimen berkali-kali, cucuk botox di bahagian belakang pelipat lutut sebanyak dua kali, dan dia terpaksa memakai kasut khas yang perlu dibuat setiap tahun sehingga dia berusia 15 tahun," ceritanya, yang menetap di Baling, Kedah.



Amsyar terpaksa menjalani rawatan fisioterapi dan disimen kakinya.

Fatin yang juga seorang guru pembantu di sebuah Tabika Perpaduan berkata, walaupun keadaan dirinya tidak sempurna, anak bongsu daripada empat beradik itu tetap bersemangat untuk mencari pendapatannya sendiri.

"Sebenarnya dia dah banyak kali minta kat saya nak bekerja tapi saya tak tahu kerja apa yang sesuai untuk dia, sebelum ni ada cuba nak berniaga online tapi ada orang nak ambil kesempatan dekat dia jadi saya kata tak payah la.

"Jadi dia selalu mengadu (pasal hendak bekerja) pada sepupu dia yang tinggal sebelah rumah kami, Hanani. Atas rasa simpati Hanani ajak dia jual ais krim, Hanani buatkan ais krim Amsyar tolong jualkan je dan dapat komisen.

"Hanani ajar dia cara nak promosi perniagaan mereka, Alhamdullilah ada juga insan yang bersimpati nak tolong dia, semoga Allah murahkan dan permudahkan urusan perniagaan mereka," katanya sambil menambah, anaknya itu baru sahaja mula berniaga sekitar dua minggu lepas.



Amsyar bersama keluarganya.

Menurut Fatin, anaknya itu sangat teruja apabila dia mula menerima tempahan daripada sahabat dan juga orang-orang sekeliling.

"Dia sangat terujia bila terima order kawan-kawan, jiran tetangga, hari kedua berniaga dia promosi dalam grup penduduk Kampung Sungai Limau tempat dia belajar selepas tingkatan 5, cikgu dia buat tempahan 10 batang aiskrim, berlari dia pada Hanani beritahu dengan amat gembira sampai mengalir air mata.

"Malam tu dia tidur tiga jam je, pukul 3 pagi dia terjaga terus bangun solat tahajud dan bersyukur atas rezeki yang Allah berikan.

"Saya amat berterima kasih pada Hanani atas keprihatinan dia pada anak saya," katanya.

Fatin juga tersentuh apabila anaknya itu mengakui bahawa usahanya itu juga adalah demi membantu keluarga.

"Dia beritahu saya dia nak cari rezeki untuk bantu mak dan abah, semoga Allah makbulkan.

"Alhamdullilah, semoga dia menjadi anak yang soleh," katanya, sambil menambah dia selalu berpesan kepada anak-anaknya yang lain supaya jangan pernah melupakan Amsyar apabila dia dan suaminya sudah tiada nanti.

Sementara itu Hanani, 27, yang lebih mesra dipanggil Nani berkata, dia cukup terharu apabila melihat keterujaan sepupunya itu apabila dia mendapat tempahan.

"Cara dia datang nak beritahu saya yang ada orang order tu membuatkan saya terharu sangat, dia jalan tak berapa betul lepas tu tengok dia sebak bila dapat order sampai 10 batang tu, sebab tak pernah lagi ada orang order banyak macam tu, selalu sebatang dua je.

"Memang muka dia teruja sangat masa dia beritahu

"Semalam ada orang WhatsApp nak beli 40 batang ada 30, ada 20, ada yang beli untuk bagi semangat dekat dia berniaga, mereka beli lepas tu mereka bagi upah lebih suruh dia sedekah, ada juga tempah 80 batang untuk budak tahfiz," katanya, yang turut menjual tudung Hayda scaf.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain