suria

Gara-gara suka bikin kereta, sampaikan sekali pandang nampak macam Volkswagen... suami Sis Myvi dituduh sengkek!

Farah turut memberi respons terhadap kata-kata penghinaan yang dilemparkan kepada dia dan suaminya.

RASA bangga wanita ini terhadap kereta keluaran tempatan dibuktikan dengan penghasilan video-video di laman sosial miliknya.

Menurut Farah Izzati Aripin, 23, dia tidak pernah jemu menaiki Perodua Myvi yang dibeli pada tahun 2018, malah sanggup melabur wang untuk melakukan modifikasi.

Disebabkan minatnya terhadap model kenderaan tempatan popular tersebut, wanita yang sedang hamil lima bulan itu turut diberi gelaran 'Sis Myvi' oleh rakan baiknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan biasa-biasa! Uncle bawa myvi ‘berkepak’ curi tumpuan gadis

ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas produk kecil hati dipertikai tak beli Mustang, mak ayahnya dah cukup gembira naik Myvi - “InsyaAllah suatu hari nanti beli GTR”

"Ada seorang kawan beri gelaran Sis Myvi. Dia minta saya gunakan nama itu di media sosial. Awalnya saya malas nak layan, tapi akhirnya saya turutkan saja.

"Kereta itu dibeli pada tahun 2018. Tapi pada 2019 baru saya mula buat modifikasi. Selain itu, saya juga seorang yang suka edit video. Sebab itulah saya banyak kongsi video berkaitan kereta.

"Bermula dengan video tampal sticker pada kereta saja, kemudian setiap kali buat modifikasi, saya mesti akan buat video.

"Saya juga akan cerita mengenai lokasi bengkel, kos untuk buat dan macam-macam lagi. Segala apa yang dibuat pada kereta, saya akan hasilkan dalam bentuk video," ujarnya kepada mStar.

Disebabkan rajin berkongsi pelbagai maklumat dan ilmu berkaitan kenderaan miliknya, dia yang mesra disapa Farah turut dihujani pelbagai soalan daripada netizen.

Menurut wanita yang berniaga secara dalam talian itu, dia tidak pernah jemu menjawab soalan dan cuba membantu netizen yang bertanya di laman sosial miliknya.

farah3

Farah bersama suaminya.

"Saya tak pernah jangka ramai yang akan tonton video saya. Saya juga tak pernah berharap ia akan viral. Saya buat semua ini kerana memang minat buat video.

"Dari segi kereta pula, saya suka yang jenis sporty. Masa mula-mula beli, saya dah cakap bahawa saya nak buat design nampak sporty. Ramai yang komen kata nak sama macam Mercedes-AMG. Sebelum ini saya pun tak tahu mengenai Mercedes-AMG," ujarnya berseloroh.

Selain komen-komen positif serta pujian terhadap kereta kesayangannya, Farah juga tak terlepas berdepan komen negatif, khususnya di aplikasi TikTok.

Adab dalam menggunakan media sosial perlu diterapkan dalam diri masing-masing.

FARAH

Baru-baru ini, seorang individu turut meninggalkan komen berbaur penghinaan dan menuduh suami Farah seorang yang 'sengkek' kerana hanya menaiki kereta Myvi yang diubah persis kereta Volkswagen.

Jelas Farah, dia sebolehnya enggan melayan sebarang komen negatif, namun terpaksa bersuara kerana individu itu sudah mengaitkan dirinya dengan keluarga.

"Komen kecaman sudah tentu ada. Kita tak buat apa-apa pun mesti ada juga. Sebenarnya saya tak suka balas komen negatif. Ia akan buat saya lagi sakit hati.

"Tapi yang baru-baru ini, saya kira ia agak melampau. Sebab dia sebut suami saya. Kebetulan saya sedang free, saya reply balik komen individu itu dalam bentuk video.

farah2

Farah rajin berkongsi info mengenai kereta Myvi miliknya.

"Saya pun tak kenal dia. Tapi dia macam tak puas hati. Pada pagi Isnin, saya tengok akaun TikTok individu itu sudah hilang," ujarnya yang menetap di Kota Damansara, Selangor.

Dalam pada itu, Farah yang memiliki lebih 34,000 pengikut di TikTok turut menitipkan pesan kepada semua pengguna media sosial agar sentiasa menjaga adab dan tutur kata mereka.

"Kalau ada akaun palsu yang guna media sosial untuk jatuhkan orang, itu memang saya tak suka.

"Bila kita buat macam tu, kita tak tahu orang yang jadi mangsa akan rasa down. Sebab itu kita kena jaga kata-kata.

"Ada juga yang berani kerana berselindung di sebalik akaun palsu. Pada saya, adab dalam menggunakan media sosial perlu diterapkan dalam diri masing-masing," pesannya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain