HUJAN lebat berterusan yang melanda seluruh negara sejak beberapa hari lalu menyebabkan kebanyakan kawasan ditenggelami air. Situasi ini sudah semestinya menimbulkan pelbagai kesulitan kepada mereka yang terjejas kerana terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan buat seketika. Namun apa yang menyedihkan, mereka terpaksa menanggung kerugian yang bukan sedikit ekoran kerosakan harta benda. ARTIKEL BERKAITAN: Selalu hadap banjir, mangsa kongsi banyak perkara ramai tak tahu... kenapa tak boleh dekati pokok? - “Makanan bukan masalah utama...” ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Subang Jaya jadi mangsa banjir di Kelantan, perjelas foto ‘seronok main banjir’ siap guna pelampung - “Dulu takut keluar rumah, sekarang saya dah biasa” Tidak terkecuali bagi seorang guru mengaji, Mohd Sofee Mustafa, 39, yang turut diuji apabila pusat mengaji Al-Quran yang ditubuhkannya, Geng Ngaji yang terletak di Kampung Astana Raja, Rembau, Negeri Sembilan hampir musnah ditenggelami air. Berkongsi cerita dengan mStar, Mohd Sofee berkata, banjir pada kali ini disifatkan sebagai bencana terburuk di kawasan tersebut sejak berpuluh tahun dahulu. "Geng Ngaji bukan sahaja menempatkan pusat mengaji untuk orang tempatan secara percuma, tetapi di tanah pusaka milik keluarga, saya ada buat kolam ikan, bina gerai dan menternak ayam. (Kiri) Sebahagian daripada ternakan ayam yang tidak dapat diselamatkan, (kanan) dewan mengaji ditenggelami air. "Aktiviti tersebut bukan sahaja untuk buat 'rolling' perbelanjaan pusat mengaji, tetapi projek ini nak bantu penduduk kampung dari segi ekonomi. Saya dan isteri nak buat sesuatu untuk contribute kepada orang kampung selepas pulang dari Jordan dan Mesir. "Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 2018, saya kira inilah ujian besar untuk kami. Seolah-olah kena mula semula dari zero," ujar pengasas Pertubuhan Geng Ngaji Negeri Sembilan itu. Menurut Mohd Sofee, bencana kali ini menyebabkan kebanyakan perabot dan peralatan di pusat mengaji itu rosak teruk. Namun apa yang lebih menyedihkan, ternakan ikan dan ayamnya tidak dapat diselamatkan, sekali gus menyebabkan kerugian yang ditanggung agak besar. Belia kampung dan NGO yang membantu memindahkan peralatan dan perabot. "10,000 kilogram (kg) stok ikan talapia terlepas sebab air memenuhi kolam. Ayam pula lebih 200 ekor semua mati... tak ada yang dapat diselamatkan. Sekali dengan guni dedak musnah," ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir ini. Bagaimanapun Mohd Sofee bersyukur kerana begitu ramai pihak yang turun padang menghulurkan bantuan dari segi tenaga dan 'berkampung' di pusat mengaji miliknya sejak hari pertama dilanda musibah. "Alhamdulillah belia kampung ni memang standby dari hari pertama... ramai turun padang malah sampai sekarang berkampung untuk bantu. Sejak ditubuhkan secara rasmi pada 2018, saya kira inilah ujian besar untuk kami. Seolah-olah kena mula semula dari zero. MOHD SOFEE MUSTAFA PENGASAS GENG NGAJI "Selain belia, ada NGO yang hantar team untuk bantu kami. Alhamdulillah, terima kasih kepada orang kampung, NGO dan pihak yang sumbangkan tenaga. "Walaupun sedih dengan apa yang berlaku kerana boleh kata hampir 'total lost', namun bagi saya, ujian ni Allah turunkan kerana Dia nak beri lebih baik daripada dulu dan Dia nak angkat darjat kita. Ciapan Mohd Sofee di Twitter yang berkongsi mengenai situasi pusat mengaji miliknya. "Bersikap positif dan pandang ke depan. Kami akan bangkit kembali nanti. Buat masa ini kami nak tumpu usaha selamatkan apa yang ada, dan kemudian kita akan duduk melihat jumlah kerugian dan perancangan seterusnya. "Buat semua, doakan supaya usaha kami ini terus berkembang dan terus berjalan ke depan," katanya lagi. Bagi yang ingin menghulurkan, boleh menghubungi Mohd Sofee di talian 019-619 1930. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI