suria

Dua sahabat seronok jadi maskot, suka tengok wajah insan gembira dapat kejutan - “Pelanggan cuba, mereka tak mampu pakai lama”

Syahirah dan Fatin menjalankan perniagaan surprise planner dengan maskot di Melaka.

APALAH sangat rasa panas seketika yang terpaksa ditempuhi kalau nak dibandingkan dengan kegembiraan serta kebahagiaan yang dirasai pelanggan.

Malah segala penat lelah yang dirasai akan hilang serta merta apabila melihat senyuman yang terukir di bibir individu yang menerima hadiah kejutan daripada mereka berdua.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan burnt cheese cake terlebih 'bakar', wanita dah bersedia 'ditembak' grup FB tak sangka kek licin sekelip mata... anak-anak nak lagi!

ARTIKEL BERKAITAN: Sabar ajelah! Muka comel, ‘suci murni’ tapi perangai hanya tuannya saja yang tahu... sinki pun boleh diterbangkan

Berkongsi pengalaman sebagai maskot yang dibayar untuk membuat kejutan kepada individu lain, Nur Syahira Nor Azli, 20, berkata semuanya bermula apabila rakannya membelikannya maskot tersebut sebagai hadiah hari jadinya.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Merlimau, Melaka ini berkata, rakannya itu sentiasa berhasrat untuk menjalankan perniagaaan menggunakan maskot, namun hasratnya pada ketika itu masih belum kesampaian.

"Masa tu saya fikir dah alang-alang maskot tu ada boleh la saya tolong dia buat perancangan untuk buat perniagaan surprise planner dengan maskot ni.

"Alhamdullilah sekarang ini dah jadi perniagaan kami berdua," katanya yang menetap di Jasin, Melaka.



Syahira dan sahabatnya menjalankan perniagaan surprise planner dengan maskot sudah hampir satu tahun setengah tahun.

Mesra dipanggil Syahira, gadis ini berkata, perniagaan yang dilakukan secara sambilan ini kini sudah pun mencecah hampir setahun setengah usianya.

Katanya, bermula dengan hanya satu maskot beruang yang dihadiahkan kepada dirinya, mereka kini mempunyai dua maskot, iaitu patung Jerry.

Berkongsi antara cabaran yang terpaksa dihadapi sepanjang menjalankan perniagaan tersebut, Syahira berkata, sama seperti perniagaan lain, pendapatan mereka juga terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

"Ada beberapa je cabarannya, pertama PKP harit u kami tak dapat beroperasi seperti biasa. Selain tu cabarannya bila penerima tu malu-malu, kadang-kadang situasi tu jadi awkward sikit tapi kalau penerima tu sporting memang Alhamdullilah menariklah kejutannya.

"Lagi satu kalau tiba-tiba hari yang ada event tu hujan, tu memang sangat mencabar sebab kadang-kadang bouquet basah, kalau ada bumbung pun agak susah nak handle.

"Bahang dalam maskot tu pun boleh tahan juga, tengok event buat dekat mana. Kadang-kadang ada customer minta pakai mereka pun tak mampu pakai lama, 15 minit je lepas tu minta buka sebab panas sangat," katanya, sambil menambah mereka kebiasaannya perlu memakai maskot itu selama hampir satu jam.



Syahira dan sahabatnya mendapat kepuasan apabila melihat senyuman di wajah pelanggan mereka.

Namun, bagi Syahira dan rakannya, Fatin Nor Aishah Md Zin, 21, apa pun cabaran yang mendatang, mereka tetap akan cuba untuk membuatkan pelanggan mereka tersenyum gembira dengan hadiah dan kejutan yang diberi.

"Benda yang paling utama saya suka pasal kerja ni adalah bila tengok orang senyum, customer happy dan terkejut sebab kadang tu mereka ni pasangan yang menjalani kehidupan jarak jauh, jadi ada isteri yang menangis bila dapat kejutan daripada suami, ada yang ibu bapa dapat kejutan daripada anak-anak.

"Dalam banyak-banyak kejutan yang kami paling tak boleh lupa yang terbaru ni, minggu lepas sebab satu keluarga sporting sangat siap buat TikTok bersama, biasa maskot yang menari gembirakan mereka, tapi kali ni mereka satu keluarga menari.

"Lepas tu mereka anggap kami macam keluarga, habis je event mereka jemput kami makan bersama, berborak macam dah kenal lama, memang best la," katanya, sambil menambah pelanggan yang baik ini juga merupakan satu rahmat bagi mereka.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain