suria

Hikmah jumpa kain putih bawah kereta selepas terlanggar bangkai anjing - “Ada yang fikir kami langgar mayat atau pocong”

Cebisan kain putih yang terlilit di 'driveshaft' kereta Nur Dini yang ditemui selepas kejadian terlanggar bangkai anjing.

LAIN yang dilanggar, namun lain pula yang ditemui oleh pemilik kereta ini.

Bagaimanapun siapa sangka, insiden tersebut rupa-rupanya mempunyai hikmah yang mahu ditunjukkan.

Memperincikan semula kejadian yang berlaku Khamis lalu, Nur Dini Saiya berkata, ketika itu dia, suami dan seorang anak perempuannya yang berusia lima tahun sedang dalam perjalanan dari Parit Buntar, Perak menghala ke Butterworth, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita tergamam tengok darah menitis dari bahagian enjin, rupa-rupanya ada ‘makhluk tumpang’! - “Dalam bilik boleh terhidu bau bangkai”

ARTIKEL BERKAITAN: Tak berhati perut! Wanita selamba bawa motor selepas langgar kucing, mujur ada peniaga durian... ke depan sikit jumpa 4 lagi bangkai - "Kucing jalanan berhak dapat kasih sayang"

"Hari itu suami teringin nak makan mi udang, jadi kami sekeluarga pergi ke satu restoran yang viral dekat Kuala Kurau, Perak. Selepas selesai menikmati mi udang, kami singgah rumah seorang rakan di Parit Buntar.

"Sekitar pukul 8 malam, baru kami bertolak pulang ke Butterworth. Dalam perjalanan nak cari masjid untuk berhenti solat, tiba-tiba kereta yang dipandu suami terlanggar sesuatu yang ada dekat tengah jalan.

"Memang tak sempat elak sebab jalan gelap. Bila dah hampir, baru nampak... kami pasti itu bangkai anjing. Ia dah dilanggar sebelum itu dan ada dekat tengah jalan sebelum kami langgar.

"Kami tak berhenti serta merta sebab jalan gelap, kebetulan pula nak segera ke masjid. Namun suami berhenti di sebuah stesen minyak untuk tengok kalau-kalau bumper kereta remuk," ceritanya kepada mStar.

Menurut Nur Dini, sebaik sahaja suaminya membuka pintu kereta, serta merta bau busuk menusuk hidung mereka.

aneh 1

Kesan darah yang masih jelas kelihatan selepas insiden terlanggar bangkai anjing.

"Kami tak sedap hati, lalu putuskan nak cari car wash. Masa tu banyak dah tutup sebab malam. Akhirnya jumpa satu car wash dekat sebuah pasar raya di Seberang Jaya.

"Tukang cuci tu pun tanya kami langgar apa? Terpaksa beritahu dia yang kami langgar bangkai haiwan. Kami minta dia 'tembak' air dekat bawah kereta. Selepas selesai cuci, kami bergerak ke kawasan parkir pasar raya yang lebih cerah untuk periksa semula.

"Kami suluh dengan bantuan lampu telefon bimbit juga. Masa tu nampak ada lagi kesan darah sikit-sikit. Nak dijadikan cerita, masa terbongkok-bongkok jenguk bawah kereta, masa itulah saya nampai kain putih terjuntai.

"Suami tarik dan tarik, makin lama makin panjang. Kain tu macam kain yang hospital guna untuk balut luka. Ia terbelit di 'driveshaft'. Mujur ada gunting tapi sukar juga sebab ia ketat sebab terbelit," ujar wanita berusia 36 tahun ini.

Menurut Nur Dini, kain tersebut terpaksa dipotong sedikit demi sedikit dan dia menganggarkan ia berukuran hampir dua meter panjang.

Ke sana sini guna kereta tu tapi tak sedar ada bahaya. Mungkin kejadian langgar bangkai haiwan tu adalah asbab untuk Allah tunjukkan sesuatu.

NUR DINI SAIYA

Tambahnya, dia sendiri tidak pasti bagaimana kain tersebut terlilit di bahagian 'driveshaft' kereta yang sering digunakan untuk berulang alik ke tempat kerja.

"Sepanjang malam tu kami berfikir pasal kain tu. Suami kata, kalau tak tanggalkan, memang boleh akibatkan kemalangan. Biasalah, perempuan bukan tahu sangat bab ini. Lagi pula, waktu untuk servis masih belum tiba masanya.

"Bila suami cakap macam tu, berderau juga saya. Ke sana sini guna kereta tu tapi tak sedar ada bahaya. Mungkin kejadian langgar bangkai haiwan tu adalah asbab untuk Allah tunjukkan sesuatu.

"Kalau tidak, memang saya sendiri tak tahu ada kain yang terbelit dekat bawah kereta," ujarnya yang merupakan seorang penjawat awam.

komen aneh

Antara komen netizen terhadap perkongsian Nur Dini di TikTok.

Sekadar memuat naik video di TikTok sebagai peringatan bersama, Nur Dini tidak menyangka perkongsiannya mengundang perhatian ramai malah mencecah hingga 1.5 juta jumlah tontonan.

"Niat saya hanya nak sampaikan supaya pemandu lebih peka dengan kereta masing-masing. Selalulah buat pemeriksaan.

"Tapi ada pula yang fikir kami langgar mayatlah, pocong la hanya disebabkan kain putih tu. Sebenarnya tiada yang mistik pun. Namun ada juga netizen yang faham apa yang saya nak sampaikan.

"Sepanjang 21 tahun memandu, inilah pengalaman yang tak dapat dilupakan. Memang trauma juga lebih-lebih lagi ketika ini saya sedang berbadan dua.

"Jadi kepada pemandu semua, pastikan anda periksa dahulu kenderaan masing-masing. Saya bersyukur kerana Allah lindungi kami dari perkara yang tidak diingini," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain