suria

Mangsa sanggup redah banjir balik rumah demi beri kucing makan, terkejut tengok pemandangan Taman Sri Muda selepas terbangkan dron

Heri sanggup meredah banjir pada hari ketiga demi memeriksa keadaan dua ekor kucing peliharaannya. (Foto: Instagram Nazahery)

KISAH mengenai derita yang dilalui mangsa-mangsa banjir ternyata menjentik emosi kita semua.

Tidak terkecuali tentunya jurutera ini yang turut terperangkap dalam kenderaan bersama isterinya yang sarat hamil lapan bulan, Sabtu lalu.

Menurut Nazarizal Mohammad, 42, dia dan isterinya keluar makan-makan pada hari tersebut sebelum terperangkap di jalan raya ekoran paras air yang naik secara mendadak.

ARTIKEL BERKAITAN: Instagram kongsi gambar KLCC dirakam anak Malaysia, berbaloi jurutera ini keluar subuh angkut dron! - “Hadiah awal hari jadi saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Mesra, rasa dekat macam keluarga... mangsa banjir di Hulu Langat terharu anak menantu PM luangkan masa bersihkan rumah

Gagal menemui jalan pulang, pasangan itu akhirnya tersadai di sebuah stesen minyak di Kota Kemuning, Shah Alam, sehingga keesokan harinya.

"Sebelum banjir bermula, saya dan isteri keluar makan di Seksyen 15. Lepas makan, masa nak balik kami perasan banjir dah naik.

"Kami terperangkap, tak boleh balik ke rumah. Akhirnya kami tidur di kawasan stesen minyak bersama mangsa-mangsa lain yang terperangkap dalam kenderaan masing-masing.

"Nak cari hotel, semua dah tutup. Semalaman kami tidur di situ," ujarnya ketika dihubungi mStar.

heri1

Heri merupakan salah seorang penduduk yang terjejas ekoran banjir di Taman Sri Muda.

Mesra disapa Heri, dia yang menetap di sebuah apartmen di Seksyen 25, Taman Sri Muda mendedahkan kediamannya di tingkat tujuh tidak terkesan dek banjir yang melanda.

Namun, dia dan isteri kini tinggal di rumah ahli keluarga yang lain memandangkan bekalan air dan elektrik masih terputus di kawasan kediamannya.

Tengok dari atas, macam kena tsunami pun ada. Tempat-tempat tersorok yang kena banjir pun boleh nampak.

HERI

"Rumah kami tingkat tujuh, tiada apa-apa. Cuma ketika banjir, air nak tinggi sehingga tenggelam motor dan kereta kami. Buat masa ini kami menetap di rumah abang ipar.

"Pada hari ketiga banjir, saya cuba redah balik ke rumah sebab ada dua ekor kucing. Dah tiga hari tak makan. Jadi saya balik bagi makan kepada kucing-kucing.

"Air dah surut di kawasan itu, cuma elektrik dan air belum ada. Mungkin lagi dua atau tiga hari, saya akan hantar kereta ke bengkel pula," ujarnya lagi.

heri3

Rakaman dron ketika banjir melanda Taman Sri Muda. (Foto: Instagram Nazahery)

Dalam pada itu, Heri turut mengambil peluang menerbangkan dron miliknya di sekitar Taman Sri Muda ketika banjir sedang melanda.

Heri turut berkongsi rakaman video dan foto menerusi laman Instagram miliknya yang memaparkan suasana banjir dari pandangan udara.

"Saya terbangkan dron ketika hari ketiga banjir. Selepas bagi makan kucing, saya cari tempat lapang dan terbangkan dron.

heri5

Antara hasil rakaman dron jurutera itu. (Foto: Instagram Nazahery)

"Pandangan biasa dari bawah dan pandangan dari atas cukup berbeza. Bila tengok dari atas, kawasan kami nampak sangat teruk.

"Tengok dari atas, macam kena tsunami pun ada. Tempat-tempat tersorok yang kena banjir pun boleh nampak. Begitu luas kawasan yang terkesan dengan banjir," ujarnya lagi.

Untuk rekod, Heri sebelum ini pernah mendapat liputan mStar apabila foto ikonik Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dirakam olehnya dikongsi oleh pihak Instagram.

Foto KLCC yang dirakam pada 2019 itu dikongsi oleh Instagram menerusi laman sosial rasmi mereka pada Februari tahun ini.

Members of the Fire Rescue Department evacuating residents by boat in Taman Sri Muda, Shah Alam. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

Taman Sri Muda antara yang paling teruk terjejas ketika banjir pada minggu lalu. (Foto: RAJA FAISAL HISHAN/The Star)

Dalam temubual sama, Heri sempat menitipkan pesan kepada mana-mana pemilik dron agar tidak menyalahgunakan teknologi berkenaan.

Ujar Heri, kewujudan dron boleh membantu dalam urusan pemantauan banjir dan pada masa sama berupaya mengesan mangsa-mangsa yang masih terperangkap.

Malah, dia turut berpesan agar dron tidak diterbangkan di kawasan-kawasan tingkap kediaman misalnya bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan privasi.

“Saya risau sekiranya orang fikir aktiviti menerbangkan dron dianggap tak menjaga sensitiviti ketika banjir melanda.

“Jangan salah guna dron. Ia boleh diguna untuk tengok keadaan dan pantau orang yang terkandas,” ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain