suria

Hilang semangat selepas mak tiada, wanita mangsa body shaming kongsi inspirasi bersama geng plus size... pernah sakit hati sampai lapor polis!

Kak Wan mahu memberi inspirasi kepada golongan plus size di luar sana.

MENGUMPUL pengalaman kira-kira 10 tahun dalam bidang perhotelan, kerjaya wanita ini akhirnya menemui titik noktah pada pertengahan tahun lalu.

Bukan kerana pandemik Covid-19, namun Wan Rafidah Wan Azali, 32, memilih untuk meninggalkan ibu negara dan pulang ke kampung di Sungai Petani, Kedah untuk berbakti kepada keluarga.

Dia bagaimanapun berhadapan ujian perit apabila ibunya, Che Su Chik meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada November 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Wow, yakinnya kamu! Model plus size hanya fikir sayang diri sendiri, dah tak peduli pasal body shaming - “Terpulanglah kepada mulut mereka”

ARTIKEL BERKAITAN: “The real gajah duduk...” - Gurauan annoying buat air mata gadis ini menitis... tapi prinsipnya sekarang ‘pedulikan apa orang cakap!’

"Saya bekerja dalam bidang perhotelan selama 10 tahun. Saya berhenti kerja untuk mak. Mak kena jangkitan kuman, tapi tak pasti puncanya dari mana.

"Jadi saya tinggalkan Kuala Lumpur dan memilih untuk pulang ke kampung. Saya bersyukur dapat balik jaga mak. Namun pada Oktober, mak meninggal dunia.

"Buat masa ini, saya buat bisnes di kampung. Saya meneruskan perniagaan kedai runcit kecil-kecilan yang diusahakan keluarga," ujarnya yang mesra disapa Kak Wan.

Menurut wanita itu, dia turut menjadikan media sosial sebagai penawar duka untuk mencari semangat baharu selepas kehilangan ibunya pada tahun lalu.

Pada Mac tahun ini, dia akhirnya membuat keputusan untuk menyertai aplikasi TikTok sehingga meraih lebih 20,000 pengikut.

Di platform itu, Kak Wan juga banyak membuat perkongsian video khususnya berkaitan isu keyakinan diri untuk mereka yang memiliki masalah berat badan.

wan2

Foto kenangan bersama ibu tercinta.

"Ketika kematian ibu, saya rasa down. Saya fikir, saya tak boleh sendirian. Jadi saya buat TikTok dan cuba kongsi info bermanfaat. Sekurang-kurangnya dapat bersembang dengan orang dan cari kawan baharu.

"Saya buat random content. Tapi saya suka mekap. Disebabkan saya plus size, saya juga tumpukan mengenai fesyen. Setiap kali buat video dan siaran live, saya akan kongsi maklumat. Mana nak beli baju dan sebagainya," ujarnya.

Di sebalik sambutan positif yang diterima, Kak Wan juga tak terlepas menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual sehingga dia terpaksa membuat laporan polis pada Oktober lalu.

Saya faham macam mana perasaan mereka yang plus size. Paling penting, kita kena sayang diri sendiri.

KAK WAN

"Masa awal-awal dulu, tiada kecaman. Tapi bila lama-lama, makin ramai yang kecam dan buat body shaming. Saya jadi sakit hati.

"Saya juga terpaksa buat laporan polis. Ada individu yang guna gambar muka saya, dia lukis benda lucah dan dia buat akaun palsu untuk kacau orang.

"Memang saya rasa terkilan, kecewa dan sedih. Saya buat live sebab nak kongsi pengalaman. Tapi begini pula yang terjadi," ujarnya.

Menurut Kak Wan, dia mahu menggunakan platform itu sebaiknya dan cuba meniup roh positif untuk memberi inspirasi kepada individu di luar sana.

wan3

Kak Wan memiliki lebih 20,000 pengikut di TikTok.

"Kita manusia biasa, sudah tentu rasa sedih. Tapi saya cuba ambil pendekatan positif. Terima kasih kepada sesiapa yang beri sokongan. Walau tak kenal, mereka tetap sokong saya.

"Mereka beri saya semangat untuk buat content bagi individu plus size, saya faham macam mana perasaan mereka yang plus size. Paling penting, kita kena sayang diri sendiri.

"Jangan sesekali kita hina dan pandang rendah diri sendiri. Masa kita susah, bukan mereka bantu, jadi kenapa kita perlu dengar pendapat orang toksik?

"Pakai apa saja yang kita suka, yang penting bersesuaian. Tak semestinya kita plus size, kita tak boleh bergaul dengan orang," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain