suria

“Mereka perlukan barang yang kita tak terfikir” - Sukarelawan tak hirau mandi lumpur, sayu lihat wajah mangsa banjir bagai hilang rasa sedih

Antara kediaman yang dipenuhi dengan lumpur banjir.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah gambaran mengenai nasib pilu mangsa-mangsa banjir apabila mereka kehilangan harta benda akibat bencana yang melanda.

Di sebalik ujian getir itu, sikap prihatin rakyat Malaysia dizahirkan menerusi sokongan serta bantuan yang tidak putus-putus disumbangkan buat mereka yang terkesan.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah tak nampak bumbung, kedai total lost... wanita ini sebak 1,000 tudung tenggelam dalam banjir, plan jual RM4 sehelai walau tak balik modal

ARTIKEL BERKAITAN: Pilu lihat nasib mangsa banjir, mak usia 70 tahun gigih susun sumbangan pakaian... kasihan ibu siap takut, malu bila ramai sokong jadi wakil rakyat

Tidak terkecuali tentunya seorang sukarelawan, Mohammad Firdaus Mohammad Isa, 23, yang turut mengikuti misi bantuan di negeri Selangor dan Pahang, sejak minggu lalu.

Rakaman memaparkan pemuda itu bersama rakan-rakannya yang bernaung di bawah syarikat MTM Consultancy sedang membersihkan lumpur turut menarik perhatian netizen sehingga meraih lebih 300,000 tontonan.

Bercerita kepada mStar, dia yang senang disapa Firdaus memaklumkan rakaman tersebut dibuat ketika mereka sedang membersihkan salah sebuah rumah mangsa banjir di Karak, Pahang, Selasa lalu.

"Pada waktu itu, kami sembilan orang menaiki tiga buah kereta untuk memberikan bantuan di Karak. Kalau nak digambarkan, setiap rumah sebenarnya ada ujian berbeza-beza.

"Ada rumah yang berdekatan dengan sungai, ia bukan sahaja ditenggelami lumpur, malah penuh dengan batu sungai. Situasi yang sangat menyedihkan. Kami dah biasa dengan lumpur, tapi kali ini agak mencabar kerana ia tebal.

firdaus4

Firdaus (kiri) bersama rakan sekerjanya merancang untuk memperluas misi banjir ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

"Lumpur pun dah keras, memang makan tenaga. Di bahagian dapur rumah, kami juga melalui cabaran untuk mengeluarkan pinggan mangkuk yang berada dalam lumpur," ujarnya ketika dihubungi.

Selain kerahan tenaga, Firdaus turut mengakui hatinya terusik apabila melihat wajah-wajah mangsa banjir yang seolah-olah tenang biarpun baru sahaja dibadai ujian besar.

"Bila kami sampai, tuan rumah tak nampak muka sedih. Mungkin mereka dah bersedih pada hari pertama dan kedua. Bila di sana, kami juga ada bertanya kepada mangsa-mangsa.

"Ada yang pertama kali dilanda banjir. Ujian mereka sangat besar. Ada rumah yang kami pergi, ia hanya didiami pasangan warga emas dan seorang anak saja.

Ini sebenarnya bukan ujian untuk mereka semata-mata. Ini juga ujian untuk saya dan kita semua.

FIRDAUS

"Saya tak tahu bagaimana si anak sendirian membersihkan rumah. Kami buat sembilan orang pun tak dapat nak gambarkan rasa penat yang dihadapi," ujarnya.

Menurut Firdaus yang menetap di ibu negara, dia dan rakan-rakannya tidak memberikan bantuan sebarangan, sebaliknya akan bertanya terlebih dahulu mengenai keperluan mereka.

"Kami akan datang survey, kemudian baru datang lagi sekali untuk bagi bantuan. Kami juga tak hantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebaliknya terus ke rumah mangsa.

firdaus1

Selain Selangor, Firdaus dan rakan-rakan turut turun padang ke negeri Pahang.

"Ada rumah yang tiada tempat memasak. Jadi kalau kami hantar makanan yang perlu dimasak, ia sudah tentu akan merumitkan mereka.

"Bila kami tanya, mereka memerlukan barangan yang kita tak terfikir. Contohnya makanan kucing. Jadi, memang kami akan tanya tuan rumah terlebih dahulu apa barang yang mereka perlukan," ujarnya lagi.

Selain Karak, Firdaus dan rakan sekerjanya turut mengerah tenaga membantu mangsa banjir di Shah Alam dan Hulu Langat, Selangor.

Tambah Firdaus, kumpulan itu juga merancang untuk memperluas misi bantuan ke bahagian negeri-negeri lain dalam masa terdekat.

firdaus2

Bergambar kenang-kenangan selepas membersihkan kediaman salah seorang mangsa banjir, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Firdaus turut terharu apabila video misi bantuan yang dikongsi ke TikTok miliknya tular dan meraih perhatian ramai.

"Saya sebelum ini tak aktif di TikTok, cuma terdetik nak kongsi pengalaman kami pergi membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

"Kami sekadar nak tontonkan situasi itu kepada umum. Alhamdulillah, terima kasih atas doa semua. Ada juga yang tegur kerana kami tak pakai sarung tangan ketika membersihkan lumpur. Kami ambil teguran itu untuk tambah baik misi ini.

"Satu pesanan saya kepada semua mangsa banjir, ini sebenarnya bukan ujian untuk mereka semata-mata. Ini juga ujian untuk saya dan kita semua.

"Adakah kita sekadar nak mencari salah dan punca? Atau kita nak bantu mereka-mereka yang terkesan? Jadi saya anggap ia sebagai ujian untuk saya juga," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain