suria

Video tular penumpang menari kena ‘tegur’, pemandu bas buka mulut kongsi kisah sebenar - “Jangan celupar kalau tak tahu cerita”

Video tular memaparkan seorang penumpang menari dan meracau di dalam bas ketika melalui kawasan Gua Tempurung, Perak.

"KEPADA mereka khususnya netizen, jangan bermulut celupar atau komen yang bukan-bukan kalau tak tahu cerita!"

Demikian tegas seorang pemandu bas susulan video memaparkan seorang penumpang sedang meracau, menjadi tular di media sosial pada Ahad.

Hanya mahu dikenali sebagai Helmi, lelaki berkenaan berkata dia kecewa apabila membaca komen warganet yang seolah-olah tidak sensitif dan umpama mempermainkan insiden demikian.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ada orang dengki dekat mu!” - Setengah tahun adik meracau, rupa-rupanya ada orang tanam patung hitam dekat rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Tanggung derita 12 tahun akibat ‘gabungan sihir dan gangguan jin’! Kaki wanita bernanah, badan rasa terbakar jika terkena hujan

"Ada yang komen macam-macam kononnya penumpang itu sedang khayal, mabuk ketum dan sebagainya.... saya pun jadi panas hati apabila membaca," ujarnya.

Mengimbas kembali insiden pada awal pagi Sabtu itu, Helmi berkata ia berlaku ketika dia sedang bertugas memandu bas ekspres dalam perjalanan ke arah utara.

"Penumpang itu berdua dengan ibunya naik bas yang saya pandu. Waktu sedang memandu, saya dengar mak dia jerit dan ajarnya mengucap. Ketika itu jam menunjukkan pukul 1.20 pagi dan betul-betul lalu Gua Tempurung, Perak iaitu KM317 arah utara.

"Waktu kena 'tegur', dia menari. Saya teruskan pemanduan ke hentian R&R terdekat iaitu Simpang Pulai. Sepanjang perjalanan sebelum sampai R&R, dia menari. Saya pasangkan ayat ruqyah dan ayat suci al-Quran.

"Dia menari di tempat duduknya sahaja. Bila sampai, kami bantu pulihkannya. Alhamdulillah, dia sedar 15 minit kemudian. Kami tanya apa yang berlaku, dia jawab ternampak sesuatu.

ACCIDENT

Salah satu nahas ngeri yang berlaku berhampiran Gua Tempurung. Foto: Bernama

"Tapi semuanya dah selesai. Penumpang itu pun dalam keadaan yang baik saja selepas itu," ujar lelaki pertengahan usia 30-an ini.

Berkongsi lebih lanjut, Helmi berkata insiden sedemikian bukanlah yang pertama dialaminya sepanjang 12 tahun berkhidmat sebagai pemandu bas ekspres.

"Ini kejadian kedua penumpang kena 'tegur' sewaktu saya bertugas. Kejadian pertama berlaku beberapa tahun lepas.

Kalau lalu kawasan panas, minta hati-hati. Nampak apa-apa aneh, jangan tegur.

HELMI

"Sebenarnya kami pemandu lori dan bas memang faham dah selok belok laluan lebuh raya. Laluan di Gua Tempurung ni memang salah satu di antaranya kerana kerap terjadi kemalangan maut.

"Memang biasalah juga nampak budak melintas dan perempuan melintas jalan awal pagi. Jadi apabila berlaku perkara macam ini, insyaAllah apa yang kita belajar, kita cubalah handle," ujarnya.

Tambahnya lagi, dia sendiri terkejut apabila video berkenaan menjadi tular di media sosial dan hanya mengetahuinya melalui rakan.

KOMEN RACAU

Antara komen-komen netizen pada perkongsian video tular itu.

"Saya kongsi video tu dekat grup WhatsApp pemandu-pemandu bas untuk tujuan peringatan dan mahu mereka hati-hati. Tapi tiba-tiba jadi viral dan memang saya terkejut.

"Memandangkan video dah viral, saya cuma harapkan ia boleh dijadikan sebagai peringatan kita bersama. Kalau lalu kawasan panas, minta hati-hati. Nampak apa-apa aneh, jangan tegur.

"Kepada netizen atau keyboard warrior yang bermulut celupar, kalau tak tau cerita, jangan komen. Kasihan kepada penumpang tu. Yang komen ni mungkin belum kena sebab mereka tak berada di atas jalan raya selalu. Jadi jangan bermulut celupar," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!