suria

Selepas 10 tahun gigih besarkan 6 anak, bapa tunggal OKU sebak dapat miliki motor idaman - “Kami bangga, tapi ayah tak nak kami malu”

Khusaimi dan adik beradiknya berpakat membuat kejutan untuk bapa mereka yang sudah lama mengidam mahu memiliki motosikal elektrik.

SETIAP anak pasti mempunyai impian untuk menghadiahkan sesuatu kepada ibu bapa masing-masing sebagai tanda membalas jasa.

Tidak terkecuali bagi pemuda ini dan adik beradiknya yang berpakat untuk menghadiahkan bapa mereka dengan sesuatu yang sudah lama diidamkannya.

Justeru sempena hari lahir insan tersayang, mereka sepakat untuk membuat kejutan dengan menghadiahkannya sebuah motosikal elektrik roda tiga bagi memudahkan pergerakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Insiden Proton Saga meragam jadi asbab... bapa menangis nampak kereta baru masuk halaman, kelu bila tahu kejutan dikirim ‘anak yang jauh’

ARTIKEL BERKAITAN: Birthday anak, tapi bapa dapat hadiah! Suri rumah tak sangka mampu hadiahkan kereta Honda walau tak sampai setahun jual ubat kurus

Berkongsi cerita dengam mStar, Khusaimi Ahmad berkata bapanya, Ahmad Jafar, 68, merupakan individu yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mempunyai kecacatan pada bahagian kaki.

"Sebenarnya hari lahir ayah jatuh pada tanggal 28 Oktober. Ketika itu kami hanya buat makan-makan saja sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Ayah dah lama beritahu teringin nak beli motosikal elektrik tapi ketika itu bajet masih tak cukup.

"Jadi kami adik beradik seramai enam orang berpakat untuk membelikan sebuah motosikal elektrik dan buat kejutan pada Disember lalu. Abang saya yang nombor lima yang sponsor, manakala kami yang lain 'tong-tong' untuk hadiah sampingan dan makan-makan.

"Ayah memang tak tahu kami nak buat kejutan sebab dah lepas tarikh birthday dia... dia ingat saja buat makan ramai-ramai. Reaksi mukannya bila dapat kejutan tu sebak campur gembira sebab dapat apa yang diidamkan," ujar pemuda berusia 25 tahun ini.

MOTOR 3

Motosikal elektrik roda tiga dihadiahkan oleh adik beradik Khus bagi memudahkan pergerakan bapa mereka.

Senang disapa sebagai Khus, pemuda ini berkata hadiah berkenaan sebenarnya tidak setanding dengan jasa bapa mereka yang bukan sahaja mencari rezeki untuk menyara keluarga, bahkan memikul tanggungjawab membesarkan mereka enam beradik selepas pemergian arwah ibu.

"Arwah ibu meninggal dunia pada 2011 kerana ketumbuhan dalam perut. Sejak ibu tiada, dialah yang jadi ibu dan juga ayah pada masa yang sama. Ayah kerja sebagai seorang posmen untuk menyara kami.

"Ayah kuat meskipun kakinya ada masalah yang menyebabkan sukar untuk berjalan. Dia memerlukan kerusi roda atau tongkat untuk bergerak.

Arwah ibu meninggal dunia pada 2011 kerana ketumbuhan dalam perut. Sejak ibu tiada, dialah yang jadi ibu dan juga ayah pada masa yang sama.

KHUSAIMI AHMAD

"Dulu dia kuat sikit, masih boleh bawa kereta, boleh sembahyang berdiri. Namun lepas pencen ketika usia 50 tahun, dia tak kuat dah," ujar mekanik yang berasal dari Bukit Metajam, Pulau Pinang ini.

Tidak menyangka perkongsiannya di aplikasi TikTok menjadi tular, Khus berkata dia sekadar ingin berkongsi salah satu momen indah di media sosial.

"Ayah saya seorang bapa tunggal. OKU pula namun dialah yang menyara kami. Saya buat video untuk simpan kenangan dan dalam masa yang sama nak kongsi cerita mengenai ayah.

MOTOR 2

Khusaimi dan adik beradiknya langsung tidak malu dengan status OKU bapa mereka.

"Kami tak segan ayah seorang OKU tapi sebaliknya ayah yang segan, dia tak nak kami malu. Sedangkan kami bangga tunjukkan inilah ayah, kami respect ayah sebab dia kuat. Buat apa nak malu, dia satu-satunya ayah dan tiada galang ganti.

"Ramai juga yang sedih bila tengok video tu sebab terkenang bapa masing-masing yang sudah pergi. Saya pula sedih bila baca komen-komen. Yang penting, jangan lupa doakan ibu atau bapa masing-masing yang sudah berada 'di sana'," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain