suria

Suka berebut barang, Ibu serik nak tinggalkan 2 beradik sendirian! Leka sedikit, gunting besar nyaris ‘makan’ jari anak

Jari Muhammad Khalief Afeef tercedera terkena gunting.

PERMULAAN tahun baharu yang cukup mendebarkan bagi seorang ibu apabila anak bongsunya hampir kehilangan jari kelingking akibat terkena gunting.

Berkongsi kisah di media sosial, Fyna Yusuf, 35, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8 malam, ketika dia baru sahaja pulang ke rumah selepas habis kerja pada 1 Januari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Biru, nafas dia laju” - Ibu kongsi detik pahit seluruh ahli keluarga termasuk bayi usia 21 hari dijangkiti Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami datang dia tolak” - Doktor kongsi tentang Vaginismus, 8 tahun kahwin tapi tak pernah 'bersama'

Katanya, ketika melangkah masuk ke bilik, dia ternampak dua anaknya, Muhammad Khalish Amsyar Mohammad Adam, dua tahun, dan Muhammad Khalief Afeef Mohammad Adam yang berusia satu tahun sedang bermain dalam bilik.

"Saya panggil kakak dia, umur 16 tahun yang tengah tengok TV dekat ruang depan supaya ambil adik-adik. Biasa memang kakaknya akan bergegas sebab hari-hari saya memang pesan jangan biar dua adik bersendirian sebab mereka masih kecil dan perlukan 100 peratus perhatian.

"Tapi nak dijadikan cerita, si kakak lewat sikit je masuk bilik, saya pun tak sempat mandi tiba-tiba dengar adik menjerit menangis. Saya pelik sebab tak dengar bunyi jatuh pun, saya keluar tengok, masa tu Allah sahaja yang tahu," katanya, yang mempunyai perniagaannya sendiri dan menetap di Tapah, Perak.

Menurut ibu kepada lima cahaya mata ini, ketika itu apa yang dapat dilihat hanyalah darah anaknya yang sudah memenuhi ruang karpet dan lantai bilik.

"Tangan dia berlumuran darah, mengucap panjang saya tak henti-henti. Rupanya Amsyar pegang gunting besar yang saya guna siang tadi untuk gunting tudung, saya gantung dekat rak tinggi, tak tahu pula dia boleh panjat kerusi untuk ambil.

"Saya rasa si abang pegang gunting, si adik berebut jadi terluka tangan si adik, sebab memang mereka berdua memang suka berebut tak kira apa barang pun.

"Masa tu saya jerit pada si kakak ambil kain dan air sejuk sebab nak hentikan pendarahan. Masa tu memang tak fikir apa dah, rasa nak pitam semua ada sebab tak nampak lagi luka bahagian mana, darah non stop keluar," katanya.



Amsyar dan Afeef sering berebut barang.

Katanya, jari anaknya itu terbelah pada kedalaman hampir separuh sehingga menampakkan isi.

"Luka pun ternganga jadi saya terus bergegas siap dan bawa dia ke Hospital Tapah. Sampai hospital daftar dan tunggu beberapa minit, masa tu memang tak berhenti-henti doa harap tak ada apa yang serius, harap tak kena jahit tapi sekali doktor buka luka, tarik sikit jari tu, Allah dah nampak isi dekat dalam tu terbonjol-bonjol nak terkeluar, ngilu rasa.

"Doktor maklumkan memang tak boleh gam sebab luka teruk sampai ke dalam, nasib tak terkulai, kalau tak mau putus jari, jadi kena la tiga jahitan dekat tempat luka," katanya.



Fyna bersama anak-anaknya.

Katanya, dia bagaimanapun bersyukur anaknya itu langsung tidak menangis sewaktu dibius dan ketika jarinya itu dijahit semula.

"Memang dari awal kelahiran dia memang seorang yang tahan sakit berbanding abang dia yang seorang lagi.

"Tapi ini semua pengajaran buat saya, lepas ni tak boleh nak lepas pandang perkara macam ni, walaupun saya dah letak dekat tempat tinggi, benda nak jadi kita tak sangka. Saya kongsi kisah anak saya ni supaya orang lain termasuk diri saya sendiri lebih peka bila ada anak-anak yang sedang membesar.

"Nasib la kena jari je, Allah masih lindungi anak-anak saya, kalau tertusuk perut ke apa, tak tahu la macam mana saya nak hadap, jadi ini pengajaran sangat buat saya di hari pertama 2022 ini," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain