suria

Pamer koleksi jam, topi di luar rumah... ‘individu misteri’ tiba-tiba muncul depan pintu dah jadi perkara biasa

Foto kanan Zul (kanan) dan bapanya bersama koleksi jam dinding dan topi, kiri kereta yang dinaiki seorang lelaki yang menghadiahkan dua jam dinding.

MACAM-macam cara dilakukan untuk menghias dinding rumah supaya kelihatan lebih cantik dan menarik.

Seperti dua beranak ini, puluhan jam dinding digantung memenuhi segenap ruang.

Apa yang lebih menarik apabila dinding yang turut digantung sejumlah koleksi topi itu bukan dilakukan di dalam rumah, sebaliknya di bahagian luar kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Misi ambil keladi gergasi idaman mak di hutan paya nyaris gagal walau dah buat persediaan rapi, mujur ada Myvi!

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dedah bagaimana dirinya tiba-tiba boleh ada dalam mall... tebal muka, berselipar pulang angkut guni - "Mungkin ada yang ingat saya pengemis"

Bercakap kepada mStar, Muhd Zulhaiqal Zainuddin berkata, kesemua koleksi jam dinding dan topi itu digantung di dinding luar rumah keluarganya di Kulim, Kedah.

Pemuda berusia 19 tahun itu memberitahu, ia merupakan hobi bapanya, Zainuddin Abu Bakar yang suka mengumpul jam dinding dan topi bermula di tempat kerja, kira-kira dua tahun lalu.

"Di tempat kerja ayah ada satu stor untuk penyimpanan barang dan di situ juga orang awam boleh meletakkan barang untuk dikitar semula.

"Mana-mana jam atau topi yang masih elok, ayah hiasi dinding stor. Bila dah penuh dinding, ayah bawa balik selebihnya untuk hias dinding rumah pula supaya nampak unik," katanya ketika dihubungi.

kumpul jam 3

Koleksi jam dan topi menghiasi dinding luar rumah.

Lebih mesra disapa Zul, katanya, setakat ini terdapat lebih 50 jam dinding yang dikumpul daripada milik sendiri, barangan kitar semula, terpakai dan pemberian orang lain.

"Jam yang dah rosak, tak boleh digunakan pun ayah kumpul selagi masih elok untuk dijadikan hiasan dinding. Selain itu, koleksi topi pun lebih 50 buah.

"Memang saja ayah gantung semua jam dan topi di dinding luar rumah. Kebetulan hadapan rumah kami jadi laluan utama penduduk setempat, jadi ada yang perasan hiasan dinding ni.

"Alhamdulillah, setakat ini koleksi jam dinding dan topi tak hilang atau dicuri," ujarnya sambil menambah bapanya merupakan penjawat awam berusia 51 tahun.

kumpul jam 4

Bapa Zul bersama jam dinding yang mempunyai nilai sentimental.

Menurut anak ketiga daripada empat beradik itu, jam dinding yang paling disukai bapanya yang dikenali sebagai Pak Din Tok Siak adalah jam 'Salem' berwarna hijau.

"Jam tu ada nilai sentimental bagi ayah, mengingatkannya pada zaman muda era 70an hingga 80an," katanya yang turut memberitahu kebanyakan jam masih berfungsi dengan baik.

Zul berkata, tugas untuk membersihkan kesemua jam dinding dan topi daripada habuk dan kotoran debu itu dilakukannya bersama bapa secara bergilir.

kumpul jam 2

Dua jam dinding pemberian seorang lelaki India berusia 50an.

Dalam pada itu, dia yang bekerja di kedai makan turut berkongsi kisah beberapa individu bermurah hati menyumbangkan jam bagi melengkapkan koleksi di dinding rumahnya.

"Minggu lepas ada seorang uncle India yang tidak dikenali menaiki sebuah kereta, tiba-tiba berhenti di depan pintu pagar rumah. Usianya dalam lingkungan 50an.

Mungkin mereka sering lalu jalan di hadapan rumah saya dan ternampak koleksi jam penuh dinding di luar rumah. Setiap pemberian mereka menaikkan semangat ayah untuk terus menjadikannya sebagai hobi

MUHD ZULHAIQAL ZAINUDDIN

"Secara kebetulan, saya di luar rumah sedang tunggu penghantaran parcel. Saya ingatkan parcel, rupa-rupanya uncle tu datang nak serahkan dua buah jam dinding.

"Dia kata 'Nah, ambil jam ni untuk gantung kat dinding'. Dia tak cakap banyak dan saya cuma sempat ucap terima kasih sebelum uncle tu masuk ke kereta dan beredar," katanya.

kumpul jam 5

Zul memegang antara koleksi jam dinding dan topi milik bapanya.

Mengimbas semula pertemuan terlalu singkat kurang lima minit itu, kata Zul, ia bukanlah kejadian pertama rumah mereka didatangi orang perseorangan untuk menghadiahkan jam.

"Lebih 10 jam dinding diberi orang lain, daripada jiran-jiran. Ini termasuk individu yang tidak dikenali seperti uncle India tu, saya tak kenal siapa mereka dan tak pernah nampak sebelum ini.

"Mungkin mereka sering lalu jalan di hadapan rumah saya dan ternampak koleksi jam penuh dinding di luar rumah. Setiap pemberian mereka menaikkan semangat ayah untuk terus menjadikannya sebagai hobi, terima kasih kepada semua pemberi," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain