suria

Pengantin veteran saling tak mengenali, bersatu di pelamin bagai pinang dibelah dua - “Mulanya segan nak nikah usia tua”

Saling tak mengenali, siapa sangka pasangan ini bertemu jodoh pada usia 60an.

KALAU sudah jodoh, usia bukanlah penghalang.

Begitu juga halnya dengan pasangan pengantin ini yang bertemu jodoh pada usia 60-an.

Walaupun usia masing-masing sudah melebihi separuh abad, namun pasangan ini tak ubah seperti pengantin muda yang kelihatan bagai pinang dibelah dua.

ARTIKEL BERKAITAN: “Boleh tak solek pengantin berusia?” - Dapat job klien usia 60an, jurusolek buat magik beri ‘look’ 30an... sempat korek rahsia kulit tak kedut

ARTIKEL BERKAITAN: Untung anak Top MUA... Sehari je plan, ayah garang berubah saat tengok mak cantik disolek sempena anniversary ke-53 - “Semua terkejut, posing gambar ayah buat sendiri”

Jika melihat pada video yang dikongsikan di laman sosial, pasangan pengantin veteran ini kelihatan serasi malah 'sporting' memberikan 'pose' yang santai dan romantis.

Namun siapa sangka, mereka sebenarnya tidak pernah mengenali antara satu sama lain sehinggalah empat bulan sebelum diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri.

Berkongsi cerita dengan mStar, Rohayah Abdullah, 62, berkata segala persiapan perkahwinannya dengan suami, Abdul Rahim Mohd Nor, 61, diuruskan olah anak-anak, menantu bersama adik ipar.

"Saya memang tak ambil tahu atau buat apa-apa pun sebab saya busy kerja sebelum majlis. Dari A hingga Z mereka yang uruskan. Bab katering, jurusolek, jurufoto, venue, persalinan, hantaran... semuanyalah.

"Saya tinggal bawa diri saja sebab mereka dah uruskan semua," ujar wanita yang berasal dari Kampung Gajah, Perak Tengah ini.

Menurut Rohayah, majlis pernikahannya dilangsungkan pada 20 Disember lalu di sebuah homestay, juga di Kampung Gajah, dengan dihadiri saudara mara serta kenalan kedua-dua belah pihak.

pengantin 1

Rohayah sudah 18 tahun menjalani hidup sebagai ibu tunggal sebelum hatinya terbuka menerima pengganti.

Menyentuh soal perkenalannya dengan suami yang merupakan seorang bekas pendidik, Rohayah berkata mereka bukanlah rakan lama atau mempunyai pertalian keluarga, sebaliknya tidak mengenali antara satu sama lain.

"Saya sendiri tak tahu nak cerita perkenalan kami macam mana... apa yang boleh saya katakan, kami tak kenal satu sama lain. Sebaliknya anak-anaklah yang yakinkan untuk terima calon bapa tiri baru mereka.

"Sebenarnya saya dah 18 tahun bergelar ibu tunggal selepas arwah suami meninggal dunia. Sebelum ni bukan tak ada orang nak masuk meminang, tapi saya tolak sebab rasa perkahwinan bukanlah keutamaan.

"Anak-anak dah besar dan jaga saya, ekonomi pun okay... jadi saya rasa perkahwinan semula bukanlah perkara yang mendesak. Dalam masa yang sama saya rasa segan nak menikah semula pada usia tua.

Perwatakannya sama macam arwah suami... seorang yang 'soft spoken'. Ciri-ciri yang ada padanya ada sedikit persamaan macam arwah.

ROHAYAH ABDULLAH

"Tapi memang benar, siapalah kita nak menidakkan jodoh yang diatur Allah. Pada kali ini, hati saya terbuka untuk ikut cadangan anak-anak. Pada Ogos 2021, pihak suami datang hantar tanda. Itulah kali pertama kami bertemu. Dua minggu kemudian, pihaknya datang untuk merisik dan bertunang," ujar ibu kepada empat cahaya mata berusia antara 34 tahun hingga 39 tahun ini.

Cerita Rohayah, selepas mengenali suaminya, lama-kelamaan dia tertarik dengan perwatakan bapa tunggal kepada tiga cahaya mata itu yang 'soft-spoken' dan menghormati orang lain.

"Perwatakannya sama macam arwah suami... seorang yang 'soft spoken'. Ciri-ciri yang ada padanya ada sedikit persamaan macam arwah.

"Masa bergambar di pelamin, kami sebenarnya canggung juga... segan sebab tetamu ramai. Kecualilah kalau kita dah kenal atau berkawan. Semua 'pose' tu kami ikut je saranan jurufoto, Fitrin Ruslee.... tak ada kami pandai-pandai. Masing-masung malu dan keras.

"Terkejut juga saya bila tahu video tu viral. Terima kasih kepada yang mendoakan atau memberikan pujian. Bagi yang tanya rahsia saya nampak muda, petuanya, saya sangat berdisiplin setiap kali berpantang selepas bersalin.

pengantin 2

Pasangan sama cantik sama padan ini selamat diijabkabulkan pada 20 Disember lalu.

"Makanan semuanya yang bakar. Sayur pula tak masak... semuanya ulam. Itulah yang saya amalkan selama 44 hari. Alhamdulillah, syukur Allah pinjamkan nikmat kesihatan sehingga kini," ujarnya.

Lebih dua minggu bergelar pasangan suami isteri, Rohayah berkata dia masih membiasakan diri dengan kehidupan baharunya.

"Kekok juga tiba-tiba ada partner. Dulu anak-anak yang uruskan dan jaga saya, kini saya jaga suami pula. Anak-anak dah suruh lama berhenti kerja tapi saya boring. Kini suami suruh berhenti, so ikut sajalah.

"Sekarang ni keluarga kami dah besar. Anak-anak tujuh orang dah semuanya. Alhamdulillah kami happy je. Doakan yang baik-baik untuk kami," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain