suria

Hari bahagia bertukar tragedi, pengantin lega lepas semua ujian bertemu tok kadi di masjid... selesai nikah terus tanggal kain redah banjir!

Majlis pernikahan Tasha diduga apabila dilanda banjir.

SUDAH menjadi kelaziman kebanyakan pasangan gemar memilih untuk mengadakan majlis hari bahagia mereka pada hujung tahun kerana musim cuti persekolahan yang panjang.

Bagaimanapun bak kata pepatah, manusia hanya mampu merancang, sebaliknya tuhan yang menentukan segalanya.

Bencana banjir yang melanda beberapa buah negeri pertengahan Disember lalu menyebabkan majlis hari bahagia mereka bertukar menjadi tragedi sebagaimana yang turut dialami wanita ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayangkan masa nikah diduga redah banjir, majlis resepsi di hotel pula hampir berakhir tanpa pengantin... pengurus ini bersyukur akhirnya disatukan dengan jejaka Iran

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sempat duduk pun atas pelamin’’ - Pengantin tak tangguh photoshoot, rela basah abadikan momen perkahwinan dalam banjir

Bagi Natasha Sharina Zulkipeli, dia dan pasangannya Arib Syahiran Mat Hadzi, 25, sama sekali tidak menyangka majlis pernikahan mereka diuji dengan dugaan yang bukan kepalang.

Mengimbas kembali detik yang tidak dapat dilupakan kira-kira dua minggu lalu, wanita yang senang disapa sebagai Tasha ini berkata, banjir yang melanda kampungnya yang terletak di Sungai Kembong, Pulau Indah, Klang itu boleh dikatakan yang terburuk setakat ini.

"Pada 17 Disember dah start hujan tapi saya tak rasa apa-apa lagi sebab fikir, nanti hujan berhentilah. Tapi hari tu hujan macam lama sangat pula. Petang tu saya dah rasa something sebab malam tu sepatutnya majlis berinai.

"Berdebar semua ada sebab esoknya majlis besar pula. Air dah naik paras buku lali ketika itu. Esoknya pukul 5 pagi, emak kejutkan. Rupa-rupanya air dah naik rumah sebab hujan tak berhenti. Dan dah kena pelamin. Time tu luluh hati saya tapi saya reda.

banjir 2

Tasha dan suami sempat bergambar sebelum meredah banjir.

"Masa tu saya fikir tak apa la majlis cancel, saya fikir pasal bernikah saja," ujar wanita berusia 21 tahun ini.

Dugaan yang perlu ditempuhi wanita ini tidak terhenti setakat itu sahaja apabila ketika itu air yang memasuki rumahnya berada pada paras paha.

"Dekat luar tu air dah naik... saya dah reda khemah pun bergenang dengan air. Saya call tok kadi untuk confirm, dia kata masjid okay. Dugaannya, saya nak ke jalan besar sebab air tinggi.

banjir 4

Air banjir berada pada paras lutut di hadapan rumah Tasha.

"Saya call kawan, nak tumpang bersiap. Saya bawa semua peralatan, redah banjir pakai baju biasa dulu. Tapi dugaan lagi, jurusolek saya stuck sebab area rumahnya pun banjir. Jurufoto pun cancel last minute sebab banjir.

"Sedih tu tak tahu nak kata macam mana. Nasib baiklah ada saudara tolong solekkan. Sampai masjid, Alhamdulillah selamat diijabkabulkan di Masjid Sungai Kembong walau banyak dugaan," ujarnya yang bekerja sebagai kerani.

Tambah Tasha, perkhidmatan katering juga menghadapi masalah untuk menghantar makanan ke rumahnya kerana jalan utama dinaiki air setinggi paras pinggul.

Masa tu saya fikir tak apa la majlis cancel, saya fikir pasal bernikah saja.

NATASHA SHARINA ZULKIPELI

"Waktu-waktu banjir, banyak idea keluar. Kami guna kolam mandi plastik kanak-kanak untuk angkut makanan katering sebab mereka pun tak boleh masuk.

"Setengah makanan diagihkan kepada PPS dan setengah lagi dihidangkan untuk saudara mara di rumah menjamu selera," ujarnya.

Meskipun hari bahagianya berakhir sebagai momen pahit yang tidak dapat dilupakan sehingga bila-bila, Tasha bagaimanapun memilih untuk menerima ketentuan tuhan dengan hati terbuka dan reda.

banjir 3

Lauk yang ditempah daripada syarikat katering terpaksa dihantar menggunakan kolam plastik.

"Mula-mula tu sedih, tapi ada juga bahagian gembira dan lucu. Lawaknya, tak pernah-pernah pengantin bersiap dekat rumah orang lain. Pengantin nak makan pun kena redah banjir.

"Mujur sempat bergambar di jalan utama sebelum tanggalkan kain dan pakai seluar untuk redah banjir balik ke rumah. Kami pakai baju nikah pun sekejap je... kena tukar pakai baju biasa sebab basah.

banjir 1

Sempat bergambar di pelamin meskipun air memasuki rumah.

"Mula-mula sedih sebab hari bahagia kita dah plan macam-macam. Tapi manusia mampu merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Alhamdulillah keluarga dan suami beri kata-kata semangat.

"Mungkin nanti Allah akan beri rezeki yang kita tak terfikir. Dari sedih bertukar reda, dan gembira bila dah majlis saya settle semuanya. Kelakar pun ya juga... boleh cerita dekat anak cucu nanti," ujarnya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain