suria

“Meleleh-leleh ke baju dan seluar” - Ibu panik anak makan sabun candy viral, doktor dedah risiko... jangan sesekali paksa muntah!

Selain risiko lapisan mukosa mulut dan laluan pernafasan yang terhakis, ia juga boleh membawa kecederaan kepada usus. -Gambar Hiasan

PASTI ada dalam kalangan kita yang sudah terpengaruh dengan sabun cucian dalam bentuk kapsul yang dijual secara meluas menerusi platform dalam talian.

Turut dikenali sebagai laundry condensation detergent beads, kiub kecil warna warni itu boleh didapati dengan harga cukup murah melalui Shopee, Instagram, Facebook dan sebagainya.

Jika sekali imbas, bentuk kiub cucian pakaian itu kelihatan saling tak tumpah seperti gula-gula comel yang sering dimakan oleh kanak-kanak.

ARTIKEL BERKAITAN: Pintu tandas ditutup tapi tak dikunci, doktor imbas kisah bayi ditemui mati lemas di rumah pengasuh - “Air sedalam dua inci dah boleh sebabkan bayi lemas”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya berdebar, rasa panas di muka” - Doktor kongsi detik cemas lihat wajah biru bayi tersedak susu, beri peringatan penting untuk ibu bapa

Maka tidak hairanlah jika pihak hospital turut menerima kes melibatkan kanak-kanak yang tertelan kiub cucian tersebut.

Menurut Dr Redza Zainol, seorang wanita pernah dikejutkan dengan tangisan anaknya yang tertelan sabun viral itu.

Jelasnya, pemeriksaan yang dibuat oleh si ibu mendapatinya anaknya sudah menelan kiub cucian berkenaan.

"Masa maknya di dapur, tiba-tiba terdengar anak menangis kuat. Bila dijengah, dalam mulut penuh dengan sabun. Meleleh-leleh ke baju dan seluar. Bila datang dekat, bau sabun kuat datang dari dalam mulut anak. Paniknya tak payah cakap. Tak tahu nak buat apa.

dr redza

Dr Redza Zainol.

"Cepat-cepat sabun semua dicuci dari muka dan mulut anak. Kebetulan seorang diri di rumah, semuanya kena dihadap sendirian. Berlari terus mak ni buat panggilan telefon pada suami. Syukur suami memang nak dekat sampai ke rumah," tulisnya.

Tidak memperincikan secara lanjut kes kanak-kanak tersebut, Dr Redza bagaimanapun mendedahkan pihaknya turut membuat rujukan ke Pusat Racun Negara untuk melihat kandungan sabun viral berkenaan.

"Bila kami buat panggilan ke Pusat Racun Negara, kandungan sabun candy viral ni ialah bahan pencuci dan sabun (kategori bahan kimia ionic and non ionic). Yang merisaukan ialah “half-life” kandungan sabun ni tak tahu berapa lama.

"Maksudnya, kalau anak dah termakan sabun ni, kita tak tahu sabun tu akan kekal berapa lama dalam badan anak," jelasnya lagi.

Ia juga menyebabkan kecederaan pada lapisan usus hingga menyebabkan muntah yang teruk, pengsan atau hilang kesedaran.

DR REDZA ZAINOL

Tambah Dr Redza, selain risiko lapisan mukosa mulut dan laluan pernafasan yang terhakis, ia juga boleh membawa kecederaan kepada usus.

"Sabun ini boleh menyebabkan hakisan pada lapisan mukosa mulut dan laluan pernafasan. Kalau sangat serius, hingga perlukan bantuan pernafasan.

"Ia juga menyebabkan kecederaan pada lapisan usus hingga menyebabkan muntah yang teruk, pengsan atau hilang kesedaran," jelasnya panjang lebar.

sabun2

Semakan mendapati ia dijual pada harga yang murah secara atas talian.

Menurut Dr Redza, dia risau dengan kewujudan sabun viral berkenaan dan memohon agar ia disimpan di tempat yang selamat.

Malah katanya, dia mahu ibu bapa peka akan hal itu dan sama-sama menyebarkan maklumat berkaitan sabun viral itu sebagai peringatan buat individu lain di luar sana.

"Selama saya jadi doktor kanak-kanak, berkali-kali saya lihat anak terminum sabun pencuci tapi kali ni saya memang risau dengan bentuk dan warna sabun ni.

"Nasihat saya, simpanlah sabun ni di tempat yang selamat dan jauh dari jangkauan anak. Kalau anak tertelan bahan pencuci, jangan paksa dia muntah.

sabun3

Sabun candy viral yang kelihatan seperti gula-gula. Foto: Instagram.

"Kalau paksa dia muntahkan sabun tu, anak boleh tersedak. Bila tersedak, sabun tu boleh masuk ke paru-paru pula. Lagi bahaya. Basuh mulut anak dengan air berkali-kali. Tukar baju dan seluar anak yang dah terkena bahan pencuci tu. Bawa segera ke hospital.

"Bantu saya sebarkan ilmu ni pada mak ayah yang lain. Kadang-kadang kita terlepas pandang isu macam ni tapi anak kita yang menjadi mangsa," ujarnya.

Dr Redza berkongsi mengenai sabun viral itu menerusi siri tweet di Twitter pada Jumaat lalu.

Selain Twitter, Dr Redza turut berkongsi ilmu eksklusif kesihatan bayi dan kanak-kanak serta ilmu kekeluargaan menerusi saluran Telegram miliknya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain