suria

Suami tak boleh move on isteri dah lama meninggal, seminggu sekali pasti ‘borak’ dengan arwah di kubur - “Kalau hujan abah teriak”

Bapa Eida akan mengunjungi pusara arwah ibunya setiap hari Khamis.

"ASSALAMUALAIKUM Milah, abang mai (datang) dengan adik ni... abang balik ya Milah. Abang harap hang tenanglah."

Begitulah bait-bait yang diungkapkan oleh seorang warga emas ketika menziarahi pusara isterinya, yang cukup meruntun hati netizen.

Menurut Norsuhaida Che Omar, lelaki warga emas berkenaan merupakan bapanya, Che Omar Ishak, 66, dan video tersebut dirakam ketika mereka menziarahi pusara ibunya, Allahyarham Jamilah Saad, Khamis baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 bulan setia tunggu suami dapat pelepasan pulang, menangis setiap kali video call... isteri akhirnya pergi dulu bersama rindu - “Hujung hayat, mak dah tak tanya bila ayah nak balik”

ARTIKEL BERKAITAN: Inai masih merah, pengantin baru pengsan di hospital selepas tengok keadaan suami kemalangan - “Pihak sana seolah tak hirau keadaan kami”

Berkongsi cerita, wanita yang senang disapa sebagai Eida ini berkata, ibunya meninggal dunia akibat menderita kanser hidung.

"Sebaik saja mak pencen sebagai seorang kakitangan kerajaan pada 2016, dia disahkan menghidap kanser hidung.

"Empat tahun bergelut dengan penyakit itu, pada 25 Jun 2020 mak menghembuskan nafas terakhir. Pemergian mak mengejutkan kami sekeluarga dan paling terkesan tentunya abah.

"Abah ada masalah penglihatan sejak 2010 kerana katarak. Dah jalani pembedahan namun keadaannya masih sama.

"Jadi abah memang 100 peratus bergantung dekat mak. Kiranya mak la 'mata' abah. Sebab itu abah adalah orang yang paling terasa kehilangan selepas pemergian mak," cerita wanita berusia 38 tahun ini.

abah 2

Bapa Eida berubah menjadi seorang yang pendiam selepas pemergian ibunya.

Menurut Eida yang merupakan seorang Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) di sebuah hospital di Pulau Pinang, selepas kematian ibu mereka lebih setahun lalu, dia dan sembilan adik beradiknya yang lain berperanan sebagai 'mata' kepada bapa mereka.

"Abah tak suka bertongkat.... dia lebih selesa berpaut kepada mak atau adik beradik. Setiap minggu kalau ziarah kubur, adik saya yang nombor empat akan teman abah selepas pulang kerja kerana dia menetap bersama abah.

"Khamis baru-baru ni saya pula bawa abah ke kubur. Saya rakam video sebagai kenangan, memang tak sangka abah keluarkan ayat macam tu dan menangis.

abah 3

Eida bersama bapa dan adik beradiknya bergilir menjaga ibu mereka di hospital.

"Abah memang tak boleh 'move on' sejak mak tiada. Betapa sayangnya abah pada mak kerana arwah seorang isteri yang taat. Tak pernah cakap 'tidak' pada setiap kata-kata abah," ujar anak ketiga daripada 10 adik beradik ini.

Menurut Eida, bapanya berubah menjadi seorang yang pendiam dan hanya menghabiskan masa di dalam bilik dan rumah.

"Abah langsung tak keluar rumah kecuali pada petang Khamis setiap minggu untuk ziarah pusara mak. Sampai sekarang abah tak 'missed'. Kalau 'missed' contohnya sebab hujan lebat, dia mesti teriak (menangis).

Betapa sayangnya abah pada mak kerana arwah seorang isteri yang taat. Tak pernah cakap 'tidak' pada setiap kata-kata abah.

NORSUHAIDA CHE OMAR

"Rutin abah setiap hari sembahyang, mandi, makan, tidur dan pergi ke kubur setiap petang Khamis. Namun selepas lebih setahun ulang rutin yang sama, baru-baru ini saja barulah mood abah berubah.

"Abah ajak kami bawanya keluar jalan-jalan. Kami bawa pergi IKEA, makan mi udang dan sebagainya. Mana-mana tempat yang abah teringin, kami bawa.

"Kami gembira sangat abah ceria dan tak macam dulu... namun sebenarnya, jauh di sudut hati, timbul juga rasa takut sebab terlintas perkara bukan-bukan kerana abah tunjukkan kelainan. Namun kami berdoa moga dijauhkan perkara yang tak elok," katanya.

abah 4

Kenangan hari raya terakhir Eida bersama bapa dan arwah ibunya.

Tidak menyangka perkongsian videonya di TikTok meraih melebihi 547,000 jumlah tontonan, Eida berkata dia terharu dengan komen positif yang dilontarkan netizen.

"Ramai yang ikut sebak sekali tengok video abah. Mereka doakan abah dan puji kesetiaan abah. Memang mak ni kiranya cinta abah hingga hujung nyawa.

"Saya tak sempat nak balas komen mereka namun ucapkan terima kasih kerana mendoakan abah dan turut mendoakan arwah mak saya," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain