suria

Ibu menang pertandingan selepas kreatif tanam bunga dalam peti sejuk buruk, anak syak sesuatu mesin basuh pula tiba-tiba rosak

Faridah menanam dalam peti sejuk dan mesin basuh yang sudah rosak.

TAK ada pasu? Itu bukanlah satu masalah besar bagi seorang wanita yang memilih untuk menanam pokok keladi kesayangannya di dalam sebuah mesin basuh.

Bukan itu sahaja, wanita kreatif ini, Faridah Wahab, 57, turut menjadikan peti sejuk pemberian arwah suaminya sebagai tempat letak bunga.

ARTIKEL BERKAITAN : Aduh, kantoi pula! Ada niat tak baik di kolam renang, pemuda ‘terciduk’ dengar jawapan balas wanita pandai cakap Mandarin

ARTIKEL BERKAITAN : “Nak juga beg Gucci macam papa” - Murid bergaya bawa beg mahal ke sekolah selepas alasan diterima mak ayah!

Berkongsi hasil kerja ibunya di laman sosial media, Nia Syaqiera Sabri, 28 berkata, Faridah mula bercucuk tanam sejak tahun 2019.

Namun, katanya, ibunya itu mula mengambil pendekatan yang lebih kreatif apabila menyertai pertandingan laman terindah sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Syarat pertandingan antara kampung tu adalah kena jadi kreatif, maka dari situ Nia dan mama terfikir nak guna peti sejuk yang lama," katanya yang menetap di Pulai Chondong, Machang, Kelantan.

Walaupun sudah rosak, peti tersebut, kata Nia mempunyai nilainya yang tersendiri buat ibunya.

"Peti sejuk tu dah lama sangat, arwah abah belikan untuk mama jadi mama tak sampai hati nak jual pada lori besi buruk yang selalu minta nak beli, mama simpan je walaupun dah rosak.

"Sebelum ni terbengkalai je di sebelah rumah, kemudian kami ambil dan jadikan tempat simpan bunga.

"Mungkin asbab peti ni juga mama dapat nombor satu dalam pertandingan tu," katanya.



Faridah menang tempat pertama dalam satu pertandingan laman paling kreatif yang disertainya.

Mengakui bahawa dia menyertai pertandingan itu untuk suka-suka, Nia bagaimanapun mendedahkan bahawa ibunya itu tetap tak senang duduk selagi keputusan belum keluar.

"Pertandingan tu menang dapat duit je, tak pasti berapa tapi Nia ada cakap dekat dia sebelum join hari tu... mama kalau nak duit mama beritahu la, tapi dia jawab ma nak suka-suka je, tak menang tak apa.

"Tapi agak tak boleh tidur juga dia asyik fikir menang ke tak," seloroh Nia yang merupakan pengasas jenama Rohina.



Faridah mula menanam sejak tahun 2019.

Tidak cukup dengan peti, Faridah turut menggunakan mesin basuh mereka yang rosak sebagai pasu bunga.

"Mesin basuh tu rosak bulan lepas, mama mengadu cakap keluar asap dari mesin basuh.

"Bila Nia balik rumah tengok dia letak pokok, Nia usik mama, ke mama yang rosakkan mesin basuh ni sebenarnya, sebab nak letak pokok?

"Ibu jawab, mung (kamu) ni, bukan la!" cerita Nia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain