suria

Wanita rimas asyik diusik Mickey Mouse di kedai makan, rupa-rupanya abang sayang dah pulang ke darat - “Dia tak marah cuma geram”

Video ketika Shafiq membuat kejutan kepada isterinya turut mengundang sebak netizen.

SELAMA 11 bulan terpisah kerana tuntutan kerja selain situasi pandemik Covid-19 yang belum reda, pasangan suami isteri ini akhirnya bersatu semula dalam satu pertemuan yang penuh emosi.

Si suami yang kononnya tidak dapat pulang kerana bekerja jauh di tengah lautan, muncul secara tiba-tiba dengan mengenakan kostum karakter kartun Mickey Mouse untuk membuat kejutan kepada isteri kesayangan.

Berkongsi cerita dengan mStar, Aminnul Shafiq Zulkiflee berkata dia terpaksa 'menipu' isterinya, Siti Zahirah Zulkifli, 28, selama dua minggu untuk menjayakan kejutan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Penangan 4 tahun tak jumpa... Menyamar runner kek, berlakon beli pokok keladi siap tawar-menawar tapi si ibu masih tak cam

ARTIKEL BERKAITAN: Kejutan cuma bertahan 5 minit! Panda tak diundang buat pengantin perempuan nangis di majlis nikah, plan nak buat ‘cik abang’ marah tak menjadi

"Sebelum ini saya kerja atas kapal dalam bidang minyak dan galian (oil and gas). Saya belayar ikut kapal di merata lokasi.

"Disebabkan pandemik juga, saya dan isteri terpisah lebih lama kali ini iaitu selama 11 bulan. Isteri saya asyik tanya bila dapat balik darat tapi saya tak dapat beri jawapan sebab tak ada kepastian.

"Sebelum ini lima kali nama saya 'naik' untuk dibenarkan pulang, tapi hujung-hujung tak ada rezeki. Apabila nama saya 'naik' kali ini, saya memang tak maklumkan kepada isteri.

"Saya plan dengan mak saya untuk buat surprise dan mak sayalah yang bagi idea supaya saya pakai kostum," cerita lelaki berusia 28 tahun ini.

Senang disapa sebagai Shafiq, lelaki ini berkata dia pulang pada 27 Disember lalu dan menjalani kuarantin selama 10 hari terlebih dahulu di rumah ibunya di Pengkalan Balak, Melaka.

mickey 1

Shafiq dan isterinya tidak bertemu selama 11 bulan kerana kekangan tugas dan pandemik Covid-19.

"Saya selesai kuarantin pada 7 Januari lalu dan buat kejutan pada keesokan harinya.

"Isteri saya tinggal di rumah kami di Balakong, Selangor. Jadi saya minta mak bersubahat, kononnya dia minta isteri saya jemput dia di Melaka untuk pulang ke kampung saya di Johor.

"Selepas isteri jemput mak saya, mereka termasuk kawan mak singgah di sebuah restoran tak jauh dari rumah mak saya. Di situlah saya muncul dengan kostum di restoran itu.

"Pada mulanya saya usik-usik dahulu pelanggan lain, kemudian baru usik isteri saya. Dia rimas juga sebab saya asyik kacau dia, siap bagi jambangan bunga coklat. Mula-mula dia tak mahu ambil, akhirnya dia akur.

mickey 3

Shafiq sudah bekerja dalam bidang minyak dan galian sejak enam tahun lalu.

"Hampir 20 minit juga saya kacau dia sebelum buka topeng. Memang tak kantoi langsung. Sebenarnya saya tak sampai hati 'menipu' dia sejak dua minggu lepas, tapi saya nak simpan untuk kenangan manis," ujarnya lagi.

Menurut Shafiq, dia tidak dapat melupakan wajah isterinya sebaik sahaja melihat dirinya muncul di depan mata.

"Isteri tergamam beberapa saat sebelum peluk saya. Dia tak marah cuma geram sebab buat dia terkejut," katanya yang sudah enam tahun bekerja dalam bidang berkenaan.

Shafiq berkata, dia akan bercuti selama lima bulan sebelum kembali semula bertugas di lautan.

Kali terakhir saya beraya di darat adalah pada 2018 iaitu tahun pertama kami berkahwin. Sudah tentu raya kali ini sangat bermakna.

AMINNUL SHAFIQ ZULKIFLEE

"Alhamdulillah, kali ini insyaAllah saya dapat beraya bersama isteri dan keluarga selepas beberapa tahun beraya bersama rakan sekerja di lautan.

"Kali terakhir saya beraya di darat adalah pada 2018 iaitu tahun pertama kami berkahwin. Sudah tentu raya kali ini sangat bermakna," ujarnya lagi.

Tidak menyangka perkongsiannya meraih melebihi 610,000 jumlah tontonan, Shafiq berkata dia begitu terharu dengan komen netizen yang mendoakan mereka.

mickey 2

Kenangan ketika beraya di atas kapal bersama rakan sekerja yang lain.

"Tak sangka bila baca komen, ramai yang turut tersentuh. Kawan-kawan mak yang ada di restoran ketika itu pun turut sama sebak.

"Bagi saya, untuk pasangan jarak jauh (PJJ) seperti kami, paling penting adalah kepercayaan. Hati dan perasaan kena kuat untuk menunggu orang tersayang.

"Ingat bahawa pasangan kita bekerja mencari rezeki. Bila PJJ, masa amat penting untuk pasangan masing-masing. Kalau ada lima minit, luangkan sama ada untuk berbual atau video call. Sekurang-kurangnya pasangan kita tak keseorangan," katanya lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain